Sebenarnya saya dah tak berapa nak ceritakan pasal percutian di Sabah, dah banyak yang saya coretkan pasal negeri 1 Malaysia ini. Sebahagian ruang hidup saya mengenai cinta Sabah dan negeri ini akan kekal selamanya dalam hayat saya kerana dua orang anak saya mempunyai darah negeri di Bawah Bayu ini ia sebuah hentian perjalanan kehidupan saya.
Dua hari selepas menghabiskan masa di Terengganu anak saya mengajak ke Sabah dan tujuannya adalah Kundansang, Ranau. Pada mulanya saya mencari beberapa ajen pelancongan tetapi bila melihat perbelanjaan ia agak tinggi dan anak saya bersetuju untuk menguruskan sendiri dan ternyata sangat menjimatkan. Kami booking tempat tinggal melalui online dan hanya menghubungi pengangkutan van untuk di sewa dan kami dapat harga RM750 untuk 2 hari bersama pemandu, petrol juga termasuk dalam jumlah itu. Kami berangkat 9 orang termasuk 3 cucu dan besan.
Hari pertama sampai jam 3 petang kami tempah grab ke Hotel Shang Ri-La kota kinabalu, di hotel ini kami ambil 3 bilik untuk hari pertama dan hari keempat, hotel berbintang ini mungkin menawarkan harga menarik pada tarikh itu iaitu dalam RM600 keemuanya, murah sangat kan.
Malamnya kami makan makanan laut. kami bernasib baik kerana berjalan sedikit dari pasar filipina yang kemudiannya dimaklumkan oleh pemandu grab bahawa tempat kami makan itu adalah tempat makanan laut paling murah bayangkan 9 orang makan dengan banyak makanan laut seperti 2 ekor ikan bakar besar, sotong, udang, kerang kerangan. nasi serta minuman... sewaktu hendak bayar saya jangkakan tentu akan mencecah RM300 jika kami makan di Kelantan tapi di sini di tempat makan yang popular dengan nama Todak iaitu berdekatan dengan patung ikan todak kami hanya perlu bayar RM190.. wahh sangat berbaloi baloii.
Selepas makan kami masuk ke pasar filipina, anak menantu banyak beli ikan bilis untuk bawa balik ke Adelaide, jangan risau pasal bungkusan, mereka disini sangat cekap buat bungkusan yang diluluskan oleh pihak penerbangan.. harga bilis tak akan dapat di semenanjung dengan harga sangat menggoda termurah apatah lagi jika pandai tawar menawar.
Keesokkannya kami bertolak ke Kundansang dalam perjalanan itu beberapa tempat kami singgah antaranya rumah terbalik yang saya kira amat amat amazing sekiranya membeli tiket masuk ke 3D Studio saya sangat sarankan terutama jika bersama anak anak pelbagai pengalaman berkenaan imej 3D serta pengetahuan tentang Sabah.. rugi jika hanya masuk ke rumah terbalik sahaja. Tiketnya dalam RM15 untuk dewasa dan kanak kanak serta warga emas separuh harga,
Memandang puncak Kinabalu yang boleh dilihat jelas sepanjang perjalanan sangat mengasyikkan kebetulan cuaca baik dan Akinabalu menampakkan wajahnya. kiri kanan dengan kehijauan pergunungan sungguh membuat saya terimbau betapa bumi ini pernah saya menanam harapan setinggi gunung Kinabalu.
Kami singgah di Tamparuli, jika tidak naik jambatan gantung saya andaikan anda belum sampai ke Tamparuli, suatu tempat yang ceritanya sangat sadis iaitu korban seorang sumandak / gadis ditanam hidup hidup dalam tajau / tempayan untuk menyiapkan sebuah jambatan di Tamparuli yang dapat dilihat depan mata bersebelahan jambatan gantung. Dan Tamparuli tidak lengkap tanpa lagu serta tarian Sumazau. Untunglah kumpulan pelajar sukarela membuat persembahan berdekatan dan jangan lupa selepas itu bagilah derma seiklas hati untuk adik adik studen UMS itu. Jomm tengok video kami di Sumazau
Perjalanan di teruskan melewati pekan Kundasang dengan tema sayur sayuran, kami ke Poring Hotspring. Terus saya teringat kali pertama sampai di sini ia masih tidak secantik dan lengkap dengan ruang mandi. Pada 1993 saya sampai untuk membut dokumentari apa yang ada di Hotsping hanyalah beberapa kolam takungan sahaja tidak ada tab tab mandi dan pondok serta chelet seperti sekarang. Sekarang ada pelbagai segmen dan tidak habis untuk kunjungan 1-2 jam kerana ia ada trek gua kelawar, taman kupu kupu juga ada canopy walk yang tinggi di puncak pokok.
Sebelum ke tempat penginapan kami ke sungai Marakau iaitu tempat ikan kelah dan kap yang dijinakkan untuk menghisap badan dan jari kita.. cubalah anda rasa keseronokan dan teruja yang belum pernah dirasa. Kalau di semenanjung ikan ikan ini ada juga di sungai Tasik Kenyir tetapi tidaklah sebesar dan sejinak disini.
Malamnya kami menginap di homestay paling tinggi di Kundasang, jauh naik ke atas dan gelap dengan jalan yang tidak rata. Bila sampai rasa lega apalagi bila waktu paginya kami sangat hampir dengan gunung Kinabalu serta suhu paginya 15C. sejukknyaa.
Keluar dari Wind Valley Farmstay kami ke tempat ternakan arnab yang tertinggi di Asia Tenggara, semestinyalah sebab kaki gunung Kinabalu kann. 3 orang cucu tak terkata bila dapat bersama haiwan comel itu.. muahh muahhh
Kemudian ke ladang ternakan lembu susu, rupanya nak masuk ke sini kena beli tiket secara online nasib baik pemandu kami slow talk dengan pengawal dan akhirnya kami bayar tiket secara manual dan dapat masuk kalau tak silap untuk 9 orang kami kena bayar RM35. Kepada yang berhajat ke ke sini saya nasihatkan beli tiket masuk secara online siap siap takut nanti dah sampai tapi tak dapat masuk...
Singgah di memorial adalah satu daripada kesukaan saya, di Kundasang ini ada memorial perang dunia ke 2, cucu cucu tercegang sekejap bila lihat bendera negara kelahirannya Australia turut ada, jenuh jugalah ibunya menerangkan penglibatan Australia sebagai negara Komenwel yang terlibat dengan perang.
Dalam perjalanan balik kami singgah di beberapa tempat antaranya pekan Nabalu, pekan ini menjual pakaian dan kraftangan, Untuk anda yang ingin beli cenderahati belilah di pekan ini kerana khabarnya di pasar Kraftangan Kota Kinabali / pasar filipina harga akan jadi lebih mahal.
Kami sampai semula di Hotel Shangri- La sudah lewat petang.. malamnya ke Todak lagi serta beli mutiara di pasar filipina, satu lagi pesan sebenarnya harga di pasar malam seberang pasar filipina harganya lebih murah dengan produk dan pembekal asal adalah sumber yang sama. Jadi kenapa bayar lebih pergilah ke tapak pasar malam..
Sebetulnya tanah suci Mekah termasuk Madinah bukanlah destinasi yang saya ingin lawati. Ia adalah satu tempat yang saya sangat tidak mahu membandingkan dengan mana mana destinasi lawatan. Ia suatu kawasan yang berkaitan dengan agama langit dan sudah tentu saya mengatakan ia tempat pilihan Allah, tempat para nabi dan rasul mengamal dan menyebarkan agama Islam kepada manusia, saya tak mahu ke tempat ini jika saya belum bersedia dari segi spiritual.Apabila isteri saya beritahu dia dah daftarkan saya sekali untuk melakukan umrah saya tak berkata apa apa- tidak geleng dan tidak angguk, minggu terakhir sebelum keberangkatan saya hanya berbisik dan berdoa kepada Allah sekiranya ini adalah jemputannya, saya merayu agar tuhan menjaga aib saya serta memberikan saya kesabaran yang tinggi semasa di tanah haram.
28 mac berangkatlah kami ke Jeddah, malamnya teruskan perjalanan dengan bas ke Madinah. Sebagai orang yang tiada pengalaman saya banyak memandang ke luar tingkap tetapi hanya nampak cahaya lampu dan kegelapan sahaja, tidak tahu bagaimana rupa bumi tanah Arab. 4 jam kemudia kami memasuki kota Madinah air mata terus berderai bila saya memandang papan tanda masjid Quba, saya terbayang bagaimana rasulullah sampai ke Madinah setelah hijrah dari Mekah dan masjid Quba yang pertama kali dibina. Terasa sayu bagaimana saya boleh sampai ke jejak jejak rasulullah saw jika Allah swt tidak mengizinkan, rasa sangat berterima kasih kepada tuhan yang memilih saya bersama manusia manusia lain yang jauh lebih baik daripada saya untuk menjadi tetamunya.
Oleh kerana dunia baru sahaja beransur keluar daripada pendemik Covid 19 ada sekatan sekatan dan aplikasi tertentu mesti ditunjukkan jika ingin memasuki taman syurga Raudha dan jemaah wanita tidak dibenarkan mungkin untuk mengelakkan kesesakan. Saya kira dalam keadaan sekatan yang ketat saya masih beruntung dapat masuk 2 kali ke Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah saw dan dua sahabat baginda yang keduanya adalah mertua baginda iaitu Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khattab.
Di Madinah dengan cuaca lebih panas daripada Malaysia hidung saya mengeluarkan darah setiap kali saya membasuh dan memasukkan air ke dalam hidung.
Selain memanfaatkan solat dan iktikaf di Masjid Nabawi, Madinah adalah tempat yang sesuai untuk membeli buah buahan seperti kurma kerana harganya lebih murah berbanding di Mekah. kami juga melawat telaga Izig yang dulunya beracun tetapi setelah rasulullah meludah ke dalamnya ia menjadi telaga yang paling manis dan enak airnya di Madinah, telaga Iziq dekat dengan masjid Quba telaga ini boleh dikatakan sebagaimana telaga zam zam kalau di Mekah.
Hari ke empat berada di Madinah dan ramadhan bermula dapatlah rasa berpuasa di Madinah, hari pertama saya berbuka puasa di masjid dengan juadah berbuka ringkas seperti air zam zam, roti, yoguart dan buah kurma diberikan kepada setiap jemaah.
Hari seterusnya kami ke bukit Uhud melawat tempat rasulullah dan tentera Islam hampir kalah kerana pasukan memanah telah melanggar arahan nabi turun dari bukit untuk mengambil harta perang.
Hari ketiga puasa kami bergerak ke Mekah dengan bas, barulah dapat lihat rupa bumi padang pasir dan bukit bukau yang tiada tumbuhan hanya berbatu batu keras. Bila mengingatkan pemandangan padang pasir saya menyangka ada banyak unta dan orang yang berjalan dengan membawa unta mereka, rupanya itu hanya gambar dalam kad kad hari raya atau potret sahaja, dalam perjalanan panjang itu saya hanya nampak ada beberapa ekor unta sahaja itupun hanya sekali. Di padang pasir lebih mudah untuk nampak keretapi laju dan jalanraya sahaja.
Oleh kerana visa kami adalah visa pelancong kami boleh ke tempat lain dan singgah di tapak perang pertama dalam Islam iaitu Badar sebelum terus ke Mekah.
Mekah
Sampai di Mekah kami yang sejak awal berihram terus melakukan tawaf selepas solat jamak asar dan zohor di hotel, saya dan isteri berbuka puasa di tempat Saei dan solat insyak serta tarawih di satu sudut di situ.
Benarlah ramai orang berkata di Mekah tidak setenang di Madinah, di Mekah sampah sarap mudah ditemui berbanding di Madinah di Mekah orangnya lebih bersikap kasar tidak sebagaimana orang Arab di Madinah. Ada orang menyimpulkan keadaan ini adalah berpunca daripada sejarah orang Mekah yang ingin membunuh nabi sedangkan orang Madinah menyelamatkan nabi saw itulah sebab Madinah lebih aman, teratur dan tertib.
Kami pergi juga ke Arafah, Mudzalifah serta Mina dan saya sempat naik dan berdoa di Jabal Rahmah. satu satunya tempat popular bagi orang yang ingin berdoa untuk jodoh tapi saya berdoa perkara lain.
Berada di Mekah kami ke Kota Taif yang dulunya tempat nabi alami kecederaan dan luka luka kerana di dilempar batu apabila nabi menyeru agama Islam disini, namun kasih sayang nabi kepada Taif menjadikan kota ini menjadi tumpun orang orang ternama untuk membuat kediaman kerana cuaca dinginnya seperti Cameron Highlands, di sini kami melihat kilang dan kebun bunga ros yang dijadikan pewangi dan produk wangian badan. Di Taif ada banyak kedai menjual madu lebah termasuk madu Yaman yang terkenal. Namun satu satunya tumbuhan neraka ada di Taif iaitu pokok zaqun.
Di Taif ada masjid Abdullah bin Abas iaitu perawi hadis yang juga sepupu nabi saw. Di masjid ini juga rupanya ada kubur ulama terkenal nusantara iaitu Syeikh Daud Al Fatani.
Di Miqat Manazer saya memakai ihram untuk mengerjakan umrah yang ke 5 dan pada sebelah petang saya melakukan tawaf dan Saei. Suatu kejutan yang baru bagi saya adalah seperti sedang berleluasa tidak ada tegahan oleh mana mana pihak kepada orang yang tak berpuasa walaupun dalam kawasan masjid haram. Anak anak muda terutamanya selamba minum air zam zam dalam kawasan saei kadangkala petugas masjid mempermudah dan hulur cawan berisi air untuk diminum. Perbuatan ini amat saya dan kawan kawan dari Malaysia berasa kesal, bila saya tanyakan kepada ustaz katanya yang minum itu orang musafir dan kita bersangka baik sahajalah.
Di Mekah pada malam 23 ramadhan saya sempat naik ke Jabal Nur yang mana gua Hira tempat wahyu pertama turun ada dikemuncaknya. kami naik waktu malam memandangkan cuaca panas dan berpuasa di siang hari. Sejujurnya jika saya buat penilaian dalam akal yang biasa saya tidak akan percaya bahawa rasulullah berulang alik dari rumahnya ke puncak bukit ini selama 7 tahun dan dalam waktu itu juga isteri baginda khadijah setiap hari menghantar makanan. Orang yang pernah ke bukit ini akan tahu bahawa ia bukan rendah dan laluan asal tanpa tangga amat sukar dan meletihkan untuk sampai ke puncak, kami mendaki hampir 2 jam untuk sampai ke punyak dan balik ke hotel terus sahur sementara subuh dah nak masuk. Secara peribadi saya mengalah dan tak mahu lagi panjat bukit Jabal Nur sangat memenat dan siksa tulang 4 kerat tua saya.
Malam 27 ramadhan hadir sebagaimana malam 23 yang ada tanda- tanda malam 1000 bulan antaranya hujan renyai yang sangat dingin dan waktu malam lebih nyaman.
Sambutan hari raya di Mekah bermula dengan semua warganya ke masjidil haram, masjid terdekat semua tutup dan penghuni menuju ke masjidil haram, berbagai rupa ceria dapat dilihat pada syawal. Saya juga di pelawa ke kampung Kelantan / Melayu di atas bukit Ajeyad. Tapi bila tahu kawasanya kena mendaki saya tak jadi untuk menikmati seekor lembu yang dihadiah oleh seorang jemaah kami untuk perkampungan tersebut.
Dari Mekah kami dibawa ke Jeddah untuk melawat makam nenek manusia iatu Siti Hawa, malangnya ia tidak dibenar dilawati lebih dekat dan ada tanda tidak boleh bergambar. Persekitarannya juga masih dipelihara bangunan bangunan lama antaranya binaan oleh kerajaan Uthmaniah. kami juga melawat masjid Qisas iatu masjid tempat hukum hudud dan qisas dilakukan setiap lepas solat jumaat, ngeri dan insaf menjalar bila memandang masjid putih itu.
Siapa kata di Mekah orangnya hanya ingin beribadat tidak ada orang berperangai buruk apatah lagi ingin mencuri namun sudah terbukti saya juga menjadi mangsa curi, beg sandang mengandungi benda benda penting semua dikebas nasib baik passport di pegang oleh ustaz muttawir. tapi yang bagusnya pihak hotel bayar semua gantirugi . Hidung saya juga tidak lagi mengeluarkan darah.
Waktu menangis melihat tanda masjid Quba di tanah haram Madinah saya meminta agar Allah jadikan saya tidak bersedih, kuat dan tidak menangis lagi, saya tak mahu dilihat lemah bila di depan kaabah, rupanya ia benar benar terjadi air mata tidak mahu keluar, dalam hati saya beritahu kepada tuhan bahawa dia berada di mana mana sahaja dan binaan itu hanya simbol, hati saya mesti lebih dekat dengan Allah berbanding simbol agamanya saya tetap mampu menitis air mata kerana Allah swt walaupun tidak berada depan Kaabah.. Saya sukar tersentuh dan payah menangis berbanding di Madinah. Saya tidak jatuh air mata lihat kaabah, hajarul aswad mahupun makam Ibrahim dan hijir Ismail. Lagipun saya tidak tenang bila jemaah meronta- ronta depan kaabah dan memonopoli kawasan Multaza dalam waktu yang lama menjadikan ruang untuk jemaah lain mahu menghampiri menjadi sukar. Dengan kaabah saya terpegun betapa besar dan tingginya kaabah, gagahnya nabi Ibrahim dan anaknya Ismail membina bangunan suci ini.
Di mekah terutamanya saya semakin memahami kenapa tanah anbia ini berbatu tanpa tumbuhan seperti negara kita. Mungkin ramai yang terima jika dikatakan Mekah dan Madinah adalah saham akhirat, sekiranya tanahnya subur, sesuai bercucuk tanam maka orang di sana akan sibuk dengan urusan dunia, akan bertani akan menternak dan akan mengerjakan tanah yang subur hingga menganggu waktu solat dan ibadat, tidak ramai yang akan menunggu tiba waktu solat, tidak ramai yang akan beriktikaf serta tawaf dan saei hanya dipenuhi pada waktu waktu tertentu sahaja. Lihat sahaja di Malaysia, buminya subur, cuacanya tidak ekstrim, ternakan mudah membiak, rumput terbentang luas serta ikan dilaut berdekatan kesannya manusia di sini menjadi sibuk bekerja dan masjid lenggang.
Kami bertolak pulang ke Malaysia selepas 40 hari di Arab Saudi dengan penerbangan MAS juga. Satu pujian untuk syarikat penerbangan negara ini yang begitu Islamik dan juga kakitangannya sangat membantu para jemaah di dalam penerbangan.
Kawan kepada isteri. cikgu Rahim memasukkan satu iklan pelayaran kapal persiaran di dalam grup Whatsapp, agak murah dalam Rm600 seorang. Isteri saya dah lama ingin naik kapal persiaran dan pernah terlepas trip ke Pulau Krismas dan Perth, selepas itu pendemik covid 19 melanda, seluruh dunia berkurung tidak dapat ke mana- mana. Iklan ini adalah pelayaran sulung kapal persiaran Star Pisces pasca PKP, disebabkan sempadan antarabangsa masih belum dibuka sepenuhnya, pelayaran adalah untuk dalam negeri yang mana ada tiga pakej paling murah adalah pelayaran 1D1N ke tengah laut, pakej 2D2N ke tengah laut dan pakej 3D2N Penang - langkawi- Penang. Saya terus cari di Internet seperti yang diberitahu.
Kami pilih pakej 3D2N dengan kabin pertengahan dan bajetnya Rm1005.00 untuk 2 orang, bolehlah... cikgu Rahim juga memilih pakej yang sama tapi dengan kabin 4 orang sebilik iaitu termasuk dua orang anaknya kabin ini lebih ekonomi lagi. Kemudian cikgu Rahim memaklumkan dia diminta untuk tambah bayaran untuk kabin yang lain kerana kabin asal telah habis ditempah. Cikgu Rahim ambil 2 bilik dengan tambahan bayaran separuh daripada harga asal.
Beberapa hari kemudia saya juga mengalami situasi yang sama, kabin kami dipindah ke pakej lebih baik dengan satu katil besar dan ada ruang kopi, lebih besar sedikit daripada bilik cikgu Rahim serta anaknya dan bayaran bilik kami semuanya menjadi RM1600, saya kira masih berpatutan untuk pelayaran yang mewah.
Oleh kerana kami dari negeri Kelantan yang agak jauh daripada Pulau Pinang, kami kena bertolak awal dan terbang ke Bayan Lepas sehari sebelum pelayaran, kami menetap di hotel yang sangat selesa dan sebenarnya sesuai untuk keluarga, hotel Mc Allister mempunyai 2 bilik tidur dan satu bilik tamu yang lengkap, kali ni saya buat tempahan terlebih bajet.
Hari pertama kami jalan jalan berdekatan hotel sahaja dan makan di restoran Pelita Nasi Kandar.
Keesokkannya kami mula ke pelabuhan Sweethenham untuk naik ke kapal, kami difahamkan 1000 orang penumpang sahaja dibenarkan iaitu separuh daripada kapasiti sebenar akan turut bersama, terpaksa beratur panjang untuk kemaskini My Sejahtera, tunggu giliran buat saringan cov19, berbaris untuk mendapat surat kebenaran doktor, beratur lagi scan My Sejahtera sebelum ke Jeti, masih beratur di Jeti untuk mengeluarkan kad Khas untuk digunakan di atas kapal dan kad pengenalan diserah kepada pihak kapal. Naik ke kapal kena scan bagasi seperti di Airport, bimbit bagasi sendiri kerana khidmat pelayan bawa bagasi tidak disediakan atas faktor kesihatan co19.
Bilik saya berada di tingkat 10, kena naik lif ke tingkat 8 mendengar taklimat ketua stesen selepas itu barulah boleh ke kabin dengan membawa bagasi beroda yang tak lagi dapat bergerak lancar sebab karpet tebal dalam kapal menyebabkan roda troli sukar bergerak... akhirnya sampai ke kabin Admiral.. huhhh penatt.
Jam 5 petang kami makan malam di salah satu restoran daripada 3 restoran yang ada di dalam kapal. Saya memilih restoran kelasi di tingkat 8. Duduk dalam restoran hingga kapal mula bergerak, setelah selesai kami naik ke dek untuk lihat laut Pulau Pinang yang akan ditinggalkan dan menuju ke Langkawi. Berada di dek waktu malam terus mengingatkan saya pada pelayaran sulung kapal Titanic dalam filem Titanic lakonan Leonardo di Caprio dan Kate Winslet serta lagu nyanyian Celine Dion "MyHeart Will Go On" yang menjadi lagu tema filem epik yang diarahkan oleh James Cameroon itu.
Bila berlabuh di Langkawi penumpang diberi kebenaran untuk turun dari kapal dan mesti kembali semula ke kapal sebelum jam 8 malam, Bersama keluarga cikgu Rahim kami menempah satu van dengan harga RM340 untuk selama 5 jam. Di Langkawi ia adalah syurga orang perempuan untuk membeli- belah dan tempat dituju adalah HIG, Idaman Suri, kami juga singgah di Kuah Jeti Point serta ke tepi pantai dekat airport iaitu tempat makan laksa ikan sekoq. Pusing pusing pulau sekejap dan terus balik semula ke Kapal jam 5 petang.
Berehat pastu makan malam, saya ada berbual juga dengan pekerja atau pelayan kapal mereka ini kebanyakan daripada Indonesia dan Filipina, saya bertutur Melayu bila menegur pekerja Indonesia, sesekali cuba menegur dalam bahasa Tagalog kalau bersua dengan pekerja Filipina.
Kemudian kami ke dek 9 untuk lihat persembahan pentas, saya lihat di dek ini ada juga tempat permainan dan hiburan mini Genting Highland, biasalah kapal ini pun milik kumpulan Genting. Kerana kapal ini diuruskan di Hong Kong serta penumpangnya pula ramai berbangsa cina, persembahan pentas dikuasai oleh penghibur berbahasa Mandarin, selang seli dengan bahasa Inggris. pelik juga bahasa Melayu tidak menjadi keutamaan di Kapal Persiaran milik rakyat Malaysia ini. Mudah untuk memahami kerana yang menguasai adalah bangsa cina serta dibantu oleh lain lain bangsa barat.
Sampai di Pulau Pinang proses turun dari kapal Star Pisces setinggi 12 tingkat adalah lancar, tiada lagi pemeriksaan dan scan My Sejahtera sebagaimana untuk naik ke kapal. Kad Pengenalan dikembalikan kad kapal di periksa dan kad itu mencatat semua pergerakan di dalam kapal serta penggunaannya. Ia diguna menggantikan wang, sekiranya membuat pembelian selain pakej asal. Saya dan isteri tiada caj tambahan tapi cikgu Rahim kena bayar RM500 lebih bila ada penggunaan dalam kadnya.. katanya makan di retoran khas dan anak- anak main permainan di Star of Galaxy tingkat 9.
Sebelum balik ke Kelantan kami berjalan jalan dulu di Pulau Mutiara, dapatlah naik Bukit Bendera yang memenatkan, makan malam di Padang Kota yang sesak, beli jeruk di Pasar Chowrasta serta makan sup yang kaw di Restoran Hameed. Sebagaimana Star Pisces yang hilang identiti negara, Penang juga seperti Singapura, semakin dilenyapkan unsur -unsur Melayu lihat sahaja nama jalan.. seluruh dunia dan semua bangsa ada jalan di sini seperti jalan Burma, jalan Albania, lebuh Mc Callum, Port Sweetenham, barangkali yang ada nama Melayu adalah jalan P. Ramlee dan Persiaran Karpal Singh mewakili Malaysia..