clixsense

Isnin, 26 Ogos 2019

Koh Lipe


Pernah merancang untuk ke Maldives.. tetapi teragak- agak dan tidak berapa tertarik dengan pulau dan pantai, saya tinggal dekat dengan pantai.. saya suka mandi laut, saya juga akan buka mata bila menyelam, walaupun mata akan merah dah pedih tapi saya percaya air laut yang masin ada khasiatnya. Tidak ke Maldives adalah kerana saya mudah demam bila kena panas, saya boleh kerja berat dan berpeluh peluh tetapi akan alah bila kena panas sebab itulah bila kawan- kawan pergi memancing di laut saya tidak teruja, walaupun sangat dekat dengan pulau Perhentian dan Redang tetapi saya tidak pernah jejak kaki ke Pulau yang dikatakan cantik itu.


Isteri mendaftar untuk ke Koh Lipe dari Kota Bharu dengan van khas dari Thailand, van dengan 10 penumpang sangat selesa, bertolak jam 9 pagi, beberapa kali berhenti dalam perjalanan dan mengambil masa lebih 4 jam untuk sampai ke Jeti Pak Bara,  disebabkan bukan musim kemuncak, bot ke Koh Lipe hanya beroperasi setengah hari jadi kami kena bermalam di Pak Bara sebelum bertolak pada keesokkan paginya. 

Jam 8 pagi kami dibawa ke Jeti, untuk ke pulau pelancongan Koh Lipe yang juga diberi jolokan Maldives Of Thailand, Bot laju yang kami naiki adalah sejenis bot yang besar dan ramai pelancong dari serata dunia turut bersama. Dalam perjalanan ke Koh Lipe kami dibawa ke pulau kecil yang airnya jernih berbatu karang, di situ kami diberi masa 30 minit untuk turun dari bot dan bergambar.

Lebih kurang 2 jam perjalanan akhirnya kami sampai di Jeti pantai Sunshine, pekerja resort tempat yang akan kami tinggal selama di pulau ini sedang menunggu, kami dibawa dengan pengangkutan utama melalui perkampungan penduduk pulau untuk ke Pantai Pattaya, dinamakan pantai pattaya kerana asalnya pantai barat daya tetapi akhirnya sebutan menjadi Pattaya,, Kami tinggal di Dong Talay Lipe Beach Resort

Koh lipe sebenarnya bersebelahan dengan Langkawi, ia terletak dalam daerah Satun jadi jika ke Langkawi ada feri dan boat yang berulang alik ke sini membawa pelancong. Tarikan utama di sini adalah walking streetnya selain pantai, pelbagai kemudahan ada di sini seperti klinik, 7Eleven, rumah urut, restoren makanan laut juga kedai makan halal



Hari seterusnya kami berjalan jalan menjelajah pulau dengan berjalan kaki, melihat chalet chalet dari tiada bintang hinggalah ke chalet ribuan ringgit semalaman. Mungkin suatu masa koh Lipe yang sedang membangun ini akan mengatasi Langkawi dari segi pilihan pelancong.. Itu yang saya jangka.

Pada sebelah malam, Koh Lipe lebih meriah, walking street dipenuhi pengunjung, ada resort yang membuat  persembahan band, akrobatik serta banyak pula bar- bar yang menjadi tumpuan pelancong barat, kami makan malam di restoran Bang Rung yang dalam bahasa Melayunya adalag Abang Harun, restoran halal ini saya kira yang terbesar di pantai Pattaya ini, restoran ini menyediakan masakan panas ala Thai dan makanan laut, walaupun nampak ada kelas tapi harga makanannya tidak mahal dan biasa- biasa saja, restoran Bang Rung ini juga ada persembahan nyanyian. 

Selepas berada selama 4 hari 3 malam kami bertolak ke Pak Bara di tanah besar, sementara menunggu feri sampai kami menikmati suasana meriah di jeti pantai Sunshine, ada kumpulan nelayan tempatan yang membuat bubu besar dan juga anak anak melompat mandi manda, rasanya tidak perlu lagi ke Maldives selepas sampai di pulau laut Andaman ini. 






Check point sebelum tiba di Koh Lipe

Kenderaan utama di Koh Lipe yang dipanggil Teksi

 Tempat penginapan kami Dong Talay Lipe Beach Resort

Pulut pauh. pulut durian dan buah buahan yang ada di Koh Lipe

 
Jom mandi.. banyak batu karang

Suasana di Jeti

Dalam perjalanan pulang kami singgah beberapa tempat seperti masjid Kresik dan bandar Pattani membeli buah tangan.

Solat asar di masjid Kresik yang bersejarah dan tragik

Sekiann...