clixsense

Isnin, 22 November 2021

Bandar Hilir, Melaka



Menjejak kaki ke Bandar Hilir, terasa kita akan tertolak ke masa lalu. Tetapi bukan di Tanah Melayu tetapi di Eropah. Melihat gereja St Francis Xavier seperti masuk ke era Van Hasting seperti dalam cerita vampire dengan bangunan gaya gothik yang berceracak. Gereja St. Francis Xavier yang terletak di Jalan Laksamana ini dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis. Menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier yang dikenali sebagai "Mubaligh Sulung di Timur" St. Francis Xavier dikenang kerana dia menyebarkan agama kristian Katholik di Asia Tenggara pada abad ke-16.


World Herritage City oleh UNESCO........ wow. Dapat kita bayangkan bagaimana di masa silam tempat ini menjadi rebutan oleh kuasa penjajah di awal penerokaan tanah baru oleh bangsa Eropah. Selepas berjalan dari tempat parking kereta dibawah deretan kedai lama milik para peniaga cina, kita disambut dengan seniman jalanan di Dataran Belanda yang juga terdapat Air Pancut Ratu Victoria yang dibina pada tahun 1904 sempena menyambut Jubli Intan Ratu Victoria United Kingdom.

Berada disini kita terkepung oleh 3 bangunan berwarna merah yang bersejarah di depan mata iaitu

1. Stadthuys ("dewan bandaraya" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.


2. Christ Church dibina sebagai memperingati ulang tahun ke 100 penjajahan Belanda di Melaka. Gereja Christ yang berwarna merah ini terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Jalan Laksamana dan Muzium Belia / Balai Senilukis. Gereja ini dibina sekitar tahun 1753 ia merupakan testimoni kepada seni rekabentuk Belanda yang tulen. Di sini dapat diperhatikan bangku gereja buatan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa penyambung, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan yang menggambarkan Santapan Terakhir Yesus pada jubin yang bersinar.

3. Muzium Belia dan Balai Senilukis terletak di bangunan yang sama. Bangunan muzium ini pernah dijadikan rumah paderi pada zaman Belanda, Sekolah Tinggi dan Pejabat Pos Besar Melaka. Kini fungsinya telah bertukar kepada sebuah muzium yang mendokumentasikan kegiatan belia melalui bahan-bahan dan matlamat berkaitan aktiviti belia di Malaysia dan antarabangsa. Balai Seni Lukis Melaka ditempatkan di aras satu. Galeri ini mempamerkan sejumlah 150 judul lukisan serta arca dari pelbagai media dan tema hasil karya artis-artis terkemuka tanah air dan luar Negara. Semua hasil seni yang dihimpunkan di balai ini mejadi destinasi terbaik untuk menghayati penghasilan seni.




Di Dataran Belanda ini anda akan digamit oleh penarik beca berhias yang menawarkan khidmat penghantaran ke lokasi lain. Oleh kerana kunjungan saya ke sini adalah untuk kali kedua selepas hadir bersama rombongan sekolah berpuluh tahun lalu, saya lupa dan beranggapan Kota A. Famosa dan Gereja St Paul berada dilokasi yang lain. Jadi tawaran oleh penarik beca untuk ke tempat itu saya rasakan berbaloi dengan bayaran RM25 satu beca pergi dan balik. Nasihat saya jika badan sihat dan langkah kaki masih mampu.. berjalan kaki sajalah kerana lokasi tersebut hanya berada di belakang bangunan Stadthuys sahaja.


Melalui kawasan jalan kaki ini anda akan jumpa antaranya,,

1. Muzium UMNO yang mempamerkan sejarah dan perkara- perkara berkaitan penubuhan dan perjuangan UMNO. 

2. Muzium Dunia Melayu dan Islam ialah sebuah muzium tentang budaya Melayu dan Islam. Ia ditempatkan di bangunan Bastion House yang dibina pada tahun 1910 dulunya diduduki oleh syarikat getah British Dunlop sehingga tahun 1986.


3. Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Nama A Famosa seringkali disalah sebut Sebutan yang lebih tepat ialah /ɑ/ Famosa (bunyinya lebih kurang "ah").


Saya rasa sebak kerana 2 perkara bila berada di depan kota A Famosa ini (1) Ia lambang jatuhnya kesultanan Melaka. (2) Ia dimusnahkan oleh Inggris (William Farquhar) hanya tinggal satu pintu sahaja (selepas di selamatkan oleh Sir Stamford Raffles daripada dimusnahkan semua)  daripada keseluruhan menara dan pintu pintu keseluruhan kubu.

4.Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di atas Bukit St. Paul. Replika Istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina Istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477.

Pemandangan dari luar replika Istana Melaka

5. Gereja St. Paul yang terletak di atas bukit St Paul merupakan sebuah bangunan gereja bersejarah. Ia telah dibina oleh seorang Kapten Portugis bernama Duarte Coelho pada tahun 1521, dan menjadikan ia bangunan gereja tertua di Malaysia dan Asia Tenggara.

Di Dataran Pahlawan ada pokok Melaka yang sedang berbuah

Sebagai peminat dan pengagum sejarah silam saya rasa cukup untuk kali ini, walaupun hanya melawat dari luar sahaja. Kerana kekangan masa, saya tidak sempat untuk berlama jika untuk melawat ke muzium atau meneroka Istana Melaka saya mesti datang bersendirian di hari yang lain sebab saya akan habiskan masa yang panjang untuk melihat khazanah serta kesan yang ditinggalkan di Bandar Hilir ini.