clixsense

Rabu, 24 Februari 2021

Pelancongan Sungai Pengkalan Datu

Dalam suasana pandemik Covid 19 masih belum berakhir, hari ini Rabu 24 Febuari 2021 negara kita mula membuat suntikan vaksin untuk mengawal wabak berkenaan. Perjalanan rentas negara dan negeri serta daerah belum dibuka sepenuhnya. Kami yang kaki kembara ini membuat program lawatan tempatan iaitu menyusur muara Sungai Pengkalan Datu.

Bot nelayan yang dikhaskan membawa pelancong adalah lebih berwarna dan berukir motif seni rakyat

Apa yang dimaklum bahawa nelayan di Sabak sudah lama membuat program ini tetapi kebiasaannya mereka membuat aktiviti sampingan selain kerja rutin sebagai nelayan, pada setiap hari sabtu bot mereka akan membawa pelancong menyusur sungai aktivitinya sebagaimana berikut ,

- Melawat tempat buat tuak nipah

- Ziarah masjid Ar Rahman

- Pasar nelayan Pulau Gajah

- Melihat rumah api terendah di Asia Tenggara

Penyusuran bermula dari jeti dekat pendaratan ikan Kg Pulau Gajah, Sabak. Hari ini bot berada berjauhan daripada jeti dikhaskan kerana air surut, bot tidak dapat hampiri jeti khas. 

Tempat mula mula kami kunjungi adalah tempat menghasilkan nira dan cuka nipah, 

Pemandangan di jeti tempat pohon pohon nipah diambil hasil nira.

Kami melalui jambatan kayu di celahan pohon nipah yang nyaman dan dingin, dapat melihat bunga dan bagaimana nira diambil dari pokok sebelum sampai ke bangunan kecil yang menempatkan nira dan cuka yang dijual. 


Bunga nipah, ada yang bagitau kerabu bunga nipah terlalu sedap

Tuak / nira nipah

Hirisan kayu cengal yang diguna sebagai pengawet nira..

Nira / Tuak dan cuka nipah RM5 sebotol

Kemudia kami akan mengunjungi masjid Ar Rahman yang telah menjadi ikon kerana keunikan senibinanya, sungai yang cetek disebabkan air surut musim kemarau ini, bot kami tersangkut dibeting terpaksa ditarik oleh sebuah bot memancing yang lalu berdekatan. Lawatan ke masjid Ar Rahman terpaksa dilakukan melalui jalan darat.

Bot tersangkut.. sedang dibantu oleh bot pemancing

Kami juga tidak dapat menghampiri rumah api yang dikatakan terendah itu disebabkan masalah yang sama, hanya dapat melihat dari jauh.


Selepas lebih kurang 3 jam dengan sewa bot RM250 yang boleh di muat seramai 25 orang.. Kumpulan kami seramai 17 orang jadi kosnya adalah RM15 seorang. Ada peserta terus pulang kerana sudah biasa dan tahu akan keberadaan masjid Ar Rahman.

Sesiapa yang belum sampai ke masjid ini silalah datang, anda akan terpegun dengan keunikan dan mutu bahan yang digunakan, daripada kepala paip tempahan khas, beduk kulit lembu yang besar dan ruang solat yang seperti masjid dahulukala serta tasik di sekeliling masjid yang boleh dihampiri oleh bot yang datang dari sungai dan laut, ada tarikan baru di sini, iaitu penternakan ikan kelah dan telapia oleh pihak masjid sebagai tarikan pengunjung.


Walaupun tidaklah semegah sebagaimana pelancongan pinggiran sungai Mekong di Vietnam tetapi ada elemen dan kelebihan tersendiri, usaha ini menampakkan bahawa produk ini boleh diperkembangkan dan direncanakan lagi agar ianya menjadi tarikan dan sumber ekonomi masyarakat nelayan. Produk sudah ada hanya sokongan dan galakan serta penglibatan pihak kerajaan dan swasta secara berterusan akan menjamin kejayaan eko pelancongan di negeri kelantan ini.


Rabu, 30 September 2020

Genting, Tioman - Kampung kucing

Trip ke Tioman adalah sebahagian daripada pengisian slot perjalanan ke luar negara yang tertangguh dan dibatalkan akibat wabak Covid19 yang melanda dunia. Dari Kota Bharu kami bergerak menggunakan van persiaran untuk ke jeti Mersing. Di Mersing kami seramai 10 orang sampai waktu maghrib dan menginap di sebuah hotel berdekatan dengan jeti, waktu malam kami keluar makan di tepi laut dan selepas itu terus pulang ke bilik hotel.

Jam 9 pagi kami belayar dengan feri ke Pulau Tioman dan kumpulan kami memilih untuk bercuti di kampung Genting, lebih kurang 2 jam kami sampai ke destinasi;

Hari pertama saya bersiar siar berhampiran tempat penginapan iaitu Sun Beach and Spa Resort yang betul betul di tepi laut yang berpasir bersih dan ada juga tempat yang berbatu. Ada rakan rakan yang mengambil  kesempatan mandi dilaut.. tapi saya dan isteri mandi di kolam renang tepi chalet.

Hari kedua kami di bawa ke 4 tempat snorkeling. wowo bermacam ragam ikan yang jinak mengelilingi sesiapa sahaja yang turun ke laut. Langit tidak selalu cerah itulah yang terjadi kerana habis sahaja dua lokasi snorkeling hujan dan angin membadai jadi kami batalkan 2 lagi lokasi dan terus ke pusat bandar Tioman iaitu Teket. 

Di Teket kami hanya di bawa ke kedai bebas cukai.. tapi kami semua mengeluh kerana tiada yang istimewa di kedai bebas cukai ini dan harganya pun lebih mahal daripada kedai jualan yang ada di kg Genting tempat kami menginap.

Keesokannya kami sudah mahu pulang.. petang itu bersiar siar lagi. apa yang nampak adalah di kampung ini sangat ramai kucing kucing, mereka cantik dan mesra dan lebih membanggakan kita tidak akan melihat walau seekor anjing di Kampung Genting dan mungkin di Tioman ini tiada anjing.


Di Kampung ini juga ada sebuah makam pembesar Pahang yang terkorban bersama anaknya di lautan dan di makamkan di kampung ini....


Sebelah malamnya kami disediakan dengan BBQ yang sememanya terbaik bukan sahaja makanan segar malah mencukupi.. kami juga meminta daging landak yang dikatakan ada disediakan di sini cuma kena bagitau awal awal masa mula sampai agar dapat dicari dan disediakan serta dimasak macam rendang, harganya tak sampai rm100 seekor,, bolehlah untuk cuba rasa.


Sekiranya ke Tioman silalah ke kampung Genting, nak solat jumaat masjid pun dekat

Isnin, 13 Julai 2020

Fraser Hill

Simpang ke Bukit Fraser sudah lama saya perhati setiap kali ulang alik ke kuala Lumpur, papan tanda menunjuk arah sering kali dijeling. Bertolak dari KL ke KB sudah agak lewat iaitu jam 4 petang, sewaktu melintas Genting Sempah cucu cucu menggesa belok ke Genting Highland dengan selamba saya cakap kita ke Fraser Hill, mereka bersorak gembira.

Foto diambil dari beranda bilik penginapan di Shahzan Inn

Sewaktu menghampiri lencongan ke Bukit Fraser  cucu cucu dan isteri sedang tidur, dan saya boleh saja teruskan perjalanan ke Kelantan, tetapi saya fikir inilah peluang ke Bukit Fraser lagipun saya tidak pernah ke sana nak juga saya jejak kaki ke sana.

