clixsense

Selasa, 16 Oktober 2012

Korea

Berpijaknya kaki saya ke negara di timur jauh itu tidak lain adalah kerana anak saya, jika ikutkan hati saya lebih suka berkeliling di sekitar ASEAN sahaja. Sebagaimana peminat drama dan budaya teenager dari korea yang lain anak saya sebenarnya adalah antara yang terawal meminati negara berkenaan berbanding rakan- rakan sekolahnya yang lain.
Memikirkan hidupnya yang tidak merasai belaian ibu dan berjauhan dengan saudara kandung sejak dari kecil menyebabkan saya ingin memenuhi hasratnya dan Alhamdulillah wang berjaya dikumpul untuk membeli tiket Air Asia dan untuk ekonomi perjalanan kami tanpa menggunakan agen, saya hanya membuat carian tentang Korea melalui internet. 
Perjalanan selama enam jam setengah dari KLIA ke Incheon International Airport amat meletihkan tulang belakang, Bagi mereka yang mengenali dari jauh sudah tentunya mereka lebih memikirkan Korea Selatan dan Utara adalah negara yang berbeza, tetapi bila sampai disana kita faham bahawa rakyatnya diasuh agar mengenali hanya satu Korea sahaja tanpa pemisah sebagaimana peta negara mereka dirujuk sebagai Korea keseluruhannya dengan satu bendera, dan hasrat penyatuan mereka amat jelas dengan adanya Kementerian khusus untuk hal- hal berkaitan penyatuan Korea.

Hari pertama kami sampai waktu malam, naik teksi dari airport ke Iteawon dengan tambang W65,000 dan menginap di Hotel IP Beutique, dengan bayaran W370,000 amat mahal kerana bilik ekonomi telah habis kami hanya menginap satu malam sahaja, keesokan harinya dan seterusnya kami menginap di Guest House dengan bayaran w20,000 seorang. Malam pertama kami masih tidak tahu arah tuju dan menjadikan kedai 7 Eleven untuk mencari apa yang dapat dimakan.
Hari kedua kami ke pulau Nami.. kali ini kami menggunakan train yang peta laluannya kami ambil di hotel, dengan menggunakan kad T-Money yang boleh didapati di mana- mana kedai serbaneka perjalanan kami amat ekonomi dan cepat tetapi memerlukan kudrat dan stamina yang kuat memandangkan terpaksa turun naik tangga untuk bertukar- tukar train sebelum sampai di destinasi. Melalui subway di Iteawon kami menuju ke Gapyeong dan membeli tiket bas untuk ke Republic Naminara dan Petit France dengan tiket pergi balik dari stesen Gapyeong sebanyak W5,000 seorang.
Sampai di kononnya Imigresen Naminara kami membayar tiket W8,000 seorang untuk feri dan seluruh Pulau Nami. Melihatkan cara pulau itu dibangunkan saya beranggapan bahawa Malaysia juga boleh membuat yang lebih baik sekiranya kena dengan perancangan dan promosi sebagaimana sentuhan ajaib drama winter Sonata yang memperkralkan pulau tersebut ke seluruh dunia.  
Selepas berada agak lama di Pulau cinta itu kami kembali ke jeti untuk ke perkampungan Perancis yang memukau dan membuat kita terpaku betapa pihak negara berkenaan begitu bersungguh- sungguh untuk mewujudkan suasana masyarakat Perancis di Korea.
Di sini pelbagai kebudayaan  persembahan boleh diikuti dan di abadikan dalam foto daripada bangunan hinggalah sejarah seni mereka. Pelbagai impian dan kegemaran masyarakat Perancis dipersembahkan, persembahan puppet, koir kanak- kanak, lukisan zaman napoleum, Istana zaman lampau, pedati, filem keluaran France dan imaginasi kanak - kanak boleh di rasai.

Hari ketiga kami sudah mahir menggunakan MRT atau train, kami sudah berjaya sampai ke pasar Dongdemon dan juga kalau tak silap Istana Deoksugung. Selepas itu kami penat berjalan untuk mencari pasar Nangdemon untuk membeli buah tangan dan cenderamata tetapi satu yang tak jumpa saya cari adalah kain ela sutera buatan Korea entahlah... mungkin itulah risiko kalau tak guna agensi.
Petangnya pula kami singgah di Muzium Perang yang amat besar, muzium tanpa bayaran ini saya hanya melihat monumen dan peralatan perang di luar sahaja, dah penat benar rasanya ingin cepat sampai ke tempat penginapan kami juga telah seronok berkawan dengan rakan serumah dari seluruh dunia. Hari ini juga kami sudah jumpa kedai makanan halal. Iaitu kedai Turki dengan kebabnya.

Hari Keempat kami mulakan waktu pagi untuk ke masjid negara Korea, dan hari ini juga kemeriahan bandar Iteawon mula terasa apabila Iteawon Global Village festival benar- benar berlangsung di tempat kami, dan anak saya yang meminati K-POP cukup gembira dan senang hati kerana di waktu malamnya ada persembahan pentas dan lagu 'Oppa Gangnam Style'. Menaiki train dan menggunakannya tidak lagi jadi masalah, ia senang dan mudah dengan menggunakan peta laluan.
Kami melawat ke Istana Gyeonsugung iaitu yang terbesar antara banyak istana yang terdapat di Seoul dan muzium berhampiran. Selepas itu kami teruskan cabaran yang paling memenatkan bila mendaki ke puncak Seoul Tower dengan berjalan kaki melalui Namsan Park, sampai di puncak anak saya riang berada di persekitaran dengan pokok dan palang dipenuhi kunci, saya juga membiarkan anak saya naik ke menara tertinggi tersebut dengan bayaran W10,000

Sementara saya rehat dan melihat persembahan pahlawan dahulukala bertarung. Turun dari menara seoul kami menggunakan kereta kabel yang mengenakan bayara w6000 untuk sehala dan jika ulang alik sebanyak w8000 seorang.
Sebenarnya hari ini kami telah menyimpan beg di tempat simpanan elektronik di stesen Iteawon dengan bayaran W3000 untuk sehari dan memasukkan kata laluan sendiri.. Di negara maju ini banyak tempat membeli minuman menggunakan mesin, jadi disitulah kami mendapatkan minuman.
Pada lewat petang kami kembali semula ke Iteawon, sembahyang maghrib bersama pelbagai bangsa di masjid negara, suatu yang saya sungguh terharu apabila masjid berkenaan sentiasa dilawati oleh rakyatnya dan pelancong asing yang seolah tertarik dengan agama yang mungkin dianggapnya baru bagi mereka.
Makanan terakhir adalah nasi goreng berharga W8,000 untuk anak saya dan nasi sate kambing berharga W10,000 di kedai makanan Melayu dan Indonesia yang satu- satunya ada di Seoul.
Malam itu selepas menyaksikan festival kami bertolak ke Incheon Internasional Airport menggunakan train yang bagi saya amat berbaloi, kami berada di airport semalaman dan jam 6.30 pagi kami Check in masuk.. sepanjang penerbangan kami hanya tidur kepenatan tetapi berbaloi dan puas hati.. Pengalaman bercakap dengan tuan punya cenderamata yang boleh bertutur bahasa Melayu, kemeriahan bandar Iteawon yang pelbagai bangsa dari seluruh dunia juga ramainya pelajar Malaysia yang menjadikan Universiti di Seoul sebagai pilihan, saya percaya dengan populasi rakyat Malaysia seramai 1000 orang di Seoul kini akan meningkat dalam waktu terdekat.
Sepanjang empat hari berada di Seoul saya dapat lihat masyarakat mereka sudah jauh maju ke hadapan, berdisiplin, pembersih, mereka juga cepat menyerap ilmu dan teknologi bangsa lain tetapi mereka sangat sukar untuk menukar bahasa mereka secara meluas dan paling ketara fesyen dan persolekan mereka amat terkini...  Itulah yang dikatakan 'Soul in Seoul'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan