Catatan kali ini bolehlah dikatakan satu catatan ringkas tentang satu masa dulu di musim bah bulan disember, walaupun dikatakan bah membawa kesusahan kepada sesetengah orang yang berada dilaluan air, penulis juga akui kerana pernah turut alami suasana berpindah di musim bah. Tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan musim inilah yang ditunggu - tunggu oleh kami di kampung, musim cuti panjang akhir tahun persekolahan. Kebiasaannya kami di kampung tahu bilakah air bah yang ditunggu tunggu akan memberi keseronokan, iaitu pada gelombang ke tiga hujan lebat. Orang- orang kampung sudah membuat persediaan awal. Yang perlu berpindah sudah bersiap barangan untuk ke rumah sanak saudara. Waktu itu orang orang kampung kami tidak pernah membayangkan apa yang berlaku seperti pada hari ini. Kami tidak kenal JPAM, kami hanya tahu BOMBA adalah untuk melawan kebakaran, Kami tidak sedar adanya agensi seperti JKM, kami tidak faham mengapa PDRM dan tentera juga terlibat dalam situasi banjir. Maka pada waktu itu kami tidak nampak perlunya segala jentera Kerajaan berkhidmat untuk orang yang terlibat dengan banjir atau bah.
Kampung Bukit Temalong terletak di kaki bukit sementara Bukit Hanyut pula terletak lebih ke kawasan sawah padi dan ladang getah. Kampung Bukit Hanyut inilah menjadi tempat pesta air bagi kami, kawasan- kawasan lain sekitar daerah Gunong juga merasai perkara yang sama. Aktiviti memasang taut, memukat ikan darat dan memungut belalang sangat dinanti oleh semua. Bila hujan melimpahi jalan- jalan bagaikan pesta. Kami anak anak sudah boleh menebang buluh di bukit membuat rakit, kadangkala seharian menyediakan rakit seorang sebuah untuk digunakan. Walaupun tidak ramai ibu bapa yang membebaskan anak- anak mereka untuk menikmati suasana air bah dan seronoknya mendayung rakit ke tengah lautan air bah, tapi masih ramai yang bersyukur kerana menjadi anak yang tidak dimanjakan dan bebas beraktiviti musim itu.
Setelah puluhan tahun bah sebegitu tidak dirasai akhirnya 20 Januari 2017 ia datang dan menyamai apa yang berlaku dulu, selepas sistem perparitan projek Kemasin - Semerak berjaya menghalang banjir tiada lagi pesta air, tapi kali ini bah yang menjadi kenangan akhirnya dapat dirasai, cuma kali ini air bahnya tidak bertahan lama, bila hujan berhenti air pun surut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan