clixsense

Isnin, 6 November 2023

Aceh - Weh / Sabang

 Aceh, suatu nama yang telah wujud lama sezaman kerajaan Melaka, pernah menjadi duri dalam daging Republik Indonesia. Namun malapetaka yang berlaku tahun 2004 menjadi hikmah dan menukar daerah ini menjadi satu tempat yang aman serta mempunyai masa depan dengan status autonomi yang dimilikinya. Aceh keluar dari kesuraman kerana perang kemerdekaan yang merugikan semua pihak terutama rakyat Aceh.

Dulunya saya begitu teruja untuk melihat negara Aceh Darussalam yang merdeka namun setelah menjejak kaki dan mendengar penerangan serta cerita sebenar Aceh sebelum banjir besar. Saya bersyukur kerana tuhan menunjukkan jalan yang terbaik untuk Aceh dan rakyatnya. Kekejaman perang dengan RI dan keperitan hidup di zaman aktiviti GAM tidak memberi kebaikan kepada semua.

Kunjungan saya ke Aceh bersama rombongan selama 5 hari bermula dengan minum pagi di Warkop (warung kopi) yang sememannya terkenal dengan minuman kopi Aceh.

Boleh dikatakan kami hanya melawat kawasan- kawasan kesan Tsunami, seperti Muzium Tsunami, Kapal Mancing Aceh Atas Rumah Lampulo, PLTD Apung, Rumoh Aceh, Pantai di Lampuuk Lhoknga, Kuburan masal Siron, Masjid Rahmatullah Kampong Lampuuk, kubah masjid di sawah padi Gampung Gurah dan banyak lagi tempat yang sebenarnya sangat menarik dengan cerita. Kita akan ditemukan keajaiban, cerita pelik serta kesan kesan yang kadangkala sukar diterima akal biasa, namun itulah yang terjadi di Aceh.


Bagi saya yang asal daripada Kelantan, sudah terbiasa dengan cara hidup keislaman, tapi apabila berada di Aceh dan merasai suasana Masjid Baitulrahman saya akui peraturan dan cara hidup Islam di Aceh lebih baik, teratur dan tidak sekadar slogan yang dimainkan di negeri saya. Aceh benar benar mengamalkan pemerintahan Islam biarpun hanya sebagai wilayah di dalam sebuah Republik. Di Aceh kita tidak akan jumpa orang perempuan yang tidak memakai tudung kepala, tidak ada tempah hiburan melalaikan atau non muslim, di Aceh undang undang syariah diamalkan akibatnya tidak ada ketakutan dan kecurian yang terbuka dan berleluasa, kaum wanita tidak bimbang berjalan malam atau siang. Untungnya bila solat di masjid Baitulrahman kita bagaiman berada di masjid Nabawi Madinah kerana binaan serta payung besar ala madinah dan memang yang membangunkan kemudahan itu adalah Arab Saudi. Suasana ini jauh meninggalkan negeri serambi Mekah di Malaysia. Aceh mendahului biarpun tanpa slogan, orang Kelantan tentu akan cemburukan Aceh jika mereka jejakkan kaki di sini.

Satu produk pelancongan baru di Aceh adalah merentasi lautan hindi ke wilayah Indonesia paling barat iaitu Pulau Weh / Sabang. Sabang adalah sebuah pulau yang bebas daripada kesan Tsunami, untuk ke Sabang adalah menggunakan feri melalu pelabuhan Ulee Lheue tentu ramai yang tidak lupa dengan lagu rakyat berbunyi 

"Ulee Lheue di Kota Raja, boleh tak boleh jalan sahaja,, Ulee Lheue di Kota Raja suka tak suka ikut sahaja"

kalau tak silap dinyanyikan oleh Allahyarham tan Sri P. Ramlee. Kota Raja adalah gelaran bagi bandar Aceh di zaman kesultanan Aceh. Di Sabang feri akan berlabuh di pelabuhan Balohan keluasan pulau Weh / Sabang lebih kurang dengan Langkawi, di sini tempat dilawati adalah Kilometer Nol, kubu Jepun Anoi Itam, tumpuan pelancong ke Sabang adalah snorkeling dan aktiviti pantai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan