clixsense

Isnin, 24 September 2012

Pekan Baru

Pekan Baru adalah nama kota dalam Propinsi Riau, kalau diikutkan rancangan awal bersama anak saya Pekan Baru bolehlah dikatakan destinasi yang sudah ditakdirkan rezeki kami ada di sana, ini kerana pada awalnya tiket Air Asia yang dibeli adalah untuk ke Palembang tetapi entah kenapa pihak Air Asia membatalkan penerbangan ke sana iaitu dalam pertengahan 2010 (sekarang sudah disambung semula) saya terpaksa memilih destinasi lain dan Pekan Baru menjadi tempat di tuju.
Seringkali bila dikatakan saya ke Riau maka ramai beranggapan itu adalah kepulauan riau tetapi ia sebenarnya termasuk dalam daerah Riau dan jika dirujuk kepada kerajaan lama ia adalah Kerajaan Siak. Penerbangan 1 jam dari KLIA mendarat di Bandara (Bandaraya Udara) Sultan Shariff Kassim II. Saya dan anak menginap di Hotel Tasia Ratu yang berdekatan dengan Senapelan Mall dan pusat beli- belah Ramayana.  
Kota ini tidak ada tempat tarikan tradisi selain dari Istana Siak Sri Indrapura yang terletak jauh dari Kota dan saya tidak sampai ke sana. Selepas mengalas perut dan melihat sekitar pekan waktu petang, saya membuat tafsiran bahawa Pekan Baru adalah sebuah kota yang sedang pesat berkembang dengan bangunan - bangunan yang moden dan indah, kepesatannya mengatasi sesetengan ibu negeri di Malaysia. 
Keesokan harinya saya menaiki bas keliling seluruh bandar sampailah ke pinggir bandar dan kembali semula ke bandar. 
Perkara yang menarik perhatian saya selain pelbagai patung dan tugu berserta Jet Pejuang di tengah bandar adalah papan tanda yang banyak sekali persamaannya dengan bandar dan kampung di Semenanjung yang mengiyakan kita bahawa pertalian persaudaraan dan bangsa serumpun Melayu amat nyata sekali. Seperti diketahui dan diberitakan bahawa Pekan Baru adalah bandar paling bersih di Indonesia, humm.. entahlah tapi yang pasti Pekan Baru lebih bersih, damai dan lebih teratur daripada bandar Medan, mungkin keadaan ini disebabkan Pekan Baru adalah bandar yang baru bangkit setelah mendapat manfaat hasil Petrolium di buminya. Kepesatan dan kesungguhan pembangunannya kadangkala membuatkan saya kagum dan berfikir betapa sebenarnya bumi Indonesia ini amat kaya dan kekayaannya boleh dirasai untuk seluruh kepulauannya yang besar jika diuruskan dengan baik berdasarkan apa yang dilihat di Kota Pekan Baru. 
Tiga hari di kota moden ini membuatkan anak saya mulai bosan hendak pulang, terpaksalah saya mencari sesuatu yang menarik hatinya. saya membawa anak ke Muzium Sang Nila Utama yang mana di sana kita akan merasai bagaimana Riau ini sebenarnya amat dekat dengan Kerajaan Melaka sama ada melalui bahan sejarah di muziumnya dan juga poster Ketua Menteri Melaka yang turut ada di satu ruang pejabat yang dikhaskan untuk agensi Kerajaan Negeri Melaka berhampiran dengan rangka Ikan Paus yang di pamerkan di sebelah muzium.
Sebagai buah tangan untuk dibawa pulang saya membeli lempok durian dan kerepek Bengkalis yang pedas. 
Dan pada pagi keberangkatan saya menggunakan kenderaan popular yang semakin terpinggir iaitu 'Bemo' (Beca Motor), risau juga pada mulanya kerana kenderaan roda tiga  ini amat uzur dan mengensot bila mendaki tanah sedikit tinggi ke Lapangan Terbang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan