clixsense

Ahad, 8 Mei 2022

Madinah - Mekah

Madinah 

Sebetulnya tanah suci Mekah termasuk Madinah bukanlah destinasi yang saya ingin lawati. Ia adalah satu tempat yang saya sangat tidak mahu membandingkan dengan mana mana destinasi lawatan. Ia suatu kawasan yang berkaitan dengan agama langit dan sudah tentu saya mengatakan ia tempat pilihan Allah, tempat para nabi dan rasul mengamal dan menyebarkan agama Islam kepada manusia, saya tak mahu ke tempat ini jika saya belum bersedia dari segi spiritual.Apabila isteri saya beritahu dia dah daftarkan saya sekali untuk melakukan umrah saya tak berkata apa apa- tidak geleng dan tidak angguk, minggu terakhir sebelum keberangkatan saya hanya berbisik dan berdoa kepada Allah sekiranya ini adalah jemputannya, saya merayu agar tuhan menjaga aib saya serta memberikan saya kesabaran yang tinggi semasa di tanah haram.

28 mac berangkatlah kami ke Jeddah, malamnya teruskan perjalanan dengan bas ke Madinah. Sebagai orang yang tiada pengalaman saya banyak memandang ke luar tingkap tetapi hanya nampak cahaya lampu dan kegelapan sahaja, tidak tahu bagaimana rupa bumi tanah Arab. 4 jam kemudia kami memasuki kota Madinah air mata terus berderai bila saya memandang papan tanda masjid Quba, saya terbayang bagaimana rasulullah sampai ke Madinah setelah hijrah dari Mekah dan masjid Quba yang pertama kali dibina. Terasa sayu bagaimana saya boleh sampai ke jejak jejak rasulullah saw jika Allah swt tidak mengizinkan, rasa sangat berterima kasih kepada tuhan yang memilih saya bersama manusia manusia lain yang jauh lebih baik daripada saya untuk menjadi tetamunya.

Oleh kerana dunia baru sahaja beransur keluar daripada pendemik Covid 19 ada sekatan sekatan dan aplikasi tertentu mesti ditunjukkan jika ingin memasuki taman syurga Raudha dan jemaah wanita tidak dibenarkan mungkin untuk mengelakkan kesesakan. Saya kira dalam keadaan sekatan yang ketat saya masih beruntung dapat masuk 2 kali ke Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah saw dan dua sahabat baginda yang keduanya adalah mertua baginda iaitu Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab. 

Di Madinah dengan cuaca lebih panas daripada Malaysia hidung saya mengeluarkan darah setiap kali saya membasuh dan memasukkan air ke dalam hidung.

Selain memanfaatkan solat dan iktikaf di Masjid Nabawi, Madinah adalah tempat yang sesuai untuk membeli buah buahan seperti kurma kerana harganya lebih murah berbanding di Mekah. kami juga melawat telaga Izig yang dulunya beracun tetapi setelah rasulullah meludah ke dalamnya ia menjadi telaga yang paling manis dan enak airnya di Madinah, telaga Iziq dekat dengan masjid Quba telaga ini boleh dikatakan sebagaimana telaga zam zam kalau di Mekah.

Hari ke empat berada di Madinah dan ramadhan bermula dapatlah rasa berpuasa di Madinah, hari pertama saya berbuka puasa di masjid dengan juadah berbuka ringkas seperti air zam zam, roti, yoguart dan buah kurma diberikan kepada setiap jemaah.

Hari seterusnya kami ke bukit Uhud melawat tempat rasulullah dan tentera Islam hampir kalah kerana pasukan memanah telah melanggar arahan nabi turun dari bukit untuk mengambil harta perang.

Hari ketiga puasa kami bergerak ke Mekah dengan bas, barulah dapat lihat rupa bumi padang pasir dan bukit bukau yang tiada tumbuhan hanya berbatu batu keras. Bila mengingatkan pemandangan padang pasir saya menyangka ada banyak unta dan orang yang berjalan dengan membawa unta mereka, rupanya itu hanya gambar dalam kad kad hari raya atau potret sahaja, dalam perjalanan panjang itu saya hanya nampak ada beberapa ekor unta sahaja itupun hanya sekali. Di padang pasir lebih mudah untuk nampak keretapi laju dan jalanraya sahaja.

Oleh kerana visa kami adalah visa pelancong kami boleh ke tempat lain dan singgah di tapak perang pertama dalam Islam iaitu Badar sebelum terus ke Mekah.


Mekah

Sampai di Mekah kami yang sejak awal berihram terus melakukan tawaf selepas solat jamak asar dan zohor di hotel, saya dan isteri berbuka puasa di tempat Saei dan solat insyak serta tarawih di satu sudut di situ.

Benarlah ramai orang berkata di Mekah tidak setenang di Madinah, di Mekah sampah sarap mudah ditemui berbanding di Madinah di Mekah orangnya lebih bersikap kasar tidak sebagaimana orang Arab di Madinah. Ada orang menyimpulkan keadaan ini adalah berpunca daripada sejarah orang Mekah yang ingin membunuh nabi sedangkan orang Madinah menyelamatkan nabi saw itulah sebab Madinah lebih aman, teratur dan tertib.

Kami pergi juga ke Arafah, Mudzalifah serta Mina dan saya sempat naik dan berdoa di Jabal Rahmah. satu satunya tempat popular bagi orang yang ingin berdoa untuk jodoh tapi saya berdoa perkara lain.




Berada di Mekah kami ke Kota Taif yang dulunya tempat nabi alami kecederaan dan luka luka kerana di dilempar batu apabila nabi menyeru agama Islam disini, namun kasih sayang nabi kepada Taif menjadikan kota ini menjadi tumpun orang orang ternama untuk membuat kediaman kerana cuaca dinginnya seperti Cameron Highlands, di sini kami melihat kilang dan kebun bunga ros yang dijadikan pewangi dan produk wangian badan. Di Taif ada banyak kedai menjual madu lebah termasuk madu Yaman yang terkenal. Namun satu satunya tumbuhan neraka ada di Taif iaitu pokok zaqun.

Di Taif ada masjid Abdullah bin Abas iaitu perawi hadis yang juga sepupu nabi saw. Di masjid ini juga rupanya ada kubur ulama terkenal nusantara iaitu Syeikh Daud Al Fatani.

Di Miqat Manazer saya memakai ihram untuk mengerjakan umrah yang ke 5 dan pada sebelah petang saya melakukan tawaf dan Saei. Suatu kejutan yang baru bagi saya adalah seperti sedang berleluasa  tidak ada tegahan oleh mana mana pihak kepada orang yang tak berpuasa walaupun dalam kawasan masjid haram. Anak anak muda terutamanya selamba minum air zam zam dalam kawasan saei kadangkala petugas masjid mempermudah dan hulur cawan berisi air untuk diminum. Perbuatan ini amat saya dan kawan kawan dari Malaysia berasa kesal, bila saya tanyakan kepada ustaz katanya yang minum itu orang musafir dan kita bersangka baik sahajalah.


Di Mekah pada malam 23 ramadhan saya sempat naik ke Jabal Nur yang mana gua Hira tempat wahyu pertama turun ada dikemuncaknya. kami naik waktu malam memandangkan cuaca panas dan berpuasa di siang hari. Sejujurnya jika saya buat penilaian dalam akal yang biasa saya tidak akan percaya bahawa rasulullah berulang alik dari rumahnya ke puncak bukit ini selama 7 tahun dan dalam waktu itu juga isteri baginda khadijah setiap hari menghantar makanan. Orang yang pernah ke bukit ini akan tahu bahawa ia bukan rendah dan laluan asal tanpa tangga amat sukar dan meletihkan untuk sampai ke puncak, kami mendaki hampir 2 jam untuk sampai ke punyak dan balik ke hotel terus sahur sementara subuh dah nak masuk. Secara peribadi saya mengalah dan tak mahu lagi panjat bukit Jabal Nur sangat memenat dan siksa tulang 4 kerat tua saya.

