clixsense

Jumaat, 14 Oktober 2016

Buketa 14 Oktober

Setelah menyelesaikan kerja kerja sukarela di daerah Jeli, menunggu waktu petang untuk program berikutnya, saya curi masa menyeberangi sempadan Bukit Bunga ke pekan negara jiran iaitu Bukit Tar atau di modenkan menjadi Buketa. Selepas membeli sedikit buah tangan dan sementara menunggu rakan rakan yang lain, saya duduk di pengkalan menonton televisyen, pada mulanya saya tak pedulikan apa yang ditayangkan tetapi akhirnya saya tanyakan dan diberitahu bahawa Raja Bhumipol Adulyadej.. raja yang paling lama memerintah iaitu 70 tahun telah meninggal dunia dalam usia 89 tahun. Hilang sudah raja yang paling lama dan disegani di dunia.. teringat betapa megahnya singgahsana raja Thai ini yang pernah menghimpunkan raja- raja yang masih bertakhta di dunia dan gambar tersebut menjadi hiasan di banyak tempat di seluruh dunia. 

Raja ini juga disenaraikan sebagai raja yang terkaya di dunia. Apa yang mengagumkan saya tentang raja negara gajah putih ini adalah kasih sayang rakyat dan penghormatan yang diberikan oleh rakyat sangat menakjubkan, walaupun oleh komuniti Islam di selatan Thai dan diakui oleh mereka yang ada di situ. Kebetulan pula pada tarikh dan masa yang sama, negara di seberang sungai iaitu negara saya Malaysia sedang mengumumkan Yang Dipertuan Agong yang baru setelah dipersetujui oleh Majlis Raja- Raja Melayu bahawa Sultan Muhammad v dari negeri Kelantan adalah ketua negara yang baru untuk tempoh 5 tahun ia akan dimashyurkan pada disember 2016. 


Berada sekejap di Buketa rasanya tidak tenteram rasa panas, mungkin benar kata sesetengah orang bahawa negara dan daerah yang kurang keberkatan suasana adalah tidak menyenangkan, selepas semua rakan rakan kembali, kami mengharung sungai balik semula ke pengkalan.. selepas berpijak ke tanah air duduk sekejap di bawah pokok sambil melihat orang naik ke tebing sungai, angin dan suasana terasa menghembus lebih baik, mungkin kerana perasaan atau kebetulan. 


Selepas menyusuri denai kebun getah dengan jarak 200 meter ke kereta kita dikirim gambar dalam whatsap foto bakal pengganti raja Thai yang bernama Vajiralongkorn, apa yang difahamkan Vajiralongkorn adalah satu satunya putera lelaki Bhumibol manakala 3 yang lain perempuan, putera raja berusia 64 tahun itu yang baru pulang dari Jerman kelihatan sangat kontras dengan penampilan mendiang ayahndanya, dapatkah selepas ini rakyat Thai yang penuh kesopanan menerima raja mereka yang khabarnya dikaitkan dengan Yakuza, kepulangan bersama isteri ke 3 nya itu tentunya menjadi perhatian seluruh rakyat.

Manakala YDP Agong pula memiliki sifat yang mesra rakyat, warak, sering mengunjungi mengambil tahu hal rakyat dan dikenali sebagai Sultan yang membelakangkan protokol dalam kegiatan harian baginda, Sultan Kelantan ini diharap dapat memberi pengalaman baru dan keterujaan yang disenangi oleh rakyat pada masa yang sama kita berharap Monarki Thailand juga akan menempuh suasana yang menyenangkan. 

Ahad, 25 September 2016

Pantai Irama ; Istana Bunian En Hashim

Terletak berhampiran tempat perkelahan, Pantai Irama, di hujung Taman Perumahan Seri Bayu, Kampung Tok Burong, Istana Bunian adalah sebuah rumah dua tingkat yang dibina oleh En Hashim seorang diri dengan kudrat tulang empat keratnya. 






Ketika saya tinggal di perumahan dekat dengan Istana Bunia ini dulu, anak anak selalu bermain main di tempat En Hashim membina rumahnya, ketika itu ia masih berkeadaan satu tingkat, En Hashim pun masih muda berbanding sekarang, berulang alik membawa beg simen dengan motor lalu depan rumah dan kanak kanak riuh mengejarnya dari belakang.



kini anak anak saya dan rakan rakan sepermainannya tidak ada lagi bermain dan berlari di longgokan pasir kawasan En Hashim bekerja, anak anak yang sebaya anak saya sudah belajar di Universiti, dan ada juga yang sudah berumah tangga. 






En Hashim masih membina Istana Buniannya, belum berkahwin dan terus tekun bertekad membina Istana Buniannya seperti belum puas dan belum mencapai ke puncak impiannya.






Istana Bunian buatan tangan En Hashim sudah dua tingkat, apabila melangkah masuk kita akan terpegun dengan reka bentuk binaanya, menurut apa yang dikata dan dirancang oleh En Hashim, masih banyak binaan yang belum siap termasuk kolem besar di ruangan dapur rumah yang ingin dijadikan seperti tempat perkelahan air terjun yang mana kolam itu turut boleh dijadikan kolam mandi manda.




Dengan rekaan bercirikan gua, arabian, seni Melayu juga suasana kehijauan rimba, saya merasakan suatu masa tidak keterlaluan jika Istana Buniannya akan menjadi salah satu rumah yang unik di Malaysia dan menjadi tarikan baru di daerah Bachok.






Semoga En Hashim diberi kesihatan yang baik dan sekiranya ada pihak yang sudi membantu dari segi kewangan dan keperluan binaan sudah tentu ia lebih membantu dan merealisasikan Istana Bunian di Bachok Bandar Pelancongan Islam.






























Selasa, 26 April 2016

UTP- Tronoh


Dulu telah pergi ke Sri Iskandar, Tronoh Ipoh Perak untuk temuduga kemasukan ke UTP bagi kemasukan secara fast track mac 2016 di Universiti Teknologi Petronas melalui Bachok - Pasir Puteh - Machang - Gua Musang - Simpang Pulai - Tronoh memakan masa 6-7 jam. Kami singgah di Cameron Highlands untuk mengisi Petrol dan menikmati pemandangan di Tanah Rata sebelum bertolak semula dan bermalam di rumah kakak seorang rakan di pekan Batu Gajah. Terima kasih Roslina Mustapha dan Che Ta sekeluarga yang mesra dan senang hati menyambut kami.
Kali kedua pergi lagi setelah tawaran diterima, pendaftaran dibuat di dewan Canselor, dewan yang diingati kerana anugerah rekabentuk Shah Jehan. kami bertolak jam 3.30 pagi. Perjalanan dinihari yang sepi terutama jalan dari Gua Musang - Lojing, terlalu sunyi dan tidak sampai 5 buah kenderaan yang berselisih dengan kami, ladang kelapa sawit kiri kanan berselang dengan getah kemudian melalui jalan raya lebar namun kelihatan tidak diselenggara baik, anak lena tidur disebelah dan akhirnya kami berhenti solat subuh di Masjid Long Tan, Lojing. 
Solat subuh di masjid yang indah dan baru ini membuatkan saya terpegun bukan sahaja kerana kemudahan masjid tetapi kesejukan air juga kabus menyegarkan bulu roma, apa yang mendukacitakan hanya seorang Iman sahaja yang solat subuh mewakili orang tempatan itupun kerana masjid tersebut ada kuarters Iman di belakanya, para makmun adalah orang yang singgah bersolat seperti kami ada juga beberapa orang yang tidur disaf belakang mungkin mereka sudah solat terlebih dahulu daripada kami, saya kira waktu itu sudah hampir jam 6:30 pagi.
Perjalanan diteruskan bersama mentari yang mula menebarkan sinarnya mengiringi kami ke Simpang Pulai. Kami sampai awal iaitu jam 8:00 pagi, berhenti mandi dan bersiap di sebuah masjid di Batu Gajah, selepas itu bersarapan sebelum menunggu pendaftaran di buka jam 10:30 pagi.
Akhirnya anak yang membesar bersama saya ini, yang melihat dan merasai suka duka melangkah lagi ke alam pengajian yang lebih tinggi, bermakna saya terpaksa bersedia untuk berhabisan wang sebelum mendapat pembiayaan dari mana mana pihak. Sementara menunggu proses pendaftaran saya meninjau perpustakaan yang cangih dengan rak buku bertingkat tingkat hingga ke bawah tanah, siap dengan tangga / sigai dan lif juga kemudahan komputer disamping model model Petrolium sebenar, juga replika 2 buah kereta formula 1 yang dibiayai oleh Petronas iaitu Sauber dan Mc Laren, cukup teruja dan benarlah jika ia menjadi bualan warga pelajar. Selepas memindahkan barang- barang ke kediaman siswi, kami ke bandar Sri Iskandar membeli barang keperluan lain, menempatkan satu bilik dikongsi dua orang pelajar sangat selesa dan kondusif. Saya meneruskan perjalanan pulang jam 2:00 petang melalui lebuhraya Grik - KB memandu keseorangan dan berhenti rehat di rumah kawan di Grik, selepas asar memandu lagi, jam 9:00malam sampai ke rumah: Selamat belajar... 

Selasa, 18 Ogos 2015

Kuching

Berangkat ke Kuching bersama kumpulan Angkatan Generasi Melayu Muda (AGENDA) Kelantan ke Kuching Sarawak pada 30 Julai 2015. Lawatan Muhibbah selama 3 hari dua malam ini disertai oleh dua kumpulan iaitu dari Kelantan dan Kuala Lumpur yang jumlahnya adalah seramai 30 orang. 

Bersama rakan menjamu selera tengah hari..
Di Perkampungan Budaya

Penggerak Program Muhibbah En Zaidan dan Eizwan

Catatan ringkas ini hanyalah sebahagian daripada jadual program kami sewaktu berada di Kuching.




Jumaat, 8 Mei 2015

Langkawi

Perjalanan ke Langkawi merentasi banjaran titiwangsa memakan masa lebih tujuh jam, dalam perjalanan itu kami singgah di puncak banjaran, satu tempat paling tinggi melalui lebuh raya timur- barat.

 Sesampai di Kuala Perlis rakan saya meluahkan apa yang dibimbanginya iaitu... Jangan masuk ke pulau waktu cuti penjang atau cuti persekolahan kerana mungkin anda tidak akan mendapat tiket feri seperti yang dikehendaki dan lebih malang jika terpaksa tidur di jeti kerana penginapan semua penuh.

Serik.. lain kali tak nak datang dah musim cuti... nasib baik ada kawan di Kuala Perlis dan Pulau Langkawi yang banyak membantu...

Jangkaan untuk masuk awal ke pulau tidak kesampaian kerana hanya da tiket tambahan jam 8:30mlm sedangkan jam baru 2:00 petang terpaksalah ke rumah rakan di Kg Sanglang untuk menunggu hari malam, di rumahnya kami di layan baik dan di beri makan udang dan ketam hasil dari kegiatan sampingan rakan sekali- sekala turun ke laut.


Jam 8:30 kami sekeluarga berada dalam feri, perjalanan memakan masa lebih sejam itu sekali lagi bersesak di Jeti Kuah, seperti mana di Kuala Perlis, saya terlebih dahulu hubungi rakan, selepas menunggu rakan datang ambil dan membawa kami ke Apartmen Lagenda yang sememangnya sudah ditempah oleh kakak yang mana satu unit apartmen itu milik Bank Simpanan Nasional yang mana kakak adalaah pekerjanya.

Kami tidak berhajat untuk pergi ke banyak tempat cukuplah melawat makam mahsuri, kompleks beras terbakar dan kawasaan bebas cukai Kuah, di maakaam mahsuri banyak info dan benda yang diketahui dan boleeh dikatakan melawat kompleks makam ini samalah dengan menjelajah banyaak tempat di Langkawi, yang menarik dapat merasai kesejukan air perigi mahsuri yang dikatakan banyak kelebihan dan menjadi perigi yang airnya paling sejuk di pulau Langkawi, di pasar dekat beras terbakar pula banyak jualan dan kedai kedai termasuklah meenjual buluh tumpat yang ruasnya tidak ada lubang ia dikatakan hanya terdapat di Langkawi sahaja. Di kedai bebas cukai pula sudah tentu Kedai Haji Ismail yang meenjadi tumpuan dengan coklat dan barangan dapur dengan harga paling berpatutan.
Sebelah malam pula kami berada di Dataran Lang sebelum sekali lagi rakan menjemput ke rumahnya di Padang Matsirat yang kemudian membawa ke Pantai Pasir Berdengung, Kuala Muda untuk berkelah 

Jam 11:00 pagi hari berikut kami bertolak pulang, sekali lagi kami ucapkan berbanyak terima kasih kepada rakan yang uruskan paarking kereta, dapatlah jimatkan kos parking yang harganya melampau walau kereta hanya diletakkan berpanas ditepi- tepi jalan. Selepas berbual dengan rakan kami meneruskan perjalanan ke Kelantan... satu percutian singkat yang menarik.



Sabtu, 11 April 2015

Kg Pemberian, Kuala Krai

Sudah lama tak balik ke kampung keluarga sebelah emak, bagi saya inilah tempat yang paling unik di Kelantan dalam pertuturan harian, tempat ini seingat saya adalah satu mukim yang mempunyai bahasa percakapan yang bukan bahasa Kelantan tetapi bahasa Pahang lama, sekarang ni sangat sukar nak mendengar bahasa yang gemalai itu lagi, mungkin generasi selepas ini akan hilang terus bahasa Kampung Pemberian, catatan saya yang lain berkaitan ingatan kepada kampung ini adalah di Kisah Arowana

Selepas banjir paling besar dalam sejarah Kelantan melanda hampir keseluruhan daerah yang mempunyai jaringan dengan sungai Kelantan pada disember 2014 yang lalu. Selepas banjir itu saya menyedari air sungai Kelantan telah menjadi jernih tambahan pula di musim kemarau ini. Selepas menyaksikan kesan banjir dan melihat beberapa buah rumah termasuk rumah saudara mara hanya tinggal tapak, saya berjalan ke tepi sungai yang kini alirannya tenang.


Selepas memandang ke bawah dari tebing yang tinggi, saya terpandang tempat di mana suatu ketika dulu saya mandi disana, mencuci pakaian bersama mak mak saudara, melihat bot membawa pelajar sekolah dan melihat ikan berenang di dasar sungai.





Walaupun saya masih tidak berpuas hati dengan kejernihan yang saya pasti tidak lagi sejernih seperti dulu yang mana airnya boleh melihat ke dasar biarpun kedalamannya melepasi paras kepala. Untuk puluhan tahun.. hari ini saya menjunam ke dalam sungai.. lepaskan rindu dan kepuasan untuk nikmati semula kesegaran air sungai Lebir..

Ahad, 14 Disember 2014

Persahabatan..



Catatan ini adalah tentang perjalanan pendek ke lembah kelang untuk bertemu dengan rakan sekolah yang entah bila kali terakhir kami bersua, yang pasti mungkin bila umur mendaki 40an perasaan ingin bertemu rakan sekolah terasa membuak- buak, harapan itu sudah dirasai berbulan bulan yang lalu, dan semakin hari harapan pertemuan semakin bersinar dengan adanya usaha rakan- rakan yang mempertemukan di alam media sosial Facebook dan juga sistem mesej whatsapp, kesyukuran atas teknologi ini walaupun ianya dibangunkan oleh pihak yang kita tidak sukai.. apa yang baik kita manfaatkan.

Jejak mula mula berada di KL adalah berjumpa Tan Li Khan yang selama ini saya pernah tujukan lagu untuknya di Youtube Gadisku Tan Li Khan lama kami berbual- bual ditempat kerjanya di bilik bedah utama HKL, disitu luahan rasa yang selama ini terpendam kami kongsikan bersama,

Hari seterusnya pencarian bersama Ilias, sahabat yang mula- mula sekali ditemui sejak perpisahan zaman sekolah, Ilias rakan yang tidak banyak kerenah, sentiasa ada bila diperlukan, sifat setiakawan dapat dilihat zaman sekolah lagi. Saya bertemu Nida dan Poken dalam perjalanan ke rumah Roslina di Nilai. Roslina yang dulunya saya gambarkan seorang kawan yang riang dan nakal kini sudah berubah menjadi seorang suri rumah yang santun dan begitu pandai memasak dengan masakan yang kontemporari, kami makan dengan berselera di rumahnya, sebagai seorang yang pernah menjadi penghias kulit depan majalah remaja Roslina masih cantik dan tutur kata yang tetap menarik perhatian.


Sebelah malam pula saya bersama Ilias dan isteri serta anaknya ke Selayang untuk bertemu pula Tan Li Khin yang juga seorang rakan yang selalu saya nak sangat berjumpa, entah mengapa teh-o di rumahnya terasa berbeza kesedapannya, wahh kena dengan lidah dan aroma yang terkesan, Li Khin masih petah seperti dulu, tahu menjahit dengan beberapa buah mesin jahit di ruang tamu, oh rakan ini sudah ada kerja sampingan selain sebagai jururawat di hospital Selayang. Satu kesan yang masih dirasai bila terpandang wajah Li Khin adalah kenangan kunjungan pertama ke rumahnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina di rumahnya di Kg Bekelam waktu saya dalam tingkatan empat pada tahun 1990.

Bila balik ke Kelantan saya juga bertemu rakan di sekolah rendah yang kebetulan dapat minum bersama, rakan- rakan inilah sebenarnya yang menjadi team kami di zaman sekolah rendah dulu, kami mempunyai banyak perkongsian pengalaman sebelum masing- masing membawa hala tersendiri. Syed, khamrul, Chia juga kamarulzaman dan Jaizaiman sudah berjaya dalam bidang masing masing sudah tentunya Ir Khamrul adalah salah seorang kebangaan kami dengan pencapaian akademiknya walaupun begitu budaya glokalnya membuat kami hormati rakan ini.

Pertemuan demi pertemuan lagi adalah di rumah Azliwati, sementara menikmati mee kari pertemuan kami bertambah meriah dengan adanya Syidah yang kelakar dan keemak emakan, seorang yang dikatakan juga pandai dalam selok belok memasak dia tidak lupa membawa kek pisang untuk Lina dan masfuzah serta saya rasainya sepanjang berada di rumah Azliwati hari itu.... 
Rakan- rakan Insya Allah ada rezeki kita jumpa lagi.