Pada mulanya nak ke Maldives, tapi bila tengok tiket Batik Air ke Bali lebih ekonomi.
Di bali kami menginap di Nipuri Spa & Resort, Seminyak selama 5 malam. Sengaja cari yang ada kolam.. saya suka berendam dan menyelam. huhuu.
Keesokannya saya sewa motor skuter untuk jalan- jalan.
Bawa motor kat sini seperti kota- kota yang sibuk di Indonesia. rasanya macam bergadai nyawa pulak.. macet dan masyaAllah terlalu banyak kenderaan dan motosikal terutama waktu puncak iaitu sebelum masuk pejabat dan waktu pulang kerja. Huhh berpeluh nak sampai..
Untuk beli belah saya cadangkan lupakan tempat lain. Carilah barang barang dan cenderahati di tanah Lot, lebih murah dan banyak pilihan serta kawasan jualan yang luas.
Trip ini adalah trip berkumpulan iaitu grup Bekas Pengetua Sekolah Kelantan. Kami memberi syarat kepada pihak Tur Sina Travel agar mengambil penerbangan Kota Bharu - Kuching kerana memandangkan ahli rombongan adalah kebanyakan berusia emas, jadi kami taknak transit dan memenatkan. Itu adalah syarat dan akhirnya syarat dipersetujui. Rombongan kami seramai 23 orang. Setelah tiba di Kuching check in hotel Shagri La untuk semalaman esoknya kami akan ke Imigresen Biawak, Malaysia ke Aruk Indonesia dengan bas.
1. Kuching
2. Masjid Babul Jannah, Sambas
Hari sampai di Sambas, hujan turun tak dapat nak melawat Istana Sultan Sambas sekadar lalu di perkarangannya sahaja dan kami berhenti solat di masjid Sambas yang cantik dan megah.
3. Kerajinan Tenun, Sambas
4. Restoran Lanting Bedar, Sambas.
Lanting bermakna sampan, semua lauk pauk dalam lanting
5. Mempawan
Berhenti minum kopi di Mempawam... nampak tak gambar di signboard tepi jalan, itulah Raja Mempawam ke 13.. kerana bersama membentuk Indonesia Syarikat, kuasa eksekutifnya sebagai raja tiada lagi.. demi kelangsungan kena masuk pilihanraya untuk menjadi Bupati.
6. Pasar Singkawang
7. Odon odong Singkawang
Juga diberi jolokan kota toleransi kerana masyarakat berbilang kaum dan agama hidup bertoleransi dan harmoni.
8. Gerbang Singkawang- Pontianak
9. Titik 0 Khatulistiwa
Alhamdulillah sampai di titik nol garisan Khatulistiwa... di sini jam 5:30 sudah gelap.. semua dapat sijil daripada Wali Kota Pontianak.
10. Menyusuri sungai Kapuas
Makan malam dan menyusuri sungai Kapuas dengan feri
11. Ayam bambu
Dalam perjalanan balik ke Sarawak kami melalui imigresen Entikong - Tebedu. Dalam perjalanan kami menikmati ayam bambu.
Sudah lama berkira kira hendak ke Manila, Alhamdulillah akhirnya sampai ke Manila, saya menginap di sebuah hotel di daerah kewangan Makati. Kami berdua menggunakan grab untuk ke tempat tempat lawatan, antaranya :
1. Rizal Park
Taman ini sangatlah luas, pelbagai arca dan kisah perjuangan Dr Jose Rizal diabadikan di taman ini.
2. Intramuros
Dikenali sebagai "Bandar Bertembok", Intramuros dibina oleh orang Sepanyol pada abad ke-16.Di sini, anda boleh merasai suasana Manila pada masa lalu melalui jalan-jalan berbatu, dikelilingi oleh bangunan purba yang megah. Di kawasan ini kita akan melihat banyak pengajian tinggi dengan anak anak muda ada di mana mana, kawasan ini juga terdapat-
Kubu Santiago: Sebuah kubu bersejarah yang merupakan saksi bisu kepada perjuangan rakyat Filipina.
Gereja St. Augustine: Gereja tertua di Filipina disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Casa Manila: Muzium ini menempatkan paparan gaya hidup keluarga Filipina yang kaya pada abad ke-19.
3. Muzium Presiden Marcos
Saya kira ini adalah muzium khas presiden Marcos Jr. Menyatakan perihal perjalanan politik dan pemerintahannya sebelum dan semasa berada di Istana Malacanyang
4. Golden Mosque
Jika orang Islam berkunjung ke sini akan dapat melihat dan merasai betapa terpinggirnya kemudahan dan pemeliharaan tempat ibadat orang Islam di negara bukan Islam. Kemiskinan masyarakat dan pengabaian oleh pihak berkuasa dapat dirasai. Perlu dinyatakan bahawa masjid ini adalah sumbangan bekas presiden Iraq Saddam Husain.
5. Dolomite Beach
Tidak ada gambar pantai tapi menghala ke pantai itu berhampiran kedutaan USA saya jadi hero memberi bantuan kepada penunggang motosikal yang kemalangan
Tidak banyak tempat yang kami melawat, kami nak rilek rilek dan lihat keadaan sekitar tempat penginapan saja. Dan jalan kaki ke pasar pasar sambil menikmati kenderaan lejen Jeepney
Orang kata di Pulau Jawa ni tempat yang banyak benda dan lokasi untuk dilawati adalah daerah istimewa Yokyakarta atau DIY.
Yokyakarta mempunyai pemerintah sebagaimana negeri beraja di Malaysia. DIY mempunyai Sultan dan pejabat pentadbirannya sendiri dan Sultan adalah gabenor bagi wilayah tersebut.
Antara tempat yang telah saya lawati di DIY adalah :-
1. Borobudur. :- Bertiket.
Ini situs yang terpaling wajib. Kawasannya sangat luas, kena ambil masa yang lama untuk melihat dengan puas hati. Walaupun tiket masuk sudah dibayar, namun untuk naik ke puncak candi sekali lagi pengunjung dikenakan tiket. Kalau yang badan tak kuat dan malas mendaki cukup sekadar bergambar kat bawah sahaja dengan berlatarkan candi.
2. Malioboro.
Ini tempat membeli belah dan menjadi tumpuan nak lepak lepak tengok gelagat pengunjung dan persembahan jalanan kat sinilah.
3. Muzium kereta Kraton : Bertiket
Kalau tak mahu melawat ke Kraton utama anda akan terpegun betapa kaya dan megahnya kesultanan ini. Mereka sudah lama mempunyai kereta kuda yang mewah seperti kerajaan eropah. Ada satu kereta yang dikaikan dengan ratu selatan awas jangan ambil gambar kereta langka itu.
4. Taman Sari : Bertiket
Taman liburan dan santai santai para Sultan di zaman silam. Permaisuri dan gundik gundik akan mandi disini dengan diperhatikan oleh sultan. Perlu diingatkan kebiasaanya anda akan diiringi oleh seorang penunjuk arah yang juga akan meminta anda membeli barangan yang diusahakan oleh pekerja Kraton, kalau tak berminat pandai pandailah tolak dengan bersopan.
5. Lereng Gunung Merapi : Tiket Jip
Video ini sudah digabungkan bersama jip di gumuk pasir. Anda akan lihat juga kesan malapetaka yang ditinggalkan oleh larva gunung Merapi.
6. Hutan Pinus
Hutan pokok pain, yang cintakan alam hijau bolehlah memilih hutan ini untuk berkarya.
7. Tebing Breksi : Bertiket
Bekas lombong yang diusahakan dan diukir batu batunya untuk dijadikan tempat pelancongan. Satu yang menarik di sini adalah bergambar dengan burung hantu.
8. HeHa. Bertiket
Sesuai untuk anak anak yang nak naik belon udara boleh datang ke sini. Yang lain tiu biasa biasa sahaja.
9. Gumuk Pasir : Tiket Jip
Tujuan ke sini adalah untuk menikmati pantai dan gumuk pasir dengan menggunakan jip. Berbaloi kerana jarak dan masa yang panjang berada disini. Jipnya boleh cuba pandu sendiri bergantung kepada pemilik Jip.
10. Mbah Gito
Ini adalah tempat makan yang menyediakan deretan lauk pauk tradisional Djokja.. Cubalah makan tengahhari di sini.
11. Little Tokyo : Bertiket dan ada kupon diskaun.
Disini adalah sebuah hotel ala Jepun dan sebuah kedai cenderahati negara Jepun. Dah tak tau nak ke mana mana boleh singgah sekejap di sini.
Dulu saya ke sini kerana memenuhi hasrat anak saya yang hidupnya sepi selepas kegagalan rumahtangga saya. Kini saya datang lagi selepas episod yang pahit berlalu..
Kali ini dapat merasai salju yang turun, musim winter baru bermula... Saya menginap di kawasan Dondemon. Alhamdulillah dapat merasa salju turun.
Lokasi wajib yang banyak meninggalkan kesan dalam hidup kerana drama sirinya hadir ketika saya meniti remaja
Sebelum terbang ke Korea saya sempat nyanyikan lagu yang menjadi kesukaan.. From Begining Till Now.. yupp layan.
Antara foto foto sekitar Seoul
Jom ke Jeju... kena naik pesawat 1 jam ke Pulau tercantik dan pesona di rantau ini..
Aceh, suatu nama yang telah wujud lama sezaman kerajaan Melaka, pernah menjadi duri dalam daging Republik Indonesia. Namun malapetaka yang berlaku tahun 2004 menjadi hikmah dan menukar daerah ini menjadi satu tempat yang aman serta mempunyai masa depan dengan status autonomi yang dimilikinya. Aceh keluar dari kesuraman kerana perang kemerdekaan yang merugikan semua pihak terutama rakyat Aceh.
Dulunya saya begitu teruja untuk melihat negara Aceh Darussalam yang merdeka namun setelah menjejak kaki dan mendengar penerangan serta cerita sebenar Aceh sebelum banjir besar. Saya bersyukur kerana tuhan menunjukkan jalan yang terbaik untuk Aceh dan rakyatnya. Kekejaman perang dengan RI dan keperitan hidup di zaman aktiviti GAM tidak memberi kebaikan kepada semua.
Kunjungan saya ke Aceh bersama rombongan selama 5 hari bermula dengan minum pagi di Warkop (warung kopi) yang sememannya terkenal dengan minuman kopi Aceh.
Boleh dikatakan kami hanya melawat kawasan- kawasan kesan Tsunami, seperti Muzium Tsunami, Kapal Mancing Aceh Atas Rumah Lampulo, PLTD Apung, Rumoh Aceh, Pantai di Lampuuk Lhoknga, Kuburan masal Siron, Masjid Rahmatullah Kampong Lampuuk, kubah masjid di sawah padi Gampung Gurah dan banyak lagi tempat yang sebenarnya sangat menarik dengan cerita. Kita akan ditemukan keajaiban, cerita pelik serta kesan kesan yang kadangkala sukar diterima akal biasa, namun itulah yang terjadi di Aceh.
Bagi saya yang asal daripada Kelantan, sudah terbiasa dengan cara hidup keislaman, tapi apabila berada di Aceh dan merasai suasana Masjid Baitulrahman saya akui peraturan dan cara hidup Islam di Aceh lebih baik, teratur dan tidak sekadar slogan yang dimainkan di negeri saya. Aceh benar benar mengamalkan pemerintahan Islam biarpun hanya sebagai wilayah di dalam sebuah Republik. Di Aceh kita tidak akan jumpa orang perempuan yang tidak memakai tudung kepala, tidak ada tempah hiburan melalaikan atau non muslim, di Aceh undang undang syariah diamalkan akibatnya tidak ada ketakutan dan kecurian yang terbuka dan berleluasa, kaum wanita tidak bimbang berjalan malam atau siang. Untungnya bila solat di masjid Baitulrahman kita bagaiman berada di masjid Nabawi Madinah kerana binaan serta payung besar ala madinah dan memang yang membangunkan kemudahan itu adalah Arab Saudi. Suasana ini jauh meninggalkan negeri serambi Mekah di Malaysia. Aceh mendahului biarpun tanpa slogan, orang Kelantan tentu akan cemburukan Aceh jika mereka jejakkan kaki di sini.
Satu produk pelancongan baru di Aceh adalah merentasi lautan hindi ke wilayah Indonesia paling barat iaitu Pulau Weh / Sabang. Sabang adalah sebuah pulau yang bebas daripada kesan Tsunami, untuk ke Sabang adalah menggunakan feri melalu pelabuhan Ulee Lheue tentu ramai yang tidak lupa dengan lagu rakyat berbunyi
"Ulee Lheue di Kota Raja, boleh tak boleh jalan sahaja,, Ulee Lheue di Kota Raja suka tak suka ikut sahaja"
kalau tak silap dinyanyikan oleh Allahyarham tan Sri P. Ramlee. Kota Raja adalah gelaran bagi bandar Aceh di zaman kesultanan Aceh. Di Sabang feri akan berlabuh di pelabuhan Balohan keluasan pulau Weh / Sabang lebih kurang dengan Langkawi, di sini tempat dilawati adalah Kilometer Nol, kubu Jepun Anoi Itam, tumpuan pelancong ke Sabang adalah snorkeling dan aktiviti pantai.
Sudah banyak blog yang berkisahkan pelancongan di selatan Thailand. Beberapa hari lalu buat kesekian kalinya saya berkunjung lagi ke wilayah orang Melayu itu. tapi dalam tulisan ini saya ingin berkongsi beberapa perkara tentang Patani yang dekat dengan bangsa dan agama saya.
Umumnya asalnya adalah termasuk dalam negara Patani Darussalam sebelum menjadi semakin lemah, dipecahkan kemudian ia diserahkan kepada Siam dalam perjanjian sulit di dalam sebuah wat buddha di Patani pada 1909. Pada waktu itu Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke 4 sangat murka dengan apa yang dilakukan oleh Inggris.
Selepas sahaja melepasi pekan Sungai Golok kita akan bersedia untuk memasuki ke zaman saya kira dalam usia saya kini 50an saya kembali ke zaman kanak- kanak yang mana pada zaman itu persis begitulah suasana perkampungan, budaya dan pertuturan di Kelantan. Kita pejamkan mata lupakan waktu ini lihatlah kita masyarakat Melayu 70an dan 80an dulu. Patani berada dibelakang lebih 40 tahun. Patani secara umumnya adalah lebih dekat dengan Kelantan manakala di sebelah barat ia adalah suasana dan budaya Kedah.Kerajaan Patani di masa lalu adalah lebih moden daripada semua negeri di Tanah Melayu.
Semenanjung Tanah Melayu harus rasa bersyukur kerana adanya benteng yang menyekat Siam daripada mara ke seluruh semenanjung. Patani berjaya dalam waktu yang lama dengan memainkan peranan sebagai benteng hinggalah ia sendiri akhirnya terpaksa dikorbankan kedaulatan demi menyelamatkan negeri negeri tanah Melayu yang lain khasnya Kedah, Perlis dan Kelantan- Trengganu.
Patani juga antara negeri negeri Melayu yang menghantar bunga emas dan perak kepada Siam setiap 3 tahun seperti mana yang dilakukan oleh Kelantan, Terengganu dan Kedah ini diceritakan sekali lagi oleh keluarga Istana Sultan Patani di Jambu. Istana Jambu adalah Istana kerabat Tengku Anis iaitu Raja Perempuan Kelantan yang kini adalah bonda Sultan Kelantan. Sultan Muhammad 5. Istana Jambu dibina pada 1896 dengan elemen Itali, Melayu dan Jawa.. bayangkan waktu itu megah dan kuatnya ekonomi pembesar Patani.
Saya katakan kita kembali ke suasana Tanah Melayu khususnya Kelantan dengan dialek lama yang sudah jarang dan ada yang telah pupus di dalam masyarakat Kelantan namun ia masih dituturkan di Selatan Thai, perkataan Melayu yang dulu orang orang tua kita turut gunakan dalam percakapan harian.
Penggunaan kerbau dalam membajak sawah serta kerja- kerja gotong royong seperti menyemai, memotong dan memukul padi di sawah masih diamalkan. Dan jika kita lihat keadaan kebun kelapa, buah buahan ia pantas mengingatkan kita akan suasana itu yang hanya mungkin dapat dilihat di dalam foto foto lama famili dan rakan rakan sekampung. Begitu juga penggunaan perigi dan bilik air diluar rumah yang kini sudah sangat sukar di lihat di Malaysia.
Perhatikan raut wajah saudara sebangsa dan seagama kita di Patani, kita akan lihat betapa kentalnya mereka hidup dalam sebuah kerajaan yang tidak banyak menyokong kehidupan, lihat saja masjid Wadi Hussin yang berusia 400 tahun dan juga keunikan pembinaan bangunan batu bata pertama di asia tenggara iaitu masjid Sultan Muzaffar Shah di Gresik yang dibina pada 1514 jika ditinjau apa saja pembangunan, pembaik pulih dan pemuliharaan segalanya dilakukan sendiri oleh komuniti. Berbeza dengan tempat ibadat orang Buddha walaupun hanya ada beberapa keluarga tetapi wat yang didirikan oleh kerajaan adalah sangat megah.
Apabila melihat masjid Gresik saya akan terbayang pembunuhan orang Islam didalamnya oleh tentera Thai dan juga tragedi bergelimpangan anak muda Melayu di Sungai golok diikat tangan tanpa baju dicampak ke dalam trak dan selepas itu nasib mereka tidak tahu lagi. Masjid Wadi Hussin yang sezaman dengan masjid kampung laut Kelantan yang dibina tanpa paku pula seolah menanti masa untuk rosak satu demi satu binaannya tanpa pemuliharaan yang cermat dan teratur.
Keyakinan saya bahawa Patani lebih dahulu mencapai kemajuan berbanding Kelantan adalah dibuktikan dengan sebuah sekolah agama yang dapat berdikari malahan cukup lengkap yang jika dibanding dengan Malaysia ia seperti sebuah sekolah agama yang dibantu oleh kerajaan sepenuhnya tetapi di Patani ia adalah sekolah swasta yang dikelolakan oleh individu biasa, tidak kaya bukan korporat tetapi mampu menggerakan semua atas semangat menjaga agama dan memberi pendidikan kepada anak Melayu. Kemajuan ini mengingatkan kita kepada ulama besar nusantara yang lahir di Patani dan meninggal di Taif, Arab Saudi. Iaitu Syeikh Daud Al Fatoni yang juga seorang pejuang.
Kesimpulannya, melawat wilayah selatan Thailand adalah pengembaraan menyusur semula sejarah, kehidupan dan semangat kental bangsa Melayu yang masih boleh dilihat di Patani.