Malam 27 ramadhan hadir sebagaimana malam 23 yang ada tanda- tanda malam 1000 bulan antaranya hujan renyai yang sangat dingin dan waktu malam lebih nyaman.

Sambutan hari raya di Mekah bermula dengan semua warganya ke masjidil haram, masjid terdekat semua tutup dan penghuni menuju ke masjidil haram, berbagai rupa ceria dapat dilihat pada syawal. Saya juga di pelawa ke kampung Kelantan / Melayu di atas bukit Ajeyad. Tapi bila tahu kawasanya kena mendaki saya tak jadi untuk menikmati seekor lembu yang dihadiah oleh seorang jemaah kami untuk perkampungan tersebut.


Dari Mekah kami dibawa ke Jeddah untuk melawat makam nenek manusia iatu Siti Hawa, malangnya ia tidak dibenar dilawati lebih dekat dan ada tanda tidak boleh bergambar. Persekitarannya juga masih dipelihara bangunan bangunan lama antaranya binaan oleh kerajaan Uthmaniah. kami juga melawat masjid Qisas iatu masjid tempat hukum hudud dan qisas dilakukan setiap lepas solat jumaat, ngeri dan insaf menjalar bila memandang masjid putih itu.

Siapa kata di Mekah orangnya hanya ingin beribadat tidak ada orang berperangai buruk apatah lagi ingin mencuri namun sudah terbukti saya juga menjadi mangsa curi, beg sandang mengandungi benda benda penting semua dikebas nasib baik passport di pegang oleh ustaz muttawir. tapi yang bagusnya pihak hotel bayar semua gantirugi . Hidung saya juga tidak lagi mengeluarkan darah.


Waktu menangis melihat tanda masjid Quba di tanah haram Madinah saya meminta agar Allah jadikan saya tidak bersedih, kuat dan tidak menangis lagi, saya tak mahu dilihat lemah bila di depan kaabah, rupanya ia benar benar terjadi air mata tidak mahu keluar, dalam hati saya beritahu kepada tuhan bahawa dia berada di mana mana sahaja dan binaan itu hanya simbol, hati saya mesti lebih dekat dengan Allah berbanding simbol agamanya saya tetap mampu menitis air mata kerana  Allah swt walaupun tidak berada depan Kaabah.. Saya sukar tersentuh dan payah menangis berbanding di Madinah. Saya tidak jatuh air mata lihat kaabah, hajarul aswad mahupun makam Ibrahim dan hijir Ismail. Lagipun saya tidak tenang bila jemaah meronta- ronta depan kaabah dan memonopoli kawasan Multaza dalam waktu yang lama menjadikan ruang untuk jemaah lain mahu menghampiri menjadi sukar. Dengan kaabah saya terpegun betapa besar dan tingginya kaabah, gagahnya nabi Ibrahim dan anaknya Ismail membina bangunan suci ini.

Di mekah terutamanya saya semakin memahami kenapa tanah anbia ini berbatu tanpa tumbuhan seperti negara kita. Mungkin ramai yang terima jika dikatakan Mekah dan Madinah adalah saham akhirat, sekiranya tanahnya subur, sesuai bercucuk tanam maka orang di sana akan sibuk dengan urusan dunia, akan bertani akan menternak dan akan mengerjakan tanah yang subur hingga menganggu waktu solat dan ibadat, tidak ramai yang akan menunggu tiba waktu solat, tidak ramai yang akan beriktikaf serta tawaf dan saei hanya dipenuhi pada waktu waktu tertentu sahaja. Lihat sahaja di Malaysia, buminya subur, cuacanya tidak ekstrim, ternakan mudah membiak, rumput terbentang luas serta ikan dilaut berdekatan kesannya manusia di sini menjadi sibuk bekerja dan masjid lenggang.

Kami bertolak pulang ke Malaysia selepas 40 hari di Arab Saudi dengan penerbangan MAS juga. Satu pujian untuk syarikat penerbangan negara ini yang begitu Islamik dan juga kakitangannya sangat membantu para jemaah di dalam penerbangan.