Mungkin ramai yang sependapat jika saya menyatakan kalau kita sudah sampai ke Kashmir maka akan lengkaplah penjelajahan menikmati keindahan alam di dunia ini. Satu destinasi yang sangat cantik dan mengagumkan sesuai dengan kata kata Sultan Akhbar yang menjadi pemerintah ke 3 Kerajaan Moghul dengan menyebut bahawa Sekiranya tuhan menciptakan syurga di dunia ini, Kashmir lah syurganya. Begitu juga anaknya Jahangir yang meninggal dunia di Kashmir isi perutnya ditanam di Azad Kashmir manakala badannya dikebumikan di Lahore yang mana kematiannya tahun 1627 tertulis kata kata 'hanya Kashmir kashmir'.
Untuk sampai ke tempat yang penuh bermakna dan menjadi rebutan antara India, Pakistan dan tuntutan kemerdekaan oleh Jammu -Kashmir, ada cabaran yang sekiranya tidak di tempuhi mungkin kami tidak akan berjaya menjejak kaki ke sini. Keretapi dari Jaipur tertangguh beberapa kali dan sewaktu berada di platfom untuk ke New Delhi kami di fahamkan pula keretapi ditangguh untuk 16 jam lagi. Buntu seketika kerana kelewatan itu akan menyebabkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sheikul Alam juga terpaksa dibatalkan. Cemas, tiket penerbangan dari Jaipur tentunya amat mahal itupun jika ada kekosongan, sewa kereta juga sangat mahal. akhirnya dapat tiket akhir dengan bas pada hari tersebut hanya 2 kekosongan sahaja, cukup cukup untuk saya dan isteri.
Perjalanan yang panjang dengan bas di malam yang amat sejuk akhirnya sampai ke New Delhi, masuk hotel berhampiran lapangan terbang untuk awal- awal paginya ke Srinagar dengan penerbangan Vistara Air.
Lapangan terbang Srinagar diawasi oleh tentera kebangsaan India, penerbangan kami juga bersama dengan rombongan jemaah warga Kashmir yang pulang dari umrah. Proses dokumentasi yang teliti dan urusan imigresen yang memakan masa membuatkan kami menjadi penumpang yang akhir keluar dari kompleks lapangan terbang. Dalam 30 minit dari lapangan terbang akhirnya kami sampai ke 'Dal Lake' untuk menyeberang ke tempat penginapan di rumah bot.
Pemilik tempat penginapan menyediakan 'Teh Kashmiri' dan roti tradisi orang tempatan. Selepas itu kami keluar semula menaiki bot untuk menikmati keindahan tasik yang sejuk dinamakan 'Sinkara', waktu berada dalam bot kami dihampiri oleh bot penjual barangan seperti permata, safron, makanan dan cenderamata disamping kami juga dibawa ke pasar pasar yang ada di pinggir tasik.
Sesuai dengan lokasi kesukaan maharaja Akhbar.. ditasik ini kita dapat melihat Istananya yang besar sayup sayup dipuncak bukit dalam pemandangan yang berkabus.
Pada keesokkan harinya kami menuju ke Gulmarg yang pada musim ini ia dilitupi salji, tasik kecil juga membeku, dalam perjalanan kami singgah di beberapa lokasi untuk bergambar.
Di pusat tumpuan Gulmarg, pekerja penunda slade tidak henti henti bercakap pasal kemerdekaan dan cita cita warganya untuk berkerajaan sendiri tidak dibawah India ataupun Pakistan mereka juga bangga dan menghormati pendirian Malaysia dalam peranan yang membabitkan kepentingan umat Islam sejagat.
Setelah seharian berada di pergunungan dengan suhu -6C kami turun semula ke bandar Srinagar, setelah hampir dengan bandar tidak ada lagi pemandangan salji memutih hanya pokok pokok gondol dengan ranting bergaya menjadi tatapan sepanjang jalan.
Hari seterusnya kami turun ke bandar Srinagar, agak besar dan sibuk dengan pelbagai aktiviti. Yang nyata sebilangan tentera berada di segenap penjuru sebagaimana di Gulmarg juga, apa yang saya perhatikan tentera yang mengawasi rakyat Jammu -kashmir seperti kera sumbang, tidak diendahkan dan tiada sesiapa dikalangan orang tempatan yang bercakap cakap dengan mereka satu keadaan yang jelas orang tempatan tidak senang dengan kehadiran mereka.
Memang kami menyedari pada musim "winter" ini bukanlah waktu yang terbaik untuk menikmati keindahan taman- taman dengan bunga tulip dan sebagainya, di Kashmir kami hanya ingin melihat salji yang memutih apalagi kita ini orang yang tinggal di negara yang tidak langsung merasai salji, musim ini hanya kelihatan pekerja yang mula menanam benih benih pokok yang akan berseri pada bulan april.
Setelah puas setiap hari mengharungi tasik Dal dengan airnya membeku waktu pagi saya tidak sabar untuk meninggalkan Houseboat kerana tidak tahan dengan kesejukan bersuhu -3.9C.
Kembali ke New Delhi dengan penerbangan Indigo Air, sebagaimana Vistara Air penerbangan memakan masa 1 jam 45 minit ini juga menyediakan makanan yang sedap walaupun bertag 'Vegetarian'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan