clixsense

Khamis, 18 Januari 2018

Agra

Tujuan utama berkunjung ke Agra adalah untuk melihat Taj Mahal, satu daripada tujuh keajaiban dunia. Kami ke Agra menggunakan bas bersama para pelancong tempatan dan luar. Tempat pertama yang di lawati adalah Agra Fort atau Benteng Agra yang menjadi pusat pemerintahan Maharaja Moghul. Benteng Agra juga disebut sebagai Lal Qila atau Benteng Merah. Ia menjadi pusat pemerintahan penguasa terkenal seperti Babur, Humayun, Akhbar, Jehangir, Shah Jahan juga Aurangzeb. Ia menjadi tempat simpanan kekayaan negara dan tempat menerima wakil wakil kerajaan asing. Masuk ke Agra Fort seolah masa silam Kerajaan berada di depan mata, dapat dibayangkan watak- watak yang mendiamai kota ini sebagaimana dalam filem dan drama bersiri Jodha Akhbar. Melihatkan binaan yang teguh dan kuat membuatkan kita berfikir sekiranya kita berada di zaman tersebut amat mustahil kota ini dapat ditembusi ditambah dengan kawasan lapang sekeliling kota dikatakan terdapat harimau dan singa manakala dalam parit tepi kota pula terdapat banyak buaya untuk pertahanan daripada penceroboh.

Di depan pintu masuk Benteng Agra, tiket masuk untuk pelawat asing 50 rupee.


Selepas itu kami di bawa ke bilik tahanan Shah Jehan Maharaja dinasti Moghul yang banyak kisah menarik dan diingati sepanjang zaman. Shah Jehan digulingkan oleh anaknya Aurangzeb, antara alasan penurunan takhta itu adalah rakyat dan pembesar tidak senang dengan projek mega yang dilaksanakan oleh Maharaja Shah Jehan kerana melibatkan perbelanjaan negara yang amat besar dan kerahan tenaga rakyat yang ramai. Shah Jehan ditahan selama 8 tahun sehingga kematiannya di bilik yang menghadap ke makam isterinya, masyaAllah kecantikan Taj Mahal dapat dilihat dengan jelas dari bilik tahanan. Kisah percintaan Shah Jehan dan Mumtaj mahal ini juga mengingatkan saya tentang kisah cinta Salim dan Anarkali yang ditentang oleh ayahnya Maharaja Akhbar, Salim yang kemudiannya menjadi pemerintah Moghul dikenali dengan Maharaja Jahangir juga adalah ayah kepada Maharaja Shah Jehan.

Berdiri di depan bilik para Maharaja Moghul

Tiang bilik tahanan Shah Jehan di belakang itu jelas memperlihatkan kesan batu permata dan emas yang di cungkil oleh pihak British.

Walaupun dikatakan bilik tahanan, namun bolehlah dianggap sebagai tempat maharaja direhatkan atas sebab politik. Bilik tahanan ini sangat mewah, di dinding dan tiang tiang disadur emas dan permata yang bernilai tinggi. Bilik ini bersebelahan dengan bilik salah seorang anak perempuannya. Mumtaj melahirkan anak seramai 14 orang dan meninggal dunia semasa melahirkan anak yang bongsu. 
Dewan mesyuarat kabinet Kerajaan Moghul
Mimbar yang menghadap kawasan lapang tempat Maharaja mendengar dan menjatuhkan hukuman, maharaja akan mengundang orang awam untuk bersama meyaksikan hukuman.


Di samping menyediakan masjid untuk wanita 'Menna masjid', kompleks Istana zaman dinasti Moghul ini juga menyediakan tapak pasar khas untuk wanita membeli belah di lokasi dalam gambar di atas. 
Bilik tengah berwarna merah dibelakang adalah bilik Maharani Muntaj Mahal.
Benda yang paling mengecewakan adalah adanya pusara Pesuruhjaya Tinggi British atau Gabenor wilayah barat India bernama John Russell Colvin. Pusara ditengah tengah kompleks bertentangan mimbar kehakiman ini membuktikan British akhirnya menguasai kerajaan Moghul.

Selepas berada lebih kurang 1 jam di Agra Fort, kami dibawa ke kedai kraftangan, yang mana saya turut membeli satu model paling kecil Taj mahal berharga 200 rupee yang dibuat daripada bahan yang sama dengan Taj Mahal sebenar. 
Untuk ke kompleks Taj Mahal kenderaan tidak dibenarkan merapati ke makam tersebut atas nasihat UNESCO kerana pencemaran udara menjejaskan struktur makam terhebat tersebut. bas meninggalkan kami di satu tempat 1km dari bangunan dan semua pelawat kena berjalan kaki. Tiket berharga 1000 rupee dikenakan kepada rakyat negara selain India, pakistan, Afghanistan, Nepal dan Bangladesh satu jumlah sangat mahal berbanding negara bekas kerajaan Moghul yang hanya perlu bayar 70 rupee sahaja.
Bayangkan jika shah jehan tidak diguligkan, hari ini sudah tentu Agra mempunyai 2 Taj Mahal yang mana satu lagi berwarna hitam diseberang sungai Jumna bertentangan dengan Taj mahal putih, itu hasrat Shah Jehan unttuk dijadikan sebagai pusaranya sendiri.
Melihatkan terlalu ramai pengunjung dan barisan yang panjang untuk melihat keindahan ciptaan manusia ini, masa yang singkat tidak mencukupi untuk saya meneroka dan menikmati keajaiban Taj Mahal, semoga suatu hari saya boleh sampai ke sini lagi.



  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan