clixsense

Ahad, 16 Januari 2022

Kapal Persiaran Star Pisces




Kawan kepada isteri. cikgu Rahim memasukkan satu iklan pelayaran kapal persiaran di dalam grup Whatsapp, agak murah dalam Rm600 seorang. Isteri saya dah lama ingin naik kapal persiaran dan pernah terlepas trip ke Pulau Krismas dan Perth, selepas itu pendemik covid 19 melanda, seluruh dunia berkurung tidak dapat ke mana- mana. Iklan ini adalah pelayaran sulung kapal persiaran Star Pisces pasca PKP, disebabkan sempadan antarabangsa masih belum dibuka sepenuhnya, pelayaran adalah untuk dalam negeri yang mana ada tiga pakej paling murah adalah pelayaran 1D1N ke tengah laut, pakej 2D2N ke tengah laut dan pakej 3D2N Penang - langkawi- Penang. Saya terus cari di Internet seperti yang diberitahu.



Kami pilih pakej 3D2N dengan kabin pertengahan dan bajetnya Rm1005.00 untuk 2 orang, bolehlah... cikgu Rahim juga memilih pakej yang sama tapi dengan kabin 4 orang sebilik iaitu termasuk dua orang anaknya kabin ini lebih ekonomi lagi. Kemudian cikgu Rahim memaklumkan dia diminta untuk tambah bayaran untuk kabin yang lain kerana kabin asal telah habis ditempah. Cikgu Rahim ambil 2 bilik dengan tambahan bayaran separuh daripada harga asal. 


Beberapa hari kemudia saya juga mengalami situasi yang sama, kabin kami dipindah ke pakej lebih baik dengan satu katil besar dan ada ruang kopi, lebih besar sedikit daripada bilik cikgu Rahim serta anaknya dan bayaran bilik kami semuanya menjadi RM1600, saya kira masih berpatutan untuk pelayaran yang mewah.


Oleh kerana kami dari negeri Kelantan yang agak jauh daripada Pulau Pinang, kami kena bertolak awal dan terbang ke Bayan Lepas sehari sebelum pelayaran, kami menetap di hotel yang sangat selesa dan sebenarnya sesuai untuk keluarga, hotel Mc Allister mempunyai 2 bilik tidur dan satu bilik tamu yang lengkap, kali ni saya buat tempahan terlebih bajet.

Hari pertama kami jalan jalan berdekatan hotel sahaja dan makan di restoran Pelita Nasi Kandar.


Keesokkannya kami mula ke pelabuhan Sweethenham untuk naik ke kapal, kami difahamkan 1000 orang penumpang sahaja dibenarkan iaitu separuh daripada kapasiti sebenar akan turut bersama, terpaksa beratur panjang untuk kemaskini My Sejahtera, tunggu giliran buat saringan cov19, berbaris untuk mendapat surat kebenaran doktor, beratur lagi scan My Sejahtera sebelum ke Jeti, masih beratur di Jeti untuk mengeluarkan kad Khas untuk digunakan di atas kapal dan kad pengenalan diserah kepada pihak kapal. Naik ke kapal kena scan bagasi seperti di Airport, bimbit bagasi sendiri kerana khidmat pelayan bawa bagasi tidak disediakan atas faktor kesihatan co19.


Bilik saya berada di tingkat 10, kena naik lif ke tingkat 8 mendengar taklimat ketua stesen selepas itu barulah boleh ke kabin dengan membawa bagasi beroda yang tak lagi dapat bergerak lancar sebab karpet tebal dalam kapal menyebabkan roda troli sukar bergerak... akhirnya sampai ke kabin Admiral.. huhhh penatt.


Jam 5 petang kami makan malam di salah satu restoran daripada 3 restoran yang ada di dalam kapal. Saya memilih restoran kelasi di tingkat 8. Duduk dalam restoran hingga kapal mula bergerak, setelah selesai kami naik ke dek untuk lihat laut Pulau Pinang yang akan ditinggalkan dan menuju ke Langkawi. Berada di dek waktu malam terus mengingatkan saya pada pelayaran sulung kapal Titanic dalam filem Titanic lakonan Leonardo di Caprio dan Kate Winslet serta lagu nyanyian Celine Dion "My Heart Will Go On"  yang menjadi lagu tema filem epik yang diarahkan oleh James Cameroon itu. 


Bila berlabuh di Langkawi penumpang diberi kebenaran untuk turun dari kapal dan mesti kembali semula ke kapal sebelum jam 8 malam, Bersama keluarga cikgu Rahim kami menempah satu van dengan harga RM340 untuk selama 5 jam. Di Langkawi ia adalah syurga orang perempuan untuk membeli- belah dan tempat dituju adalah HIG, Idaman Suri, kami juga singgah di Kuah Jeti Point serta ke tepi pantai dekat airport iaitu tempat makan laksa ikan sekoq. Pusing pusing pulau sekejap dan terus balik semula ke Kapal jam 5 petang.


Berehat pastu makan malam, saya ada berbual juga dengan pekerja atau pelayan kapal mereka ini kebanyakan daripada Indonesia dan Filipina, saya bertutur Melayu bila menegur pekerja Indonesia, sesekali cuba menegur dalam bahasa Tagalog kalau bersua dengan pekerja Filipina.




Kemudian kami ke dek 9 untuk lihat persembahan pentas, saya lihat di dek ini ada juga tempat permainan dan hiburan mini Genting Highland, biasalah kapal ini pun milik kumpulan Genting. Kerana kapal ini diuruskan di Hong Kong serta penumpangnya pula ramai berbangsa cina, persembahan pentas dikuasai oleh penghibur berbahasa Mandarin, selang seli dengan bahasa Inggris. pelik juga bahasa Melayu tidak menjadi keutamaan di Kapal Persiaran milik rakyat Malaysia ini. Mudah untuk memahami kerana yang menguasai adalah bangsa cina serta dibantu oleh lain lain bangsa barat.

Sampai di Pulau Pinang proses turun dari kapal Star Pisces setinggi 12 tingkat adalah lancar, tiada lagi pemeriksaan dan scan My Sejahtera sebagaimana untuk naik ke kapal. Kad Pengenalan dikembalikan kad kapal di periksa dan kad itu mencatat semua pergerakan di dalam kapal serta penggunaannya. Ia diguna menggantikan wang, sekiranya membuat pembelian selain pakej asal. Saya dan isteri tiada caj tambahan tapi cikgu Rahim kena bayar RM500 lebih bila ada penggunaan dalam kadnya.. katanya makan di retoran khas dan anak- anak main permainan di Star of Galaxy tingkat 9.



Sebelum balik ke Kelantan kami berjalan jalan dulu di Pulau Mutiara, dapatlah naik Bukit Bendera yang memenatkan, makan malam di Padang Kota yang sesak, beli jeruk di Pasar Chowrasta serta makan sup yang kaw di Restoran Hameed. Sebagaimana Star Pisces yang hilang identiti negara, Penang juga seperti Singapura, semakin dilenyapkan unsur -unsur Melayu lihat sahaja nama jalan.. seluruh dunia dan semua bangsa ada jalan di sini seperti jalan Burma, jalan Albania, lebuh Mc Callum, Port Sweetenham, barangkali yang ada nama Melayu adalah jalan P. Ramlee dan Persiaran Karpal Singh mewakili Malaysia.. 

Isnin, 22 November 2021

Bandar Hilir, Melaka



Menjejak kaki ke Bandar Hilir, terasa kita akan tertolak ke masa lalu. Tetapi bukan di Tanah Melayu tetapi di Eropah. Melihat gereja St Francis Xavier seperti masuk ke era Van Hasting seperti dalam cerita vampire dengan bangunan gaya gothik yang berceracak. Gereja St. Francis Xavier yang terletak di Jalan Laksamana ini dibina pada tahun 1849 oleh Paderi Farve, seorang rakyat Perancis. Menara gereja ini dibina khas bagi memperingati St. Francis Xavier yang dikenali sebagai "Mubaligh Sulung di Timur" St. Francis Xavier dikenang kerana dia menyebarkan agama kristian Katholik di Asia Tenggara pada abad ke-16.


World Herritage City oleh UNESCO........ wow. Dapat kita bayangkan bagaimana di masa silam tempat ini menjadi rebutan oleh kuasa penjajah di awal penerokaan tanah baru oleh bangsa Eropah. Selepas berjalan dari tempat parking kereta dibawah deretan kedai lama milik para peniaga cina, kita disambut dengan seniman jalanan di Dataran Belanda yang juga terdapat Air Pancut Ratu Victoria yang dibina pada tahun 1904 sempena menyambut Jubli Intan Ratu Victoria United Kingdom.

Berada disini kita terkepung oleh 3 bangunan berwarna merah yang bersejarah di depan mata iaitu

1. Stadthuys ("dewan bandaraya" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.


2. Christ Church dibina sebagai memperingati ulang tahun ke 100 penjajahan Belanda di Melaka. Gereja Christ yang berwarna merah ini terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Jalan Laksamana dan Muzium Belia / Balai Senilukis. Gereja ini dibina sekitar tahun 1753 ia merupakan testimoni kepada seni rekabentuk Belanda yang tulen. Di sini dapat diperhatikan bangku gereja buatan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa penyambung, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan yang menggambarkan Santapan Terakhir Yesus pada jubin yang bersinar.

3. Muzium Belia dan Balai Senilukis terletak di bangunan yang sama. Bangunan muzium ini pernah dijadikan rumah paderi pada zaman Belanda, Sekolah Tinggi dan Pejabat Pos Besar Melaka. Kini fungsinya telah bertukar kepada sebuah muzium yang mendokumentasikan kegiatan belia melalui bahan-bahan dan matlamat berkaitan aktiviti belia di Malaysia dan antarabangsa. Balai Seni Lukis Melaka ditempatkan di aras satu. Galeri ini mempamerkan sejumlah 150 judul lukisan serta arca dari pelbagai media dan tema hasil karya artis-artis terkemuka tanah air dan luar Negara. Semua hasil seni yang dihimpunkan di balai ini mejadi destinasi terbaik untuk menghayati penghasilan seni.




Di Dataran Belanda ini anda akan digamit oleh penarik beca berhias yang menawarkan khidmat penghantaran ke lokasi lain. Oleh kerana kunjungan saya ke sini adalah untuk kali kedua selepas hadir bersama rombongan sekolah berpuluh tahun lalu, saya lupa dan beranggapan Kota A. Famosa dan Gereja St Paul berada dilokasi yang lain. Jadi tawaran oleh penarik beca untuk ke tempat itu saya rasakan berbaloi dengan bayaran RM25 satu beca pergi dan balik. Nasihat saya jika badan sihat dan langkah kaki masih mampu.. berjalan kaki sajalah kerana lokasi tersebut hanya berada di belakang bangunan Stadthuys sahaja.


Melalui kawasan jalan kaki ini anda akan jumpa antaranya,,

1. Muzium UMNO yang mempamerkan sejarah dan perkara- perkara berkaitan penubuhan dan perjuangan UMNO. 

2. Muzium Dunia Melayu dan Islam ialah sebuah muzium tentang budaya Melayu dan Islam. Ia ditempatkan di bangunan Bastion House yang dibina pada tahun 1910 dulunya diduduki oleh syarikat getah British Dunlop sehingga tahun 1986.


3. Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Nama A Famosa seringkali disalah sebut Sebutan yang lebih tepat ialah /ɑ/ Famosa (bunyinya lebih kurang "ah").


Saya rasa sebak kerana 2 perkara bila berada di depan kota A Famosa ini (1) Ia lambang jatuhnya kesultanan Melaka. (2) Ia dimusnahkan oleh Inggris (William Farquhar) hanya tinggal satu pintu sahaja (selepas di selamatkan oleh Sir Stamford Raffles daripada dimusnahkan semua)  daripada keseluruhan menara dan pintu pintu keseluruhan kubu.

4.Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di atas Bukit St. Paul. Replika Istana ini dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina Istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 hingga 1477.

Pemandangan dari luar replika Istana Melaka

5. Gereja St. Paul yang terletak di atas bukit St Paul merupakan sebuah bangunan gereja bersejarah. Ia telah dibina oleh seorang Kapten Portugis bernama Duarte Coelho pada tahun 1521, dan menjadikan ia bangunan gereja tertua di Malaysia dan Asia Tenggara.

Di Dataran Pahlawan ada pokok Melaka yang sedang berbuah

Sebagai peminat dan pengagum sejarah silam saya rasa cukup untuk kali ini, walaupun hanya melawat dari luar sahaja. Kerana kekangan masa, saya tidak sempat untuk berlama jika untuk melawat ke muzium atau meneroka Istana Melaka saya mesti datang bersendirian di hari yang lain sebab saya akan habiskan masa yang panjang untuk melihat khazanah serta kesan yang ditinggalkan di Bandar Hilir ini.

Rabu, 24 Februari 2021

Pelancongan Sungai Pengkalan Datu

Dalam suasana pandemik Covid 19 masih belum berakhir, hari ini Rabu 24 Febuari 2021 negara kita mula membuat suntikan vaksin untuk mengawal wabak berkenaan. Perjalanan rentas negara dan negeri serta daerah belum dibuka sepenuhnya. Kami yang kaki kembara ini membuat program lawatan tempatan iaitu menyusur muara Sungai Pengkalan Datu.

Bot nelayan yang dikhaskan membawa pelancong adalah lebih berwarna dan berukir motif seni rakyat

Apa yang dimaklum bahawa nelayan di Sabak sudah lama membuat program ini tetapi kebiasaannya mereka membuat aktiviti sampingan selain kerja rutin sebagai nelayan, pada setiap hari sabtu bot mereka akan membawa pelancong menyusur sungai aktivitinya sebagaimana berikut ,

- Melawat tempat buat tuak nipah

- Ziarah masjid Ar Rahman

- Pasar nelayan Pulau Gajah

- Melihat rumah api terendah di Asia Tenggara

Penyusuran bermula dari jeti dekat pendaratan ikan Kg Pulau Gajah, Sabak. Hari ini bot berada berjauhan daripada jeti dikhaskan kerana air surut, bot tidak dapat hampiri jeti khas. 

Tempat mula mula kami kunjungi adalah tempat menghasilkan nira dan cuka nipah, 

Pemandangan di jeti tempat pohon pohon nipah diambil hasil nira.

Kami melalui jambatan kayu di celahan pohon nipah yang nyaman dan dingin, dapat melihat bunga dan bagaimana nira diambil dari pokok sebelum sampai ke bangunan kecil yang menempatkan nira dan cuka yang dijual. 


Bunga nipah, ada yang bagitau kerabu bunga nipah terlalu sedap

Tuak / nira nipah

Hirisan kayu cengal yang diguna sebagai pengawet nira..

Nira / Tuak dan cuka nipah RM5 sebotol

Kemudia kami akan mengunjungi masjid Ar Rahman yang telah menjadi ikon kerana keunikan senibinanya, sungai yang cetek disebabkan air surut musim kemarau ini, bot kami tersangkut dibeting terpaksa ditarik oleh sebuah bot memancing yang lalu berdekatan. Lawatan ke masjid Ar Rahman terpaksa dilakukan melalui jalan darat.

Bot tersangkut.. sedang dibantu oleh bot pemancing

Kami juga tidak dapat menghampiri rumah api yang dikatakan terendah itu disebabkan masalah yang sama, hanya dapat melihat dari jauh.


Selepas lebih kurang 3 jam dengan sewa bot RM250 yang boleh di muat seramai 25 orang.. Kumpulan kami seramai 17 orang jadi kosnya adalah RM15 seorang. Ada peserta terus pulang kerana sudah biasa dan tahu akan keberadaan masjid Ar Rahman.

Sesiapa yang belum sampai ke masjid ini silalah datang, anda akan terpegun dengan keunikan dan mutu bahan yang digunakan, daripada kepala paip tempahan khas, beduk kulit lembu yang besar dan ruang solat yang seperti masjid dahulukala serta tasik di sekeliling masjid yang boleh dihampiri oleh bot yang datang dari sungai dan laut, ada tarikan baru di sini, iaitu penternakan ikan kelah dan telapia oleh pihak masjid sebagai tarikan pengunjung.


Walaupun tidaklah semegah sebagaimana pelancongan pinggiran sungai Mekong di Vietnam tetapi ada elemen dan kelebihan tersendiri, usaha ini menampakkan bahawa produk ini boleh diperkembangkan dan direncanakan lagi agar ianya menjadi tarikan dan sumber ekonomi masyarakat nelayan. Produk sudah ada hanya sokongan dan galakan serta penglibatan pihak kerajaan dan swasta secara berterusan akan menjamin kejayaan eko pelancongan di negeri kelantan ini.


Rabu, 30 September 2020

Genting, Tioman - Kampung kucing

Trip ke Tioman adalah sebahagian daripada pengisian slot perjalanan ke luar negara yang tertangguh dan dibatalkan akibat wabak Covid19 yang melanda dunia. Dari Kota Bharu kami bergerak menggunakan van persiaran untuk ke jeti Mersing. Di Mersing kami seramai 10 orang sampai waktu maghrib dan menginap di sebuah hotel berdekatan dengan jeti, waktu malam kami keluar makan di tepi laut dan selepas itu terus pulang ke bilik hotel.

Jam 9 pagi kami belayar dengan feri ke Pulau Tioman dan kumpulan kami memilih untuk bercuti di kampung Genting, lebih kurang 2 jam kami sampai ke destinasi;

Hari pertama saya bersiar siar berhampiran tempat penginapan iaitu Sun Beach and Spa Resort yang betul betul di tepi laut yang berpasir bersih dan ada juga tempat yang berbatu. Ada rakan rakan yang mengambil  kesempatan mandi dilaut.. tapi saya dan isteri mandi di kolam renang tepi chalet.

Hari kedua kami di bawa ke 4 tempat snorkeling. wowo bermacam ragam ikan yang jinak mengelilingi sesiapa sahaja yang turun ke laut. Langit tidak selalu cerah itulah yang terjadi kerana habis sahaja dua lokasi snorkeling hujan dan angin membadai jadi kami batalkan 2 lagi lokasi dan terus ke pusat bandar Tioman iaitu Teket. 

Di Teket kami hanya di bawa ke kedai bebas cukai.. tapi kami semua mengeluh kerana tiada yang istimewa di kedai bebas cukai ini dan harganya pun lebih mahal daripada kedai jualan yang ada di kg Genting tempat kami menginap.

Keesokannya kami sudah mahu pulang.. petang itu bersiar siar lagi. apa yang nampak adalah di kampung ini sangat ramai kucing kucing, mereka cantik dan mesra dan lebih membanggakan kita tidak akan melihat walau seekor anjing di Kampung Genting dan mungkin di Tioman ini tiada anjing.


Di Kampung ini juga ada sebuah makam pembesar Pahang yang terkorban bersama anaknya di lautan dan di makamkan di kampung ini....


Sebelah malamnya kami disediakan dengan BBQ yang sememanya terbaik bukan sahaja makanan segar malah mencukupi.. kami juga meminta daging landak yang dikatakan ada disediakan di sini cuma kena bagitau awal awal masa mula sampai agar dapat dicari dan disediakan serta dimasak macam rendang, harganya tak sampai rm100 seekor,, bolehlah untuk cuba rasa.


Sekiranya ke Tioman silalah ke kampung Genting, nak solat jumaat masjid pun dekat