clixsense

Jumaat, 14 Oktober 2016

Buketa 14 Oktober

Setelah menyelesaikan kerja kerja sukarela di daerah Jeli, menunggu waktu petang untuk program berikutnya, saya curi masa menyeberangi sempadan Bukit Bunga ke pekan negara jiran iaitu Bukit Tar atau di modenkan menjadi Buketa. Selepas membeli sedikit buah tangan dan sementara menunggu rakan rakan yang lain, saya duduk di pengkalan menonton televisyen, pada mulanya saya tak pedulikan apa yang ditayangkan tetapi akhirnya saya tanyakan dan diberitahu bahawa Raja Bhumipol Adulyadej.. raja yang paling lama memerintah iaitu 70 tahun telah meninggal dunia dalam usia 89 tahun. Hilang sudah raja yang paling lama dan disegani di dunia.. teringat betapa megahnya singgahsana raja Thai ini yang pernah menghimpunkan raja- raja yang masih bertakhta di dunia dan gambar tersebut menjadi hiasan di banyak tempat di seluruh dunia. 

Raja ini juga disenaraikan sebagai raja yang terkaya di dunia. Apa yang mengagumkan saya tentang raja negara gajah putih ini adalah kasih sayang rakyat dan penghormatan yang diberikan oleh rakyat sangat menakjubkan, walaupun oleh komuniti Islam di selatan Thai dan diakui oleh mereka yang ada di situ. Kebetulan pula pada tarikh dan masa yang sama, negara di seberang sungai iaitu negara saya Malaysia sedang mengumumkan Yang Dipertuan Agong yang baru setelah dipersetujui oleh Majlis Raja- Raja Melayu bahawa Sultan Muhammad v dari negeri Kelantan adalah ketua negara yang baru untuk tempoh 5 tahun ia akan dimashyurkan pada disember 2016. 


Berada sekejap di Buketa rasanya tidak tenteram rasa panas, mungkin benar kata sesetengah orang bahawa negara dan daerah yang kurang keberkatan suasana adalah tidak menyenangkan, selepas semua rakan rakan kembali, kami mengharung sungai balik semula ke pengkalan.. selepas berpijak ke tanah air duduk sekejap di bawah pokok sambil melihat orang naik ke tebing sungai, angin dan suasana terasa menghembus lebih baik, mungkin kerana perasaan atau kebetulan. 


Selepas menyusuri denai kebun getah dengan jarak 200 meter ke kereta kita dikirim gambar dalam whatsap foto bakal pengganti raja Thai yang bernama Vajiralongkorn, apa yang difahamkan Vajiralongkorn adalah satu satunya putera lelaki Bhumibol manakala 3 yang lain perempuan, putera raja berusia 64 tahun itu yang baru pulang dari Jerman kelihatan sangat kontras dengan penampilan mendiang ayahndanya, dapatkah selepas ini rakyat Thai yang penuh kesopanan menerima raja mereka yang khabarnya dikaitkan dengan Yakuza, kepulangan bersama isteri ke 3 nya itu tentunya menjadi perhatian seluruh rakyat.

Manakala YDP Agong pula memiliki sifat yang mesra rakyat, warak, sering mengunjungi mengambil tahu hal rakyat dan dikenali sebagai Sultan yang membelakangkan protokol dalam kegiatan harian baginda, Sultan Kelantan ini diharap dapat memberi pengalaman baru dan keterujaan yang disenangi oleh rakyat pada masa yang sama kita berharap Monarki Thailand juga akan menempuh suasana yang menyenangkan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan