clixsense

Isnin, 13 Julai 2020

Fraser Hill

Simpang ke Bukit Fraser sudah lama saya perhati setiap kali ulang alik ke kuala Lumpur, papan tanda menunjuk arah sering kali dijeling. Bertolak dari KL ke KB sudah agak lewat iaitu jam 4 petang, sewaktu melintas Genting Sempah cucu cucu menggesa belok ke Genting Highland dengan selamba saya cakap kita ke Fraser Hill, mereka bersorak gembira.

Foto diambil dari beranda bilik penginapan di Shahzan Inn

Sewaktu menghampiri lencongan ke Bukit Fraser  cucu cucu dan isteri sedang tidur, dan saya boleh saja teruskan perjalanan ke Kelantan, tetapi saya fikir inilah peluang ke Bukit Fraser lagipun saya tidak pernah ke sana nak juga saya jejak kaki ke sana.

Bila sampai di Tranum kenderaan kami sudah masuk ke jalan menuju Fraser Hill, saya  sangkakan tempatnya sudah tidak jauh lagi dan merasakan 28km dari Tranum tidaklah jauh sangat, rupanya jalan bengkang bengkok dan hampir tiada kenderaan lain membuatkan jalan ini terasa jauh,, melalui jalan ini saya semakin memahami kenapa Bukit Fraser tidak menjadi tempat tumpuan sebagaimana Genting dan Cameron. Selepas terhuyong hayang di dalam kereta, cucu perempuan sudah mabuk dan muntah muntah, isteri sudah mula komplen kerana saya tetap mahu membelok ke Fraser Hill sedangkan hari dah hampir senja, saya mula teringatkan kata- kata isteri bahawa fraser Hill itu tempat berhantu. Saya hanya bungkam tidak berkata apa sehinggalah sampai ke Gap iaitu kaki Bukit Fraser, sekali lagi kenderaan kami melalui jalan yang lebih sempit dan hanya jalan sehala menuju 8 km lagi, isteri masih merungut. Saya tahu semua sudah semakin gerun kerana hari sudah hampir malam.Saya juga mula membandingkan jalan ini dengan jalan ke perkampungan bekas anggota PKM di Kampung Perdamaian Bunchalabon Thailand rasanya jalan ini lebih menggerunkan, terbayang juga bagaimana Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir Henry Gurney terbunuh diserang komunis dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Gambar jalan dari Gap ke Puncak Fraser ini diambil sewaktu kami menghala turun, bayangkan jalan gelap waktu hampir maghrib sewaktu kami sampai. 

Jalan sehala 

Akhirnya sebelum jam 7.00 malam kami sampai ke pusat Bukit Fraser, niat asal hanya datang bergambar dan terus pulang tidak dapat diteruskan. kena bermalam di sini.










Gembiranya Haziq & Mia.. dah sampai pun.. . Parking depan Shahzan Inn


Mia dah sihat,, tak pening lagi

Kami menginap di Shahzan Inn kerana rumah penginapan Persekutuan yang lebih murah belum dibuka sebab kesan Covid 19 masih ada, pelancong belum ramai, Shhahzan Inn pun belum buka sepenuhnya hanya sebahagian sahaja dibuka dengan harga paling murah dan promosi iaitu RM150 semalam.Turun dari hotel nak cari apa apa makanan tapi semua dah tutup terpaksalah pesan makanan dari bilik hotel untuk 2 cucu yang dah meminta makan. 2 pinggan mee goreng berharga Rm40 termasuk caj hantar ke bilik Rm2 sepinggan. woww... lain kali kena jangan diulang hihii.

zz



Lobi hotel Shahzan Inn kita boleh melihat gambar gambar lama tentang pembukaan Fraser Hill dan juga gambar burung burung yang ada di Bukit Fraser

Esoknya pagi pagi kami turun hotel berpusing pusing di atas Bukit Fraser, rupanya ada pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan kami sempat ke Jeriau Waterfall, Allen Water, The Paddock serta menikmati pemandangan indah di pusat Fraser Hill yang ada pelbagai tempat aktiviti. Bukit Fraser ini sebenarnya lebih tenang dan mendamaikan tidak sesibuk tanah tinggi yang lain. Saya suka tempat ini.

 Mercu tanda Bukit Fraser

Selasa, 22 Oktober 2019

Palembang

Palembang menjadi lokasi yang dah lama saya ingin kunjungi, bila sukan SEA diadakan di Palembang saya mula menyedari bahawa Palembang bukan lagi tempat yang tertinggal dari arus perdana negara. Palembang telah melonjak ke tahap kota yang boleh dibanggakan seiring dengan kota kota utama lain di Indonesia. Acara sukan antarabangsa juga sentiasa dianjurkan dengan adanya Kompleks Sukan Jakabaring dan juga kemudahan LRT yang menghubung ke kompleks.

Ketertarikan saya kepada Palembang mungkin berlainan daripada rakan- rakan lain. Saya tidak tertarik dengan kompleks sukan serba lengkapnya, saya tidak teruja dengan kemudahan pengangkutanya yang cekap, saya tidak nampak kelebihan Jambatan Ampera, Ikan belida, Pempek yang enak mahupun Pindang yang dikatakan mengecur air liur itu. 

Bukit Siguntang mahameru... inilah yang sering melambai saya agar satu masa harus berkunjung ke sini. Pernah saya suarakan hasrat kepada seorang rakan, cepat dikatakannya bahawa saya sebenarnya sedang mencari asal- usul. Tentunya ramai yang ingat terutama yang belajar tentang sejarah Melayu, kita tidak akan lupa dengan mitos Sang Sapurba, Nila Pahlawan dan krisna Pandita bersama Wan Empok dan Wan Malini di Bukit Seguntang disusuli perjalanan kisah Raja dan bangsa Melayu selepas Demang Lebar Daun turun takhta setelah berlakunya perjanjian yang dipanggil 'wa'dat' melalui kisah inilah Bukit Siguntang menjadi ikon penting raja dan kerajaan Melayu.

Hari pertama sampai, saya tidak keluar ke mana- mana hanya berehat di bilik penginapan selepas makan di restoran berhampiran. Saya sebetulnya sudah tidak sabar untuk ke tempat yang sudah dirancang, tapi isteri pula tak nak keluar.. 

Hari kedua kami ke Taman Purbakala Kerajaan Sriwijaya, suatu tempat yang dipercayai sebagai tapak kerajaan Sriwijaya, di sinilah ditemui rangka kapal kapal dagang di zaman itu, ditapak ini dikatakan dulunya adalah sebuah sungai yang sudah tertimbus dan dibuktikan dengan penemuan rangka kapal yang saiznya rangkanya diperkirakan kapal dagang untuk mengharungi lautan. Di sini juga terdapat muzium yang menempatkan pelbagai penemuan di sekitar tanah Palembang khasnya Bukit Siguntang. Saya menyangka tempat ini juga letaknya Bukit Siguntang dan bolehlah kami ke bukit lagenda tersebut selepas keluar dari muzium, rupanya saya silap, Bukit Siguntang berada di tempat lain menyebabkan kami terpaksa memanggil grab lagi.

Di Bukit Siguntang suasana sangat hening kelihatan para pekerja menyapu daun - daun kering yang banyak berjatuhan. Bukit ini tidaklah tinggi sangat, tapi perasaan tenang akan terasa kerana bunyi bunyian cengkerik dan riang riang menggantikan bunyi kenderaan. Di atas Bukit ini terdapat 7 makam iaitu Raja Sigentar Alam, Puteri Kembang Dadar, Panglima Bagus Kuning, panglima Bagus karang, Puteri Rambut Selako, Pangeran Raja Batu Api dan Panglima Tuan Junjungan.

Di atas bukit ini ada warung menjual minuman, kami juga beruntung kerana Pak Sulaiman tuan punya warung ini sangat mahir dan tahu tentang sejarah, dia boleh bercerita bukan sahaja tentang Sriwijaya malahan sejarah lain lain kerajaan di nusantara. Bila ditanyakan tentang makam makam tersebut dia menyatakan bahawa makam Si Gentar Alam bukan pusara yang sebenar ia hanya makam menandakan tokoh itu pernah berada di bukit ini, yang dikatakan makam mempunyai jasad adalah makam panglimanya iaitu Panglima Bagus Kuning dan Panglima Bagus Karang, tetapi kesemua nama yang dimakamkan beragama Islam, jika hari kebesaran Islam acara baca yasin dan Al Quran di adakan di bukit ini.. Selepas turun dari bukit ini saya rasa suatu kelegaan di hati.. Alhamdulillah.

Selepas itu kami ke Wisata Religi Al Quran Raksasa, melihat seni khat warisan Sriwijaya, Al Quran diukir oleh para hafiz di atas kayu tembesu, tempat membuat Al Quran - Al Akbar ini dirasmi oleh Presiden Indonesia dan pencetusnya mendapat perhatian pemimpin dunia Islam. Di sini saya turut bersolat zohor di masjid dalam kompleks ini.

Hari ke 3 Kami ke muzium Balaputra Dewa iaitu muzium negeri, satu yang menarik di sini apabila galeri Melaka turut disediakan, sebagaimana yang dapat saya lihat semasa ke musium di Pekan Baru, Riau. Apa yang saya tahu Ketua Menteri Melaka ketika itu Datuk Ali Rustam lah yang mencetuskan idea untuk mempromosi Melaka hingga ke peringkat Dunia selari dengan usahanya suatu masa dulu yang giat dengan kempen "Dunia Melayu Dunia Islam "  selepas melawat muzium ini kami ke muzium Sultan Mahmud Badruddin II berhampiran dengan Kutak Besar dan juga Ampera, tiga tempat lawatan ini berada di lokasi yang sama. Di sini juga adanya pasar 16 yang meriah, pelbagai barangan diniagakan di kawasan dan lot lot kedai yang sangat luas dan tidak mampu untuk dilewati semua. Dari perniagaan pabrik, pakaian, hasil pertanian, perikanan juga makanan tempatan semua boleh didapati di Pasar 16.

Hari ke 4 kami ke Benteng lagi. melihat Kutak Besar dari luar dinding lagipun kota bersejarah ini sudah dijadikan pos tentera, saya juga menghabiskan masa di sekitar dataran Bukit Assam yang ada arca ikan belida. Di sini anda akan jumpa dengan ramai pemuzik dan penyanyi jalanan termasuk pelajar sekolah yang menghampiri menyanyi dan mengharap anda hulurkan sedikit sumbangan.
Di sini juga anda didekati oleh pengusaha bot yang menawarkan khidmat ke Pulau Kamaroo di tengah sungai Musi, kami tidak berminat ke Pulau Kamaro kerana merasakan tiada apa di sana selain Pagoda yang baru dibina serta cerita dongeng tentang kewujudan pulau itu.. cukuplah kami menunggu hari malam di tepi sungai Musi ini melihat gemerlapan Ampera waktu malam.

Hari terakhir kami mengunjungi Mall berdekatan, makan soto dan menunggu waktu ke Bandara Sultan Mahmud Badruddin II




FOTO FOTO

Antara bahan bahan yang dipamerkan di musium Taman Purbakala, ada yang replika dan banyak juga yang asli


Mendaki ke puncak Bukit Seguntang

 
Al Quran besar di Pondok Pesanteran kacamatan Gandus

Monpera dan Pasar 16

Antara penghibur di tebing sungai Musi

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badruddin II

Isnin, 26 Ogos 2019

Koh Lipe


Pernah merancang untuk ke Maldives.. tetapi teragak- agak dan tidak berapa tertarik dengan pulau dan pantai, saya tinggal dekat dengan pantai.. saya suka mandi laut, saya juga akan buka mata bila menyelam, walaupun mata akan merah dah pedih tapi saya percaya air laut yang masin ada khasiatnya. Tidak ke Maldives adalah kerana saya mudah demam bila kena panas, saya boleh kerja berat dan berpeluh peluh tetapi akan alah bila kena panas sebab itulah bila kawan- kawan pergi memancing di laut saya tidak teruja, walaupun sangat dekat dengan pulau Perhentian dan Redang tetapi saya tidak pernah jejak kaki ke Pulau yang dikatakan cantik itu.


Isteri mendaftar untuk ke Koh Lipe dari Kota Bharu dengan van khas dari Thailand, van dengan 10 penumpang sangat selesa, bertolak jam 9 pagi, beberapa kali berhenti dalam perjalanan dan mengambil masa lebih 4 jam untuk sampai ke Jeti Pak Bara,  disebabkan bukan musim kemuncak, bot ke Koh Lipe hanya beroperasi setengah hari jadi kami kena bermalam di Pak Bara sebelum bertolak pada keesokkan paginya. 

Jam 8 pagi kami dibawa ke Jeti, untuk ke pulau pelancongan Koh Lipe yang juga diberi jolokan Maldives Of Thailand, Bot laju yang kami naiki adalah sejenis bot yang besar dan ramai pelancong dari serata dunia turut bersama. Dalam perjalanan ke Koh Lipe kami dibawa ke pulau kecil yang airnya jernih berbatu karang, di situ kami diberi masa 30 minit untuk turun dari bot dan bergambar.

Lebih kurang 2 jam perjalanan akhirnya kami sampai di Jeti pantai Sunshine, pekerja resort tempat yang akan kami tinggal selama di pulau ini sedang menunggu, kami dibawa dengan pengangkutan utama melalui perkampungan penduduk pulau untuk ke Pantai Pattaya, dinamakan pantai pattaya kerana asalnya pantai barat daya tetapi akhirnya sebutan menjadi Pattaya,, Kami tinggal di Dong Talay Lipe Beach Resort

Koh lipe sebenarnya bersebelahan dengan Langkawi, ia terletak dalam daerah Satun jadi jika ke Langkawi ada feri dan boat yang berulang alik ke sini membawa pelancong. Tarikan utama di sini adalah walking streetnya selain pantai, pelbagai kemudahan ada di sini seperti klinik, 7Eleven, rumah urut, restoren makanan laut juga kedai makan halal



Hari seterusnya kami berjalan jalan menjelajah pulau dengan berjalan kaki, melihat chalet chalet dari tiada bintang hinggalah ke chalet ribuan ringgit semalaman. Mungkin suatu masa koh Lipe yang sedang membangun ini akan mengatasi Langkawi dari segi pilihan pelancong.. Itu yang saya jangka.

Pada sebelah malam, Koh Lipe lebih meriah, walking street dipenuhi pengunjung, ada resort yang membuat  persembahan band, akrobatik serta banyak pula bar- bar yang menjadi tumpuan pelancong barat, kami makan malam di restoran Bang Rung yang dalam bahasa Melayunya adalag Abang Harun, restoran halal ini saya kira yang terbesar di pantai Pattaya ini, restoran ini menyediakan masakan panas ala Thai dan makanan laut, walaupun nampak ada kelas tapi harga makanannya tidak mahal dan biasa- biasa saja, restoran Bang Rung ini juga ada persembahan nyanyian. 

Selepas berada selama 4 hari 3 malam kami bertolak ke Pak Bara di tanah besar, sementara menunggu feri sampai kami menikmati suasana meriah di jeti pantai Sunshine, ada kumpulan nelayan tempatan yang membuat bubu besar dan juga anak anak melompat mandi manda, rasanya tidak perlu lagi ke Maldives selepas sampai di pulau laut Andaman ini. 






Check point sebelum tiba di Koh Lipe

Kenderaan utama di Koh Lipe yang dipanggil Teksi

 Tempat penginapan kami Dong Talay Lipe Beach Resort

Pulut pauh. pulut durian dan buah buahan yang ada di Koh Lipe

 
Jom mandi.. banyak batu karang

Suasana di Jeti

Dalam perjalanan pulang kami singgah beberapa tempat seperti masjid Kresik dan bandar Pattani membeli buah tangan.

Solat asar di masjid Kresik yang bersejarah dan tragik

Sekiann...