clixsense

Selasa, 16 Oktober 2012

Korea

Berpijaknya kaki saya ke negara di timur jauh itu tidak lain adalah kerana anak saya, jika ikutkan hati saya lebih suka berkeliling di sekitar ASEAN sahaja. Sebagaimana peminat drama dan budaya teenager dari korea yang lain anak saya sebenarnya adalah antara yang terawal meminati negara berkenaan berbanding rakan- rakan sekolahnya yang lain.
Memikirkan hidupnya yang tidak merasai belaian ibu dan berjauhan dengan saudara kandung sejak dari kecil menyebabkan saya ingin memenuhi hasratnya dan Alhamdulillah wang berjaya dikumpul untuk membeli tiket Air Asia dan untuk ekonomi perjalanan kami tanpa menggunakan agen, saya hanya membuat carian tentang Korea melalui internet. 
Perjalanan selama enam jam setengah dari KLIA ke Incheon International Airport amat meletihkan tulang belakang, Bagi mereka yang mengenali dari jauh sudah tentunya mereka lebih memikirkan Korea Selatan dan Utara adalah negara yang berbeza, tetapi bila sampai disana kita faham bahawa rakyatnya diasuh agar mengenali hanya satu Korea sahaja tanpa pemisah sebagaimana peta negara mereka dirujuk sebagai Korea keseluruhannya dengan satu bendera, dan hasrat penyatuan mereka amat jelas dengan adanya Kementerian khusus untuk hal- hal berkaitan penyatuan Korea.

Hari pertama kami sampai waktu malam, naik teksi dari airport ke Iteawon dengan tambang W65,000 dan menginap di Hotel IP Beutique, dengan bayaran W370,000 amat mahal kerana bilik ekonomi telah habis kami hanya menginap satu malam sahaja, keesokan harinya dan seterusnya kami menginap di Guest House dengan bayaran w20,000 seorang. Malam pertama kami masih tidak tahu arah tuju dan menjadikan kedai 7 Eleven untuk mencari apa yang dapat dimakan.
Hari kedua kami ke pulau Nami.. kali ini kami menggunakan train yang peta laluannya kami ambil di hotel, dengan menggunakan kad T-Money yang boleh didapati di mana- mana kedai serbaneka perjalanan kami amat ekonomi dan cepat tetapi memerlukan kudrat dan stamina yang kuat memandangkan terpaksa turun naik tangga untuk bertukar- tukar train sebelum sampai di destinasi. Melalui subway di Iteawon kami menuju ke Gapyeong dan membeli tiket bas untuk ke Republic Naminara dan Petit France dengan tiket pergi balik dari stesen Gapyeong sebanyak W5,000 seorang.
Sampai di kononnya Imigresen Naminara kami membayar tiket W8,000 seorang untuk feri dan seluruh Pulau Nami. Melihatkan cara pulau itu dibangunkan saya beranggapan bahawa Malaysia juga boleh membuat yang lebih baik sekiranya kena dengan perancangan dan promosi sebagaimana sentuhan ajaib drama winter Sonata yang memperkralkan pulau tersebut ke seluruh dunia.  
Selepas berada agak lama di Pulau cinta itu kami kembali ke jeti untuk ke perkampungan Perancis yang memukau dan membuat kita terpaku betapa pihak negara berkenaan begitu bersungguh- sungguh untuk mewujudkan suasana masyarakat Perancis di Korea.
Di sini pelbagai kebudayaan  persembahan boleh diikuti dan di abadikan dalam foto daripada bangunan hinggalah sejarah seni mereka. Pelbagai impian dan kegemaran masyarakat Perancis dipersembahkan, persembahan puppet, koir kanak- kanak, lukisan zaman napoleum, Istana zaman lampau, pedati, filem keluaran France dan imaginasi kanak - kanak boleh di rasai.

Hari ketiga kami sudah mahir menggunakan MRT atau train, kami sudah berjaya sampai ke pasar Dongdemon dan juga kalau tak silap Istana Deoksugung. Selepas itu kami penat berjalan untuk mencari pasar Nangdemon untuk membeli buah tangan dan cenderamata tetapi satu yang tak jumpa saya cari adalah kain ela sutera buatan Korea entahlah... mungkin itulah risiko kalau tak guna agensi.
Petangnya pula kami singgah di Muzium Perang yang amat besar, muzium tanpa bayaran ini saya hanya melihat monumen dan peralatan perang di luar sahaja, dah penat benar rasanya ingin cepat sampai ke tempat penginapan kami juga telah seronok berkawan dengan rakan serumah dari seluruh dunia. Hari ini juga kami sudah jumpa kedai makanan halal. Iaitu kedai Turki dengan kebabnya.

Hari Keempat kami mulakan waktu pagi untuk ke masjid negara Korea, dan hari ini juga kemeriahan bandar Iteawon mula terasa apabila Iteawon Global Village festival benar- benar berlangsung di tempat kami, dan anak saya yang meminati K-POP cukup gembira dan senang hati kerana di waktu malamnya ada persembahan pentas dan lagu 'Oppa Gangnam Style'. Menaiki train dan menggunakannya tidak lagi jadi masalah, ia senang dan mudah dengan menggunakan peta laluan.
Kami melawat ke Istana Gyeonsugung iaitu yang terbesar antara banyak istana yang terdapat di Seoul dan muzium berhampiran. Selepas itu kami teruskan cabaran yang paling memenatkan bila mendaki ke puncak Seoul Tower dengan berjalan kaki melalui Namsan Park, sampai di puncak anak saya riang berada di persekitaran dengan pokok dan palang dipenuhi kunci, saya juga membiarkan anak saya naik ke menara tertinggi tersebut dengan bayaran W10,000

Sementara saya rehat dan melihat persembahan pahlawan dahulukala bertarung. Turun dari menara seoul kami menggunakan kereta kabel yang mengenakan bayara w6000 untuk sehala dan jika ulang alik sebanyak w8000 seorang.
Sebenarnya hari ini kami telah menyimpan beg di tempat simpanan elektronik di stesen Iteawon dengan bayaran W3000 untuk sehari dan memasukkan kata laluan sendiri.. Di negara maju ini banyak tempat membeli minuman menggunakan mesin, jadi disitulah kami mendapatkan minuman.
Pada lewat petang kami kembali semula ke Iteawon, sembahyang maghrib bersama pelbagai bangsa di masjid negara, suatu yang saya sungguh terharu apabila masjid berkenaan sentiasa dilawati oleh rakyatnya dan pelancong asing yang seolah tertarik dengan agama yang mungkin dianggapnya baru bagi mereka.
Makanan terakhir adalah nasi goreng berharga W8,000 untuk anak saya dan nasi sate kambing berharga W10,000 di kedai makanan Melayu dan Indonesia yang satu- satunya ada di Seoul.
Malam itu selepas menyaksikan festival kami bertolak ke Incheon Internasional Airport menggunakan train yang bagi saya amat berbaloi, kami berada di airport semalaman dan jam 6.30 pagi kami Check in masuk.. sepanjang penerbangan kami hanya tidur kepenatan tetapi berbaloi dan puas hati.. Pengalaman bercakap dengan tuan punya cenderamata yang boleh bertutur bahasa Melayu, kemeriahan bandar Iteawon yang pelbagai bangsa dari seluruh dunia juga ramainya pelajar Malaysia yang menjadikan Universiti di Seoul sebagai pilihan, saya percaya dengan populasi rakyat Malaysia seramai 1000 orang di Seoul kini akan meningkat dalam waktu terdekat.
Sepanjang empat hari berada di Seoul saya dapat lihat masyarakat mereka sudah jauh maju ke hadapan, berdisiplin, pembersih, mereka juga cepat menyerap ilmu dan teknologi bangsa lain tetapi mereka sangat sukar untuk menukar bahasa mereka secara meluas dan paling ketara fesyen dan persolekan mereka amat terkini...  Itulah yang dikatakan 'Soul in Seoul'

Khamis, 27 September 2012

Danau Toba

Sesampai di lapangan terbang antarabangsa Polonia, Medan pada disember 2011, saya ke agensi pelancongan di Kota Medan. Kunjungan kali ini adalah untuk terus ke Danau Toba dalam daerah Prapat.
Dalam perjalanan ke danau Toba saya bersama 6 orang pelawat yang lain dibawa dengan menggunakan van yang disediakan oleh agensi pelancongan. Untuk pakej 3 hari dua malam ini setiap orang di kenakan RM350 dan itu sangat berpatutan untuk pengangkutan dan penginapan. Seperti biasa kota Medan yang menjadi kota ke tiga terbesar di Indonesia ini sangat bingit dan kelihatan terlalu sibuk ditambah dengan hon kenderaan yang tidak pernah berhenti. 
Perjalanan kami melalui jalan Perbaungan - Tebing Tinggi - Permatang Siantar ditahan oleh polisi yang pada mulanya menegur dan bertanya hendak ke mana dan bila dikatakan kami dari Malaysia, anggota polis tersebut meminta sekeping wang dari kami tidak kira berapa nilainya, telahan saya tentulah polis itu meminta duit kopi atau rasuah, tapi sangkaan saya meleset bila wang tunai RM10 matawang Malaysia itu diminta agar ditandatangani kerana dia hendak buat koleksi dan dengan mesra polisi itu mengatakan Malaysia dan Indonesia adalah bersaudara, wahh satu pengiktirafan yang penting sewatu kempen anti Malaysia sedang hangat di Indonesia.
Setelah berjam- jam berada dalam van menlalui kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang mengikut pemandu van bahawa ladang tersebut sebahagian besarnya dimiliki oleh rakyat Malaysia. kami singgah di pekan Perbaungan untuk membeli keperluan asas seperti selipar mandi, untuk makan tengah hari pula kami singgah di Tebing Tinggi, kami singgah sekali lagi untuk membeli burung wak- wak goreng untuk dimakan di perjalanan yang dicadang oleh pemandu van yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong. 
Sampai di pinggir tasik Toba iaitu tasik kawah gunung berapi yang terbesar di dunia, saya sungguh teruja dan terpukau dengan pemandangan indah seolah berada di luar nusantara, dengan kabus, pokok pain dan jernih air tasik yang dalam sungguh mempesonakan.
Malam nya saya menginap di hotel kabin tepi tasik, menghayati senja nan indah. Pada malamnya kami dibawa ke tempat karaoke yang lengkap dan kami bergilir- gilir menyanyikan lagu kegemaran masing- masing. malam yang tenang.. di tengah belantara.
Keesokkannya saya di bawa dengan bot ke pulau Samosir yang di katakan di huni oleh kaum Batak Toba yang dulunya pernah gempar dikatakan sebagai batak yang makan daging manusia. Di sini saya turut membeli cenderamata sebelum keluar semula dari Samosir untuk pulang ke Kota Medan melalui laluan menyusur tasik Toba merentasi Brastagi. Di dalam bot laju ke jeti saya menyaksikan tasik yang luas umpama laut, dan di satu tempat dapat dilihat sebuah banglo zaman penjajah belanda yang mana banglo itu pernah dijadikan tempat buangan atau rumah pasong untuk menahan pejuang Kemerdekaan Sukarno
Dalam perjalanan pulang yang amat jauh dan berakhir di tepi air terjun Sipiso- Piso, setelah itu kami melalui lembah dan tebing yang dihiasi tanaman kopi, jagung, limau dan sayur- sayuran. kami juga singgah di Istana Raja Batak Simalunggong yang penuh tradisi dan menyeramkan, melihat dan merasai berada di Istana ini mengingatkan kita betapa di Istana ini raja terakhirnya pernah mempunyai 16 orang isteri yang tinggal sebumbung dan kini khabarnya Raja itu masih hidup di Jakarta sebagai ganjaran persetujuan bersama republik.
Sebelum sampai di Kota Medan kami singgah di Berastagi iaitu tanah tinggi dengan pemandangan gunung berapi aktif Sibayak dan Sinabung di Berastagi ini saya mencuba merasai menunggang kuda di atas bukit dengan pemandangan gunung- ganang dan bandar Berastagi yang sayup mata memandang. Pelbagai barangan dan cenderamata juga dapat dibeli di Berastagi.
Sesampai di Kota Madan kami menginap di hotel berbintang dan pada keesokan harinya kami melakukan aktiviti bebas setelah di hantar oleh pemandu kami untuk berbelanja di Pasar Ikan iaitu suatu pasar yang menjual pelbagai tekstil yang beraneka dengan harga yang sungguh murah.

Isnin, 24 September 2012

Pekan Baru

Pekan Baru adalah nama kota dalam Propinsi Riau, kalau diikutkan rancangan awal bersama anak saya Pekan Baru bolehlah dikatakan destinasi yang sudah ditakdirkan rezeki kami ada di sana, ini kerana pada awalnya tiket Air Asia yang dibeli adalah untuk ke Palembang tetapi entah kenapa pihak Air Asia membatalkan penerbangan ke sana iaitu dalam pertengahan 2010 (sekarang sudah disambung semula) saya terpaksa memilih destinasi lain dan Pekan Baru menjadi tempat di tuju.
Seringkali bila dikatakan saya ke Riau maka ramai beranggapan itu adalah kepulauan riau tetapi ia sebenarnya termasuk dalam daerah Riau dan jika dirujuk kepada kerajaan lama ia adalah Kerajaan Siak. Penerbangan 1 jam dari KLIA mendarat di Bandara (Bandaraya Udara) Sultan Shariff Kassim II. Saya dan anak menginap di Hotel Tasia Ratu yang berdekatan dengan Senapelan Mall dan pusat beli- belah Ramayana.  
Kota ini tidak ada tempat tarikan tradisi selain dari Istana Siak Sri Indrapura yang terletak jauh dari Kota dan saya tidak sampai ke sana. Selepas mengalas perut dan melihat sekitar pekan waktu petang, saya membuat tafsiran bahawa Pekan Baru adalah sebuah kota yang sedang pesat berkembang dengan bangunan - bangunan yang moden dan indah, kepesatannya mengatasi sesetengan ibu negeri di Malaysia. 
Keesokan harinya saya menaiki bas keliling seluruh bandar sampailah ke pinggir bandar dan kembali semula ke bandar. 
Perkara yang menarik perhatian saya selain pelbagai patung dan tugu berserta Jet Pejuang di tengah bandar adalah papan tanda yang banyak sekali persamaannya dengan bandar dan kampung di Semenanjung yang mengiyakan kita bahawa pertalian persaudaraan dan bangsa serumpun Melayu amat nyata sekali. Seperti diketahui dan diberitakan bahawa Pekan Baru adalah bandar paling bersih di Indonesia, humm.. entahlah tapi yang pasti Pekan Baru lebih bersih, damai dan lebih teratur daripada bandar Medan, mungkin keadaan ini disebabkan Pekan Baru adalah bandar yang baru bangkit setelah mendapat manfaat hasil Petrolium di buminya. Kepesatan dan kesungguhan pembangunannya kadangkala membuatkan saya kagum dan berfikir betapa sebenarnya bumi Indonesia ini amat kaya dan kekayaannya boleh dirasai untuk seluruh kepulauannya yang besar jika diuruskan dengan baik berdasarkan apa yang dilihat di Kota Pekan Baru. 
Tiga hari di kota moden ini membuatkan anak saya mulai bosan hendak pulang, terpaksalah saya mencari sesuatu yang menarik hatinya. saya membawa anak ke Muzium Sang Nila Utama yang mana di sana kita akan merasai bagaimana Riau ini sebenarnya amat dekat dengan Kerajaan Melaka sama ada melalui bahan sejarah di muziumnya dan juga poster Ketua Menteri Melaka yang turut ada di satu ruang pejabat yang dikhaskan untuk agensi Kerajaan Negeri Melaka berhampiran dengan rangka Ikan Paus yang di pamerkan di sebelah muzium.
Sebagai buah tangan untuk dibawa pulang saya membeli lempok durian dan kerepek Bengkalis yang pedas. 
Dan pada pagi keberangkatan saya menggunakan kenderaan popular yang semakin terpinggir iaitu 'Bemo' (Beca Motor), risau juga pada mulanya kerana kenderaan roda tiga  ini amat uzur dan mengensot bila mendaki tanah sedikit tinggi ke Lapangan Terbang

Ahad, 23 September 2012

Padang- Pariaman



Berkesempatan memijak kaki ke Ranah Minang pada disember 2010, bumi yang juga tempat susur galur keluarga.. kunjungan ini seperti tidak tepat dengan masa di sebabkan ramai peniaga dan penduduk di Kota Padang sudah tidak aman lagi mencari rezeki, setiap hari warganya hidup dalam kebimbangan kerana khuatir gempa bumi dan tsunami akan berulang, semua bangunan pejabat, kediaman, hotel malahan pasar dan kedai tidak dapat lari daripada kesan goncangan gempa bumi, sesiapa yang berkunjung ke Padang hari ini masih berpeluang melihat kesan dan kerja baik pulih di sana- sini sedang giat dijalankan. Sesampai saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau dan berada dalam teksi, supirnya sudah rancak bercerita tentang malapetaka itu dan dengan segera juga mencadangkan agar pelancong terus sahaja menginap di Bukit Tinggi kerana gegaran biasanya tidak sampai di Bukit Peranginan itu.

Pun begitu saya bersama kakak, dua adik dan anak perempuan masih teruskan dengan jadual asal iaitu berada sehari di bandar Padang, untuk melawat pasar dan merasai suasana sekitarnya. Hari pertama kami berjalan jalan di bandar sementara menantikan hari malam.. sungguh sedih dan terharu melihat kemusnahan merata hinggakan hotel yang pada mulanya kami bercadang untuk tinggal pun sebenarnya sudah ranap.. huhh. Seperti kunjungan ke tempat lain di sumatera, jus avocado dan timun Belanda menjadi idaman untuk membasah tekak, nasi padang yang enak dengan lauk pelbagai dan unik juga menjadi satu daripada  hasrat saya bila sampai di Padang ini.
Hari kedua adalah menyusur kisah purba Si Tanggang di Pantai Manis, kedudukannya di sebalik bukit agak jauh dari bandar, kita ke sana dengan menggunakan teksi yang mesti menggunakan gear rendah untuk melepasi bukit yang menjunam dan curam. Sesampai di perkampungan 'si tanggang' pelawat dikenakan tol sebanyak dua kali sebelum rapat ke pantai. Dalam masa beberapa lama melihat arca / patung batu yang kononnya disumpah, pengunjung bolehlah mengabadikan foto dengan bayaran tertentu di kenakan oleh jurufoto yang juga merangkap juru pandu dan penerangan tentang kisah di sebalik kejadian dan usaha- usaha pemuliharaan oleh pihak kerajaan.

Dihari ketiga kita memulakan perjalanan ke Bukit Tinggi dengan kereta sewa yang mengenakan tambang 300 rupiah pergi balik dan dikenakan caj menunggu untuk turun semula ke Kota Padang adalah mengikut jam. Panorama sawah padi luas terbentang dikelilingi bukit bukau dengan dihiasi bumbung tanduk kerbau begitu mempesona, aktiviti menternak ikan di kolam halaman rumah adalah pandangan biasa disamping aktiviti penduduknya mengerjakan pertanian, berniaga kecilan seperti menjual jagung bakar, telur asin, barangan kraf dan pelbagai kerja am dengan bersemangat agar dapat memulihkan semula rumah kediaman yang retak, senget dan roboh di sepanjang jalan. Setelah dua jam setengah menghirup udara nyaman akhirnya sampailah ke destinasi, tempat pertama dituju adalah Lubang Jepun.
Melangkah masuk melalui 132 anak tangga iaitu hampir separuh anak tangga di Batu Caves. Menyusup masuk ke lubang yang dibina oleh buruh paksa dari pulau Jawa akan menerbitkan rasa kasihan membayangkan betapa sukar dan terseksanya pekerja yang membina lubang tikus beratus meter dibawah tanah hingga ada yang terkorban dan mayatnya dibuang melalui corong gelongsor hingga hanyut di sungai berdekatan.
Dalam menyusuri binaan manusia yang pernah dicadang sebagai 7 warisan dunia kita akan rasa kecewa dan sayang sedikit kerana kerja baik pulih telah mencacatkan keaslian hingga 70% binaan menyebabkan UNESCO menolak pencalonan warisan dunia dari Indonesia ini. Usaha pemuliharaan dan penyesuaian semula yang merosakkan keaslian ini juga terjadi pada batu kapal Malim Kundang di Pantai Manis, Padang.

Saya difahamkan pihak pemerintah mengalu- alukan kerjasama daripada pihak luar untuk memajukan pusat pelancongan ini terutama dalam menggerakkan ruang Amunisi (tayangan video) di dalam lubang bersejarah itu. Sungguh suatu kerja yang besar bagi yang sanggup memajukan kawasan pelancongan ini, namun cukup berbaloi  memajukan kawasan yang dingin, mempunyai ngarai umpama Grand Canyon di AS, hotel penginapan, kawasan pertanian, bazar membeli belah, struktur rumah tradisi yang menarik juga pelbagai tarikan lain, sekiranya benar pemerintah Indonesia mengalu- alukan kerjasama pengusaha dari Malaysia.. sungguh suatu kerja yang senang dan tidak memerlukan masa yang lama untuk mengalahkan Genting Hingland di Pahang.
Selepas menerokai sejarah lubang Jepun dan pemandangan sekitar yang nyama dan mempersona, kami pekena bakso di bazar berhampiran, dan membeli cenderamata.. Satu pengalaman yang sangat membuat kami rasa bersyukur adalah apabila kami sampai semula di pusat bandar Padang, kami diberitakan bahawa gegaran baru berlaku yang waktunya kira- kira selepas kami meninggalkan kota Padang ke Bukit Tinggi waktu pagi dan terdapat pula runtuhan baru yang berlaku, malam itu kami menyewa sebuah bilik yang besar, dan sempat berlari turun bila tiba- tiba elektrik terputus.. perlu diingatkan kepada mereka yang bakal sampai ke Kota padang bahawa kebanyakan hotel tidak membenarkan bilik disewa dengan bukan mahram walaupun bersaudara dan mereka akan meminta pengesahan perkahwinan sekiranya mengaku sebagai suami- isteri...