clixsense

Selasa, 17 Julai 2018

Kenyir

Sebelum ini hanya mendengar sahaja cerita kawan kawan dan orang yang pernah sampai ke sini. Kali ini bersama isteri menyertai kumpulan yang akan bercuti di tasik kenyir. Dari Kota Bharu kami memandu jalan melalui Jertih ke LPT 2. Sebelum masuk ke lebuhraya ada papan tanda ke Tasik Kenyir / Sekayu. Bertolak hampir pukul 5 petang melalui lebuhraya dan jalan menghala ke Kuala Berang dan akhirnya menurut papan tanda ke Pengkalan Gawi. sampai di sini hari sudah malam, yang kelihatan cuma lampu lampu cantik dan kerlipan cahaya lampu di tepian tasik kenyir. Sampai di depan Pejabat Pelancongan Ketengah, kami menghubungi pihak Houseboat yang kumpulan kami sudah tempah iaitu Houseboat "Cendana" ia sederaha dan terdapat 3 bilik dorm (bilik besar untuk 30 rang dan 2 bilik kecil memuatkan 8 orang sebilik, kami difahamkan ada pelbagai kategori houseboat yang boleh disewa mengikut kehendak masing- masing dan ada houseboat lebih mewah hingga mencapai Rm15k untuk penginapan selama 2 hari, Houseboat kami hanya dikenakan rm150 seorang termasuk tiket ke pusat pemuliharaan ikan kelah. Malam itu kami tidur di Houseboat sementara menunggu keesokannya untuk bergerak ke destinasi yang dijadualkan.

      Bergerak dari Pengkalan Gawi

Perlu diketahui bahawa pihak houseboat tidak menyediakan makan dan minum, mereka hanya sediakan peralatan memasak sahaja, bahan mentah kena bawak secukupnya untuk dimasak termasuklah beras.

Jeti Pulau Sah Besar

       
       Kacip Fatimah                                                 Tongkat Ali Hitam & Putih

Houseboat bergerak jam 8:30pagi ke destinasi pertama iaitu ke taman herba di Pulau Sah Kecil bersebelahan Pulau Sah Besar milik Jabatan Perdana Menteri, mungkin di pulau ini menjadi tempat mesyuarat atau percutian kerajaan. Pelbagai jenis herba yang ditanam di pulau kecil ini dan banyak papan tanda yang menerangkan kegunaan pokok pokok herba, papan tanda juga banyak diletakkan nama orang yang menanamnya seperti ketua ketua Jabatan, vip dan ahli politik.Di pulau herba ini ada disediakan minuman akar kayu percuma untuk pengunjung iaitu air mahkota dewa, tongkat ali dan kacip fatimah.


Selepas sejam berada di taman herba kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Lasir, sesampai di Pulau ini saya terus terjun dan mandi seorang diri, yang lain mungkin tak berani kerana air sangat dalam. Di pulau ini kami bergerak ke atas bukit untuk mandi di air terjun yang sejuk dikelilingi hutan hujan yang sangat menyegarkan.

 



Selepas aktiviti mandi di air terjun kami kembali ke Houseboat, yang perempuan menyediakan makanan sementara aktiviti rehat dan memancing bermula. Di sini isyarat telefon tidak ada dan tiada gangguan daripada dunia luar. Kami juga ramai- ramai menonton dan filem "Great Wall" jadi pilihan kami, seronok juga menonton ramai ramai.


Pada sebelah malam aktiviti BBQ diadakan, kami bakar daging kambing, ayam dan jagung.. ramai ramai makan di atas dek houseboat, dan suasana waktu malam ini kelihatan meriah dengan suara- suara houseboat lain yang turut berlabuh untuk bermalam di Pulau Lasir ini, ada kira- kira 10 buah houseboat lagi selain kami.

Pulau Lasir



Pagi hari kedua kira kira jam 8 pagi konvoi houseboat meninggalkan Pulau Lasir untuk ke Kelah Santuary, pelayaran selama 4 jam memperlihatkan panaurama tasik buatan yang sungguh memukau. Dan seandainya saya bukan orang Malaysia sudah tentu saya tak puas puas memuji akan kecantikan tasik Kenyir ini terutama hutan hujan yang tidak terusik di sepanjang laluan.




Sampai di jeti taman pemuliharaan ikan kelah kami diberi taklimat tentang peraturan dan ingatan terlebih dahulu. kami juga disarankan membeli makanan ikan kelah untuk dibawa, makanan itu ada dijual bersebelahan jeti, makanan luar tidak dibenarkan dibawa kecuali air mineral sahaja. Selepas memakai gelang / tag di lengan masing masing kami menaiki speedboat ke jeti Sungai Pertang, dai jeti ini kami kena berjalan kaki sejauh hampir 2 km yang melalui antaranya jambatan gantung, jalan bersimen serta denai melintasi sungai sebelum sampai ke tempat yang dituju, perjalanan memang memenatkan tetapi apabila kami diserbu oleh ikan ikan yang manja dan jinak segala penat lelah berjalan kaki akhirnya berbaloi. Untuk perjalanan ini saya dan isteri tidak berhasrat untuk ke sini lagi jika sampai lagi ke tasik Kenyir biarlah berada di Houseboat sahaja.. memang sangat jauh berulang alik jalan berbukit hampir 4 km pergi balik. Mungkin pihak pengurusan Kelah Sanctuary boleh memikirkan lokasi yang lebih dekat disebabkan pengunjung warga emas dan kanak kanak adalah mereka yang kurang berdaya untuk perjalanan yang jauh itu.

Jambatan gantung ke tempat ikan Kelah



Selepas aktiviti bersama Ikan Kelah kami belayar balik ke Pengkalan Gawi semula. Hampir jam 4 petang kami sampai ke Jeti, dalam perjalan pulang saya singgah di kedai bebas cukai yang berhampiran untuk melihat- lihat barang jualan dan cenderamata. Perlu diketahui bahawa di Kenyir ini juga kita akan melalui sekatan kastam sebagaimana kawasan bebas cukai yang lain di seluruh negara.

Perjalanan pulang

Batu Kikir

Batu Kikir is a small town in Negeri Sembilan, Malaysia. Batu Kikir is located in between Bahau and Kuala Pilah. It is made popular by a phrase Batu Kikir Jambatan Bosi from a line of lyrics of a popular Malaysian song "Apo Kono Eh Jang". Itu penerangan ringkas daripada Wikipedia

Selain daripada melihat rumah yang berbumbung melentik ke atas, satu lagi mercu tanda yang perlu dilawati adalah Teratak Pendita Za'aba terletak di Kampung Bukit Kerdas, 1km daripada pekan Batu Kikir.. Kenapa diluar saja.. Anda dilarang bergambar di dalam galeri.. walaupun tidak diawasi tapi saya hormati dan patuh akan peraturan.. gambar kat luar saja.





Masuk percuma, luangkan masa melihat dan merenung sumbangan besar pemikir Melayu ini. Selepas hampir sejam berada di sini saya teringat satu lagi benda yang mesti saya tengok iaitu jambatan yang glamer tu.. Saya sememannya tidak tahu di mana terletaknya Jambatan Bosi, saya tanyakan penjaga Teratak Za'aba dan dia sambil tersenyum menjawab.. Jombatan bosi dah jadi batu..waktu balik daripada teratak pendita saya melintasi jambatan ini.. Inilah jombatan bosi tersebut.. dan cucu - cucu saya sudah bagitau inilah jambatannya tapi saya tak percaya sebab ada yang cakap Jambatan besi masih ada.  Ada tu, tapi jambatan untuk kabel TNB jelaa.. 


Di batu Kikir ini tidak banyak untuk diceritakan... jom kita sama sama nyanyi lagu "Apo Kono Eh Jang"



Ahad, 8 April 2018

Labuan

Sampai di Kota Kinabalu International Airport (KKIA) kami disambut oleh Puteri 2. Kerana sebelum ini saya sudah pernah menulis tentang perjalanan ke sabah jadi saya terus mencatatkan tentang Labuan sahaja.
Kami ke labuan melalui bandar Kota Kinabalu iaitu di jeti Jesselton atau Jesselton Point. Feri yang akan dinaiki bergerak jam 8 pagi, jadi kami datang awal sedikit membeli tiket dengan harga RM23 untuk kelas A tingkat atas yang bezanya dengan penumpang tingkat bawah adalah Rm3 sahaja. 


Oleh kerana tidak sempat bersarapan kami hanya beli kuih muih dan nasi lemak untuk di makan dalam feri. Perjalanan selama 3 jam 30 minit cukup untuk kami melakukan aktiviti tidur, bangun tidur menonton televisyen dan tidur lagi hinggalah sampai di Labuan International Ferry.

Dari jeti kami menggunakan khidmat Grab untuk ke hotel, tambang ke hotel adalah sebanyak rm3.. alahai murahnya. Setelah sampai di hotel kami diminta menunggu sebelum bilik disediakan jadi kami ke Muzium Marin yang mana di sana adanya akuarium dan replika pelbagai spesis ikan, di sini saya dapat simpulkan masih banyak kekurangan jika dibanding dengan aquarium di Hat Yai tempoh hari, cuma yang menjadi kelebihan ianya tiada bayaran masuk dikenakan, cuma tulis nama sahaja. Selepas itu kami ke pantai bersebelahan iaitu Ramsey Point yang dikatakan menjadi pantai pertama di jejaki oleh Kapten Ramsey selepas Labuan diserahkan kepada British oleh Brunei. 
Disini dapat dilihat taburan kapal- dagang dilaut dan juga ada tali untuk meluncur dari menara ke pantai.

Sebelum sampai di Labuan saya dimaklumkan bahawa tiada apa yang menarik di Wilayah Persekutuan ini, hanya 3 sahaja yang mungkin menjadi tarikan utama iaitu Aquarium, Taman Burung dan Perkuburan besar mangsa perang di Labuan War Cemete
Sebelah petang kami ke kompleks Kewangan Ujana, disini ada pasaraya dan kemudahan perbankan, selepas membeli belah coklat dan pakaian kami makan di pizza.


Berada di Labuan War Cemetery, saya pada mulanya cepat mengatakan bahawa kematian mereka adalah sia -sia ini kerana yang meninggal dunia adalah akibat perang dikalangan penjajah juga maka mati kataklah mereka semata- mata untuk mengambil tanah orang lain. Sebelum meninggalkan tanah kubur mangsa perang seramai 3908 orang ini saya melihat ada perbezaan kedudukan batu peringatan untuk sekumpulan pusara, bila saya mendekati masya allah rupanya tak kurang juga saudara seagama turut terkorban dan dikuburkan disini, seketika itu juga pandangan saya kepada mangsa menjadi simpati dan mereka layak digelar pahlawan demi pertahankan Borneo.
Sebelum kembali ke hotel dan bersiap ke jeti saya juga ke Taman Burung berdekatan dengan Chimney.
Berlepas pulang dari Labuan ke Menumbok di Sabah sangat cepat iaitu mengambil masa selama 30 minit sahaja, tambahan pula kami menaiki speed boat dengan tambang RM8.50 sahaja. Sampai di Menumbok kami menuju ke Keningau.

Selasa, 13 Mac 2018

Hat Yai - Songkla

Apa yang membuatkan saya tidak teruja memasuki Thailand adalah kerana saya tidak menggemari polisi menarik pelancong ke negara tersebut yang kadangkala melampaui batas susila orang timur apalagi dengan cerita syurga dunia terutamanya untuk orang lelaki. Saya juga akan terluka dengan layanan Bangkok kepada 4 wilayah selatan yang mana sejak sejarah Ayuthia sehingga sekarang Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkla tidak sepi daripada layanan yang kadangkala begitu keras kepada orang sebangsa dan seagama dengan saya. 
Barangkali kerana menemani isteri dan keinginan melihat dengan lebih dekat yang akhirnya menggerakkan juga saya menyeberangi Sungai Golok. Walaupun saya adalah rakyat bersempadan dengan negara yang saya masih selesa memanggil sebagai negara Siam sepatutnya saya boleh tahu dan tidak kekok dengan lokasi dan nama nama destinasi. Tapi tidak begitu bagi saya, 
Bertolak agak lewat iaitu hampir jam 4 petang membuatkan kami berhenti solat asar agak lewat di Telok Manok dalam wilayah Pattani, Masjid Wadi Al- Hussin ini adalah masjid yang seusia dengan masjid Kampung Laut di Kelantan, ia masih digunakan dan dikelilingi oleh pondok tradisional, ada alur air berhampiran dan barangkali inilah yang dijoloki sebagai wadi seperti di negara padang pasir. Masjid Al-Hussin ini menyediakan kedai cenderamata berupa baju -T bergambar masjid ikon mereka.
Di tepi wadi terdapat perkuburan sementara belakang masjid ini terdapat bukit yang mempunyai kisah tentang serangan dan tempat persembunyian berkaitan kes pergolakan dan penangkapan juga pembunuhan sejumlah orang Islam di era Thaksin Shinawatra.
         
Perjalanan ke Hadyai ini mengingatkan saya tentang India yang mana ibu negara sendiri ada tentera yang berkawal. Sepeerti New Delhi di sini juga begitu, Kerajaan sangat risau kepada orang Islam, selain check point tentera dan polis yang banyak dapat diperhatikan kuil atau wat juga dikawal dan berkawat berduri, terdapat gambar gambar yang dikatakan pesalah dibeberapa tempat. Apa yang saya boleh bayangkan betapa tidak selesanya mencari nafkah dan bergerak di negara sebegini, Alhamdulillah negaraku Malaysia tetap aman dan bebas. Sampai di Grand Plaza pada jam 9:00 malam kami terus check in bilik. Keesokan harinya kami makan pagi disebuah kedai, seperti yang diketahui makanan di sini tidak menjadi masalah, banyak kedai halal dan orang Islam yang berniaga makanan. Pertama kali kami mengunjungi Akuarium, melihatkan kesungguhan pihak kerajaan menyediakan satu akuarium yang saya kira berada di luar bandar besar adalah mustahil hendak beroperasi tetapi ia tidak mengecewakan biarpun landskap dan persekitaran kompleks akuarium nampak tidak diuruskan dengan baik.
memilih jalan menggunakan feri untuk ke Songkla memberikan kita pemandangan pelabuhan dan juga kem tetera laut membuatkan kita percaya Songkla adalah satu tempat yang strategik dari dulu lagi dan dari sinilah tentera Siam memulakan ekspedisi menyerang pusat pemerintahan Pattani.
Selepas itu kami ke patung naga yang mana mengikut lagenda dulunya ada naga yang menghalang air masin masuk ke tasik dan menjadikan air tasik tetap tawar boleh diminum itu kepercayaan dan munasabahlah patung naga ini dipuja oleh sebilangan orang tempatan.  
Makan tengah hari yang mengenyangkan tapi saya sedar sebenarnya makanan disini sebenarnya boleh menyebabkan kita rasa harganya juga tidaklah murah sangat tetapi boleh menjadi lebih mahal daripada kedai makan di Kelantan.
Kali kedua berada di Pantai Samila mengingatkan kali pertama saya sampai ke sini untuk peggambaran filem tahun 1995 dan melihat patung Duyung Emas yang dibina tahun 1966 ini saya ringkaskan coretan ini..
Dulu aku ke Pantai Simla ini..
Terpaut dan terpegum dengan simpuhmu..
Lalu aku memelukmu dengan erat..
Waktu itu aku tiada sesiapa..
Kini aku datang lagi ke daerah indah ini..
Engkau masih di situ.. tetap cantik.
Sendirian menyisir rambut di batu hitam..
Masih muda terus menawan hati..
Si Duyung emas yang rupawan ..
Aku kini semakin berusia..
Sudah pun mempunyai keluarga..
Maafkan aku..
Kerana pelukanku tidak semesra dulu..


Kami berhenti solat di masjid kormpleks Islam Songkla, masjid tiga tingkat ini siap dengan dewan perkahwinan dan pejabat- pejabat pegawai agama. Masjid ini kalau tak salah ia dibuat berdasarkan rekabentuk Taj Mahal dan landskap kolam yang luas di depannya lebih mengiyakan telahan saya.

Perjalanan pulang kami singgah di Pasar Terapung, apa yang membuat saya sangat tertarik di pasar bersebelahan wat Buddha ini adalah hampir kesemua penjual mereka adalah orang Islam dan hampir semua pengunjungnya pula adalah orang Malaysia. Flood Markeet malahan juga Kota HatNyai beranilah saya katakan bahawa orang Islam menguasai ekonomi. 
Walaupun kedai terapungnya tidaklah terlalu besar tetapi keunikan terutama air dalam buluh dan kuih muih pelbagai menjadikan ia terus mampu menarik pengunjung setiap masa dan konsep ini ditiru pula oleh sekelompok peniaga di Tumpat dan Pengkalan Datu, Telahan saya sekiranya tidak ada tarikan tersendiri mungkin peniruan itu tidak akan berjaya.

Malam terakhir kami membeli belah dan makan pulut durian di gerai- gerai dan pasar malam berhampiran tempat penginapan kami.
Keesokannya sebelum pulang kami dibawa ke pasar yang menjual pelbagai barangan tetapi yang terkenal adalah bijirin terutama kekacang dan biji jagus. Sebagai ole ole pengunjung ke Hatnyai. epan hotel juga ada jualan buah- buahan yang sampai waktunya dijual sangat murah.. sebakul mangga hanya TB100 atau lebih kurang RM12

Perjalanan pulang baru saya sedari bahawa kualiti jalanraya mereka tidaklah sebaik mana kerana hampir sepanjang jalan van kami terhentak hentak dan kepala terhangguk hangguk. jalanraya tidaklah rata sangat biarpun sesetengah tempat nampak lebih berkualiti daripada jalanraya Malaysia.

Ahad, 28 Januari 2018

Singapura


Di sini bukanlah tempat yang ingin dijejaki, saya masih beranggapan tanah Singapura ini bukanlah model yang baik untuk saya kunjungi. Saya tak pernah bercita- cita atau tergerak hati untuk berada disini walau sehari tetapi kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Changi menjadi transit ke satu destinasi lain terpaksalah saya berada di sini selama 22 jam. Singapura sememangnya diakui sebuah negara yang maju dan bersih. Dari pandangan ini saya melihat Singapura sebagai sebuah negara kota yang mempunyai penduduk seramai 5.6 juta orang (2017) sudah tentu setiap peraturan dan penguatkuasaan adalah lebih mudah dibandingkan dengan negara jiran yang lain. Dengan statusnya sebagai sebuah negara Entreport atau orang tengah dalam kegiatan perdagangan, Singapura memperolehi kekayaan atas angin, pelbagai kesenangan boleh ditabur dan diagihkan kepada rakyat dan tanah pulau ini.


Dari lapangan terbang saya menggunakan MRT ke hotel penginapan di Geylang. Pengangkutan awam ini sudah lama digunakan seingat saya sejak zaman 80an di mana orang orang kampung yang kerja sebagai buruh binaan ketika itu bercerita pasal keretapi pintar ini.

Satu sudut di depan kaunter hotel penginapan

Walaupun ada terdetik untuk melihat peninggalan Istana Kampung Gelam tetapi kerana ruang tidak mencukupi saya hanyalah berkunjung ke sekitar Marina Bay sahaja. Monumen yang wajib dikunjungi sejak sekian lama adalah Merlion (Mermaid + Lion).

Depan Esplanade Theatres (dewan mata lalat) 

Jalanraya Singapura sebenarnya tidaklah sibuk sangat..

Membelakangi Marina Bay Sands Hotel

Sekali lagi saya tersentuh hati bilamana bergambar di depan patung Sir Stamford Raffles yang dikatakan orang pertama menemui Singapura. Tidak salah jika bersetuju bahawa Raffles adalah penjajah Inggris pertama sampai ke Singapura. Saya tertanya- tanya mengapa bukan Sang Nila Utama atau tokoh Nusantara yang lain perlu diangkat dalam perkaitan dengan permulaanTemasik ini. Inilah salah satu ketidaksukaan saya kepada negara ini.

Patung Stamford Raffles, berada di tempat pendaratan pertama beliau tepi sungai Singapura.

Menara Maybank mercu tanda yang membawa imej Malaysia.

Sebelum meninggalkan negara ini sekali lagi saya lihat sistem mereka adalah tegas terutama di Airport, penguatkuasa Singapura sudah di mind set dengan ketakutan dan ketidakpercayaan kepada manusia keegooan tidak dapat disembunyikan apalagi bagi warganegara yang dilihat tidak setanding dengan Singapura.   


Isnin, 22 Januari 2018

Delhi

Delhi sudah dikenali sejak sebelum zaman Dinasti Hamba 1206- 1290 yang mengasaskan Kesultanan Delhi diikuti oleh Dinasti Khilji, Dinasti Tughluq, Dinasti Sayyid, Dinasti Lodi dan kemudian oleh Babur  keturunan Genghiz Khan yang mengasaskan Dinasti Moghul pada 1526 sehingga 1857, ia menjadi Ibu negara pemerintahan kerajaan kerajaan tersebut di utara dan tengah benua kecil India. Delhi begitu banyak tempat yang boleh dilawati seperti India Gate, Qutub Minar, Jantar Mantar, Red Fort, Akshardam Temple, Lodhi Garden & Garden Of Five Sense. namun dalam pengembaraan ziarah saya Delhi hanyalah menjadi bandar transit untuk ke bandar bandar lain di India. kami memilih sebuah hotel di Main Bazar sebagai tempat penginapan.

Main Bazar terletak di bahagian Delhi baru atau New Delhi. Disini pelbagai barangan ada di jual dari cenderamata, alatan muzik tradisi. pakaian. buah buahan, makanan mentah, restoran, kain sari dan sebagainya. Main Bazar menjadi tumpuan pelancong pelbagai negara disebabkan itu banyak premis Money changer dan bank di kawasan ini.

Disini juga adanya masjid jamek yang saya kira amat daif dibandingkan dengan masjid dan surau surau di Malaysia.

Berada di Main Bazar bagi yang beragama Islam adalah sedikit meragukan untuk mencari makanan halal oleh itu saya ke kawasan Masjid Jamek di jalan Chadni Chowk menggunakan Tut tut dengan tambang 80- 100 rupee tempat ini berada di bahagian lama Delhi atau Old Delhi di sini kedai makan boleh dikatakan semuanya halal, disini juga mudah untuk membeli pakaian muslim kurta pesanan rakan dan keluarga.

Buah kiwi yang murah di sekitar Masjid Jame'

perniagaan yang rancak di tepi masjid jame'

Ramai pelancong dan pelawat di sekitar masjid

Ruang solat di saf depan dengan marmar yang cantik

Ruangan ini juga adalah dewan solat pada hari hari besar Islam dan solat jumaat.

Alhamdulillah selesai solat zohor di masjid bersejarah ini.

Masjid Jamek ini adalah peninggalan Maharaja Shah Jehan, apa yang menarik tentang masjid ini adalah ia menjadi masjid terbesar dan utama di India, dikatakan juga masjid ini menyimpan rambut Nabi saw, sewaktu siapnya masjid ini Maharaja Shah Jehan mengirim utusan kepada kerajaan Bukhara untuk menjemput seorang Imam yang bertugas di masjid ini, calon itu hendaklah dari keturunan nabi saw disebelah ayah dan ibu. Sehingga kini Imam utama masjid tersebut adalah Syed Ahmed Bukhari sesuai dengan polisi masjid yang mensyaratkan Imam masjid ini mesti dari keturunan Iman yang pertama. Sangat besar sumbangan Maharaja Shah Jahan kepada minoriti Islam di Delhi jika bukan atas sumbangan beliau dan Kesultanan delhi di zaman silam mungkin Islam di India tidak dihormati seperti hari ini sedangkan agama Hindu / Bahai di sokong oleh kerajaan sebagaimana dibangunkan kuil yang moden dan terkenal seperti Lotus Temple. Eloklah sebagai umat Islam disedekahkan Al- Fatihah untuk Maharaja Shah Jehan dan pemerintah Islam lampau. 

Main Bazar

Seperti yang umum mengetahui orang India adalah penggemar sirih dan tidak pelik dimerata tempat kesan air sirih dan ludah terdapat di merata- rata tempat, tidak seperti yang dipaparkan dalam filem filem Hindi sebenarnya keadaan jalan raya dan sekitar pasar terdapat sampah sarap yang dibuang merata- rata, gelandangan di sana sini, kencing merata di tepi tepi dinding adalah pemandangan biasa.