clixsense

Rabu, 20 Disember 2023

Seoul - Jeju

 Kali ke 2 ke Korea selepas kali pertama pada 2012 Ini kisahnya sila klik

Dulu saya ke sini kerana memenuhi hasrat anak saya yang hidupnya sepi selepas kegagalan rumahtangga saya. Kini saya datang lagi selepas episod yang pahit berlalu..


Kali ini dapat merasai salju yang turun, musim winter baru bermula... Saya menginap di kawasan Dondemon.  Alhamdulillah dapat merasa salju turun.


Lokasi wajib yang banyak meninggalkan kesan dalam hidup kerana drama sirinya hadir ketika saya meniti remaja


Sebelum terbang ke Korea saya sempat nyanyikan lagu yang menjadi kesukaan.. From Begining Till Now.. yupp layan.


Antara foto foto sekitar Seoul













Jom ke Jeju... kena naik pesawat 1 jam ke Pulau tercantik dan pesona di rantau ini..


Antara foto foto di Jeju
 














Isnin, 6 November 2023

Aceh - Weh / Sabang

 Aceh, suatu nama yang telah wujud lama sezaman kerajaan Melaka, pernah menjadi duri dalam daging Republik Indonesia. Namun malapetaka yang berlaku tahun 2004 menjadi hikmah dan menukar daerah ini menjadi satu tempat yang aman serta mempunyai masa depan dengan status autonomi yang dimilikinya. Aceh keluar dari kesuraman kerana perang kemerdekaan yang merugikan semua pihak terutama rakyat Aceh.

Dulunya saya begitu teruja untuk melihat negara Aceh Darussalam yang merdeka namun setelah menjejak kaki dan mendengar penerangan serta cerita sebenar Aceh sebelum banjir besar. Saya bersyukur kerana tuhan menunjukkan jalan yang terbaik untuk Aceh dan rakyatnya. Kekejaman perang dengan RI dan keperitan hidup di zaman aktiviti GAM tidak memberi kebaikan kepada semua.

Kunjungan saya ke Aceh bersama rombongan selama 5 hari bermula dengan minum pagi di Warkop (warung kopi) yang sememannya terkenal dengan minuman kopi Aceh.

Boleh dikatakan kami hanya melawat kawasan- kawasan kesan Tsunami, seperti Muzium Tsunami, Kapal Mancing Aceh Atas Rumah Lampulo, PLTD Apung, Rumoh Aceh, Pantai di Lampuuk Lhoknga, Kuburan masal Siron, Masjid Rahmatullah Kampong Lampuuk, kubah masjid di sawah padi Gampung Gurah dan banyak lagi tempat yang sebenarnya sangat menarik dengan cerita. Kita akan ditemukan keajaiban, cerita pelik serta kesan kesan yang kadangkala sukar diterima akal biasa, namun itulah yang terjadi di Aceh.


Bagi saya yang asal daripada Kelantan, sudah terbiasa dengan cara hidup keislaman, tapi apabila berada di Aceh dan merasai suasana Masjid Baitulrahman saya akui peraturan dan cara hidup Islam di Aceh lebih baik, teratur dan tidak sekadar slogan yang dimainkan di negeri saya. Aceh benar benar mengamalkan pemerintahan Islam biarpun hanya sebagai wilayah di dalam sebuah Republik. Di Aceh kita tidak akan jumpa orang perempuan yang tidak memakai tudung kepala, tidak ada tempah hiburan melalaikan atau non muslim, di Aceh undang undang syariah diamalkan akibatnya tidak ada ketakutan dan kecurian yang terbuka dan berleluasa, kaum wanita tidak bimbang berjalan malam atau siang. Untungnya bila solat di masjid Baitulrahman kita bagaiman berada di masjid Nabawi Madinah kerana binaan serta payung besar ala madinah dan memang yang membangunkan kemudahan itu adalah Arab Saudi. Suasana ini jauh meninggalkan negeri serambi Mekah di Malaysia. Aceh mendahului biarpun tanpa slogan, orang Kelantan tentu akan cemburukan Aceh jika mereka jejakkan kaki di sini.

Satu produk pelancongan baru di Aceh adalah merentasi lautan hindi ke wilayah Indonesia paling barat iaitu Pulau Weh / Sabang. Sabang adalah sebuah pulau yang bebas daripada kesan Tsunami, untuk ke Sabang adalah menggunakan feri melalu pelabuhan Ulee Lheue tentu ramai yang tidak lupa dengan lagu rakyat berbunyi 

"Ulee Lheue di Kota Raja, boleh tak boleh jalan sahaja,, Ulee Lheue di Kota Raja suka tak suka ikut sahaja"

kalau tak silap dinyanyikan oleh Allahyarham tan Sri P. Ramlee. Kota Raja adalah gelaran bagi bandar Aceh di zaman kesultanan Aceh. Di Sabang feri akan berlabuh di pelabuhan Balohan keluasan pulau Weh / Sabang lebih kurang dengan Langkawi, di sini tempat dilawati adalah Kilometer Nol, kubu Jepun Anoi Itam, tumpuan pelancong ke Sabang adalah snorkeling dan aktiviti pantai.


Sabtu, 23 September 2023

Menyusur akar bangsa di Pantai ni (Patani)

Sudah banyak blog yang berkisahkan pelancongan di selatan Thailand. Beberapa hari lalu buat kesekian kalinya saya berkunjung lagi ke wilayah orang Melayu itu. tapi dalam tulisan ini saya ingin berkongsi beberapa perkara tentang Patani yang dekat dengan bangsa dan agama saya.


Umumnya asalnya adalah termasuk dalam negara Patani Darussalam sebelum menjadi semakin lemah, dipecahkan kemudian ia diserahkan kepada Siam dalam perjanjian sulit di dalam sebuah wat buddha di Patani pada 1909. Pada waktu itu Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke 4 sangat murka dengan apa yang dilakukan oleh Inggris. 

Selepas sahaja melepasi pekan Sungai Golok kita akan bersedia untuk memasuki ke zaman saya kira dalam usia saya kini 50an saya kembali ke zaman kanak- kanak yang mana pada zaman itu persis begitulah suasana perkampungan, budaya dan pertuturan di Kelantan. Kita pejamkan mata lupakan waktu ini lihatlah kita masyarakat Melayu 70an dan 80an dulu. Patani berada dibelakang lebih 40 tahun. Patani secara umumnya adalah lebih dekat dengan Kelantan manakala di sebelah barat ia adalah suasana dan budaya Kedah.Kerajaan Patani di masa lalu adalah lebih moden daripada semua negeri di Tanah Melayu. 

Semenanjung Tanah Melayu harus rasa bersyukur kerana adanya benteng yang menyekat Siam daripada mara ke seluruh semenanjung. Patani berjaya dalam waktu yang lama dengan memainkan peranan sebagai benteng hinggalah ia sendiri akhirnya terpaksa dikorbankan kedaulatan demi menyelamatkan negeri negeri tanah Melayu yang lain khasnya Kedah, Perlis dan Kelantan- Trengganu.

Patani juga antara negeri negeri Melayu yang menghantar bunga emas dan perak kepada Siam setiap 3 tahun seperti mana yang dilakukan oleh Kelantan, Terengganu dan Kedah ini diceritakan sekali lagi oleh keluarga Istana Sultan Patani di Jambu. Istana Jambu adalah Istana kerabat Tengku Anis iaitu Raja Perempuan Kelantan yang kini adalah bonda Sultan Kelantan. Sultan Muhammad 5.  Istana Jambu dibina pada 1896 dengan elemen Itali, Melayu dan Jawa.. bayangkan waktu itu megah dan kuatnya ekonomi pembesar Patani.

Saya katakan kita kembali ke suasana Tanah Melayu khususnya Kelantan dengan dialek lama yang sudah jarang dan ada yang telah pupus di dalam masyarakat Kelantan namun ia masih dituturkan di Selatan Thai, perkataan Melayu yang dulu orang orang tua kita turut gunakan dalam percakapan harian.

Penggunaan kerbau dalam membajak sawah serta kerja- kerja gotong royong seperti menyemai, memotong dan memukul padi di sawah masih diamalkan. Dan jika kita lihat keadaan kebun kelapa, buah buahan ia pantas mengingatkan kita akan suasana itu yang hanya mungkin dapat dilihat di dalam foto foto lama famili dan rakan rakan sekampung. Begitu juga penggunaan perigi dan bilik air diluar rumah yang kini sudah sangat sukar di lihat di Malaysia.

Perhatikan raut wajah saudara sebangsa dan seagama kita di Patani, kita akan lihat betapa kentalnya mereka hidup dalam sebuah kerajaan yang tidak banyak menyokong kehidupan, lihat saja masjid Wadi Hussin yang berusia 400 tahun dan juga keunikan pembinaan bangunan batu bata pertama di asia tenggara iaitu masjid Sultan Muzaffar Shah di Gresik yang dibina pada 1514 jika ditinjau apa saja pembangunan, pembaik pulih dan pemuliharaan segalanya dilakukan sendiri oleh komuniti. Berbeza dengan tempat ibadat orang Buddha walaupun hanya ada beberapa keluarga tetapi wat yang didirikan oleh kerajaan adalah sangat megah.

Apabila melihat masjid Gresik saya akan terbayang pembunuhan orang Islam didalamnya oleh tentera Thai dan juga tragedi bergelimpangan anak muda Melayu di Sungai golok diikat tangan tanpa baju dicampak ke dalam trak dan selepas itu nasib mereka tidak tahu lagi. Masjid Wadi Hussin yang sezaman dengan masjid kampung laut Kelantan yang dibina tanpa paku pula seolah menanti masa untuk rosak satu demi satu binaannya tanpa pemuliharaan yang cermat dan teratur.

Keyakinan saya bahawa Patani lebih dahulu mencapai kemajuan berbanding Kelantan adalah dibuktikan dengan sebuah sekolah agama yang dapat berdikari malahan cukup lengkap yang jika dibanding dengan Malaysia ia seperti sebuah sekolah agama yang dibantu oleh kerajaan sepenuhnya tetapi di Patani ia adalah sekolah swasta yang dikelolakan oleh individu biasa, tidak kaya bukan korporat tetapi mampu menggerakan semua atas semangat menjaga agama dan memberi pendidikan kepada anak Melayu. Kemajuan ini mengingatkan kita kepada ulama besar nusantara yang lahir di Patani dan meninggal di Taif, Arab Saudi. Iaitu Syeikh Daud Al Fatoni yang juga seorang pejuang.

Kesimpulannya, melawat wilayah selatan Thailand adalah pengembaraan menyusur semula sejarah, kehidupan dan semangat kental bangsa Melayu yang masih boleh dilihat di Patani.



Jumaat, 30 Jun 2023

Beraya bersama Puteri..

Hari raya korban ini menjadi hari yang paling bermakna dalam hidup saya. Terima kasih kepada kakak saya yang mempelawa anak saudaranya menyambut hari raya di Kelantan, kakak juga turut membeli tiket kapalterbang kepadanya. Kehadiran juga turut disertai oleh nenek dan nenek saudaranya yang juga ingin merasai suasana hari raya di Semenanjung.

Puteri Safilayya bersama neneknya di ambil di KLIA oleh Puteri Salsabila yang kemudian memandu terus ke Kelantan. Dalam perjalanan anak saya tanyakan buah durian, teringin nak makan. Setelah meredah kesesakan di perjalanan akhirnya mereka sampai jam 10 malam. Dan saya bersetuju agar mereka semua tinggal dirumah kakak sepertimana permintaan kakak.

Isteri menyediakan pulut pauh dan pulut durian.. identiti makanan orang Kelantan. Mereka tak pernah makan sebelum ini

Pulut warna hijau.. kelainan juga ni. huhuu

Selepas selesai makan, anak anak bermain dengan kucing kiko yang masa kecilnya dijaga oleh sabila juga mereka menjenguk guinea pig yang dulunya beberapa ekor saja yang ditinggalkan oleh sabila sekarang dah ramai. Biri biri yang saya pelihara juga mereka bermain main dan safilayya takut bila biri biri ramai ramai mengerumuninya mintak makan.

Keesokannya mereka jalan jalan ke Kota Bharu sebelah petang pula saya bawa Sabila tinted cermin keretanya. katanya di KL harga lebih mahal. Mereka juga tanyakan tempat beli T- Shirt bertulis Kelantan. Saya takde idea selain ada jual di airport tetapi harganya tinggi. Saya minta mereka ke Wakaf Che Yeh.. 

Malamnya mereka ke pasar borong wakaf che Yeh.. ada jual T- shirt tetapi tidak banyak pilihan dan kurang menarik. Inilah yang saya perhatikan di Kelantan tiada produk pelancongan yang baik yang pelancong boleh beli untuk kenangan terutamanya produk T- Shirt tidak seperti di tempat tempat lain.




Bayangkan apa perasaan seorang ayah apabila di hari raya terakhir dapat bersama begini adalah Sewaktu Safilayya berumur 4 tahun lebih 20 tahun yang lalu.


Ma (khadijah) Puteri Safilayya, Norsiah / Lucia (bekas mertua) Monica Stephen (bekas mak saudara)

Safilayya bersama nenek Kelantan dan nenek Sabah



Khamis, 23 Februari 2023

Trip dari Golok ke Vientiane

Dari Imigresen Malaysia di Rantau Panjang, kami menyeberangi sungai golok ke stesen keretapi yang letaknya berdekatan sahaja, selepas makan dan membuat tukaran wang kami naik ke keretapi. Sudah menjadi perkara biasa gerabak dari Sungai Golok ke Hatyai di kawal oleh polis dan tentera di dalam gerabak untuk mengawasi keselamatan kerana berada di wilayah selatan yang bergolak. 

18 jam berkeretapi akhirnya sampai ke bandar diraja Hua Hin. Bandar yang menjadi destinasi baru pelancongan di Thailand.

Di Hua Hin banyak taman tema seperti bertema Swiszerland, Morroco, Santorini dan yang ini antara yang menarik bertemakan Venice.. selepas co19 masih lenggang.


Di Bangkok kami menginap di hotel kawasan Pratunam, satu kawasan yang terkenal dengan pusat membeli- belah dan juga menjadi tumpuan pelancong, restoran halal juga mudah didapati disini.
Mall yang saya rasa lebih baik dan harga yang lebih murah adalah Mall Indra, ia bersebelahan dengan hotel penginapan kami, boleh dikatakan keseluruhan ruang niaga di Mall ini di monopoli oleh orang Nepal.
Hari terakhir di Bangkok kami ke Kanchanaburi, lebih 3 jam dari Bangkok untuk ke Sungai Kwai.. takde lain kerana ingin melihat sendiri cerita trajik tentang jambatannya.
Di Kanchanaburi mengingatkan saya The Bridge On The River Kwai. Filem pemenang Oscar 1957 tentang jambatan dan landasan keretapi maut yang melintasi sungai Kwai (110km dari Bangkok) masih saya ingat.., tentang kekejaman perang dan sengsara mangsa yang dibawa ke sini untuk menemui ajal.
 

Bila mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa luang Prabang, saya mula rasa kasihan kepada bandar dan negara ini. Berpuluh tahun di belakang negara membangun lain, lapangan terbang yang sangat kecil lebih kecil daripada lapangan terbang mana mana destinasi utama domestik di Malaysia. Luang Prabang seperti bandar yang tidak lagi dipedulikan oleh pemerintah mereka sedangkan di sinilah ibu negara Laos yang asal sebelum berpindah ke Vientiane. 

Namun apa yang menjadi tarikan sehingga begitu ramai orang eropah datang ke bandar ini.. Luang Prabang tidak moden, tapi dengan status bandar Unesco ia ada tarikan tersendiri antaranya kunci bandar yang dikunjungi pelawat adalah kebersihan.. saya lihat penduduk menyapu sampah dipremis, kaki lima jalan dan berhampiran kediaman masing masing,


Selain pusing pusing bandar.. melawat juga ke perkampungan ethnik Hmong. Ethnik ini dipinggirkan dan mereka menjadi duri dalam daging kepada negara negara lain seperti Thai, Myanmar dan di selatan negara China kerana mereka menuntut negara sendiri untuk suku mereka sebagaimana juga bangsa Kurdish di Asia Tengah

Sebenarnya negara Laos mempunyai air terjun yang sangat cantik, luas, bertingkat dan jernih, ia juga menjadi tumpuan pelancong, dan situ ada menjual biji sacainci goreng, awalnya tak tau apakah buah kekacang ni, macam buah getah, anak pokok pun ada.. ooo inilah Sacainci yang femes tu, beli 4 paket dia bagi TB100 (rm12.50). 
 

Berjalan jalan di bandar Luang Prabang dan melihat bangunan serta chalet yang cantik di tebing sungai mekong sambil melihat sampan dan bot sangat mempesonakan dan tak teragak agak saya memilih Luang Prabang sebagai pilihan untuk dikunjungi lagi.


Hari ke 3 kami bertolak ke stesen keretapi laju untuk ke Vientiane, Setelah menikmati pemandangan dan berada dalam HSR selama 3 jam setengah dari Luang Prabang dengan tambang (-+RM70).. malam sampai ke Vientiane kalau naik van mengambil masa 7-8 jam. Ini mengingatkan saya kepada kegagalan ECRL di Malaysia mengikut jadual dan laluan asal ..



Di Vientiane, iaitu ibu negara Laos, menginap di hotel New love Ros, sebelah malamnya saya pergi ke pusat urutan, urut kaki... fuhhh rasa ringan kaki, paginya membaca akhbar China Daily, akhbar propaganda parti komunis ini membenarkan bahawa negara China dan Laos menjalinkan hubungan yang sangat erat dan ideologi politik kedua dua negara adalah satu parti / komunis.


Sebagai bekas tanah jajahan Perancis, Vientiance mempunyai pintu gerbang mirip yang ada di Paris. Vientiane hanya dipisahkan oleh sungai Mekong dengan negara Thailand. jarak Laos ke bandar Udon Thani pula mengambil masa 3 jam dengan bas, tambang KIP30,000 bersamaan lebih kurang Rm6.

Dari Udon Thani kami menggunakan pesawat VietJet untuk transit di lapangan terbang Suvarnabhumi untuk ke Hatyai pula kami ambil Air Asia jadi kena naik free shuttle ke lapangan terbang Dong Mueng.

Sementara menunggu penerbangan, cari kedai halal... ada jumpa di tingkat 3, kami makan set nasi mandi ayam TB202 / -+rm24


Malam terakhir sebelum kembali ke Malaysia kami bermalam di bandar Pattani kerana imigresen hanya setakat jam 10 malam, Tinggal di hotel baru 'The Wood" hotelnya sangat cantik serta biliknya besar hanya rm100 lebih satu malam. Hotel ini juga ada cawangannya di Hatnyai.