clixsense

Rabu, 24 Februari 2021

Pelancongan Sungai Pengkalan Datu

Dalam suasana pandemik Covid 19 masih belum berakhir, hari ini Rabu 24 Febuari 2021 negara kita mula membuat suntikan vaksin untuk mengawal wabak berkenaan. Perjalanan rentas negara dan negeri serta daerah belum dibuka sepenuhnya. Kami yang kaki kembara ini membuat program lawatan tempatan iaitu menyusur muara Sungai Pengkalan Datu.

Bot nelayan yang dikhaskan membawa pelancong adalah lebih berwarna dan berukir motif seni rakyat

Apa yang dimaklum bahawa nelayan di Sabak sudah lama membuat program ini tetapi kebiasaannya mereka membuat aktiviti sampingan selain kerja rutin sebagai nelayan, pada setiap hari sabtu bot mereka akan membawa pelancong menyusur sungai aktivitinya sebagaimana berikut ,

- Melawat tempat buat tuak nipah

- Ziarah masjid Ar Rahman

- Pasar nelayan Pulau Gajah

- Melihat rumah api terendah di Asia Tenggara

Penyusuran bermula dari jeti dekat pendaratan ikan Kg Pulau Gajah, Sabak. Hari ini bot berada berjauhan daripada jeti dikhaskan kerana air surut, bot tidak dapat hampiri jeti khas. 

Tempat mula mula kami kunjungi adalah tempat menghasilkan nira dan cuka nipah, 

Pemandangan di jeti tempat pohon pohon nipah diambil hasil nira.

Kami melalui jambatan kayu di celahan pohon nipah yang nyaman dan dingin, dapat melihat bunga dan bagaimana nira diambil dari pokok sebelum sampai ke bangunan kecil yang menempatkan nira dan cuka yang dijual. 


Bunga nipah, ada yang bagitau kerabu bunga nipah terlalu sedap

Tuak / nira nipah

Hirisan kayu cengal yang diguna sebagai pengawet nira..

Nira / Tuak dan cuka nipah RM5 sebotol

Kemudia kami akan mengunjungi masjid Ar Rahman yang telah menjadi ikon kerana keunikan senibinanya, sungai yang cetek disebabkan air surut musim kemarau ini, bot kami tersangkut dibeting terpaksa ditarik oleh sebuah bot memancing yang lalu berdekatan. Lawatan ke masjid Ar Rahman terpaksa dilakukan melalui jalan darat.

Bot tersangkut.. sedang dibantu oleh bot pemancing

Kami juga tidak dapat menghampiri rumah api yang dikatakan terendah itu disebabkan masalah yang sama, hanya dapat melihat dari jauh.


Selepas lebih kurang 3 jam dengan sewa bot RM250 yang boleh di muat seramai 25 orang.. Kumpulan kami seramai 17 orang jadi kosnya adalah RM15 seorang. Ada peserta terus pulang kerana sudah biasa dan tahu akan keberadaan masjid Ar Rahman.

Sesiapa yang belum sampai ke masjid ini silalah datang, anda akan terpegun dengan keunikan dan mutu bahan yang digunakan, daripada kepala paip tempahan khas, beduk kulit lembu yang besar dan ruang solat yang seperti masjid dahulukala serta tasik di sekeliling masjid yang boleh dihampiri oleh bot yang datang dari sungai dan laut, ada tarikan baru di sini, iaitu penternakan ikan kelah dan telapia oleh pihak masjid sebagai tarikan pengunjung.


Walaupun tidaklah semegah sebagaimana pelancongan pinggiran sungai Mekong di Vietnam tetapi ada elemen dan kelebihan tersendiri, usaha ini menampakkan bahawa produk ini boleh diperkembangkan dan direncanakan lagi agar ianya menjadi tarikan dan sumber ekonomi masyarakat nelayan. Produk sudah ada hanya sokongan dan galakan serta penglibatan pihak kerajaan dan swasta secara berterusan akan menjamin kejayaan eko pelancongan di negeri kelantan ini.