Bila sampai di Tranum kenderaan kami sudah masuk ke jalan menuju Fraser Hill, saya  sangkakan tempatnya sudah tidak jauh lagi dan merasakan 28km dari Tranum tidaklah jauh sangat, rupanya jalan bengkang bengkok dan hampir tiada kenderaan lain membuatkan jalan ini terasa jauh,, melalui jalan ini saya semakin memahami kenapa Bukit Fraser tidak menjadi tempat tumpuan sebagaimana Genting dan Cameron. Selepas terhuyong hayang di dalam kereta, cucu perempuan sudah mabuk dan muntah muntah, isteri sudah mula komplen kerana saya tetap mahu membelok ke Fraser Hill sedangkan hari dah hampir senja, saya mula teringatkan kata- kata isteri bahawa fraser Hill itu tempat berhantu. Saya hanya bungkam tidak berkata apa sehinggalah sampai ke Gap iaitu kaki Bukit Fraser, sekali lagi kenderaan kami melalui jalan yang lebih sempit dan hanya jalan sehala menuju 8 km lagi, isteri masih merungut. Saya tahu semua sudah semakin gerun kerana hari sudah hampir malam.Saya juga mula membandingkan jalan ini dengan jalan ke perkampungan bekas anggota PKM di Kampung Perdamaian Bunchalabon Thailand rasanya jalan ini lebih menggerunkan, terbayang juga bagaimana Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya, Sir Henry Gurney terbunuh diserang komunis dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Gambar jalan dari Gap ke Puncak Fraser ini diambil sewaktu kami menghala turun, bayangkan jalan gelap waktu hampir maghrib sewaktu kami sampai. 

Jalan sehala 

Akhirnya sebelum jam 7.00 malam kami sampai ke pusat Bukit Fraser, niat asal hanya datang bergambar dan terus pulang tidak dapat diteruskan. kena bermalam di sini.










Gembiranya Haziq & Mia.. dah sampai pun.. . Parking depan Shahzan Inn


Mia dah sihat,, tak pening lagi

Kami menginap di Shahzan Inn kerana rumah penginapan Persekutuan yang lebih murah belum dibuka sebab kesan Covid 19 masih ada, pelancong belum ramai, Shhahzan Inn pun belum buka sepenuhnya hanya sebahagian sahaja dibuka dengan harga paling murah dan promosi iaitu RM150 semalam.Turun dari hotel nak cari apa apa makanan tapi semua dah tutup terpaksalah pesan makanan dari bilik hotel untuk 2 cucu yang dah meminta makan. 2 pinggan mee goreng berharga Rm40 termasuk caj hantar ke bilik Rm2 sepinggan. woww... lain kali kena jangan diulang hihii.

zz



Lobi hotel Shahzan Inn kita boleh melihat gambar gambar lama tentang pembukaan Fraser Hill dan juga gambar burung burung yang ada di Bukit Fraser

Esoknya pagi pagi kami turun hotel berpusing pusing di atas Bukit Fraser, rupanya ada pelbagai tempat yang menarik untuk dikunjungi dan kami sempat ke Jeriau Waterfall, Allen Water, The Paddock serta menikmati pemandangan indah di pusat Fraser Hill yang ada pelbagai tempat aktiviti. Bukit Fraser ini sebenarnya lebih tenang dan mendamaikan tidak sesibuk tanah tinggi yang lain. Saya suka tempat ini.

 Mercu tanda Bukit Fraser

Selasa, 22 Oktober 2019

Palembang

Palembang menjadi lokasi yang dah lama saya ingin kunjungi, bila sukan SEA diadakan di Palembang saya mula menyedari bahawa Palembang bukan lagi tempat yang tertinggal dari arus perdana negara. Palembang telah melonjak ke tahap kota yang boleh dibanggakan seiring dengan kota kota utama lain di Indonesia. Acara sukan antarabangsa juga sentiasa dianjurkan dengan adanya Kompleks Sukan Jakabaring dan juga kemudahan LRT yang menghubung ke kompleks.

Ketertarikan saya kepada Palembang mungkin berlainan daripada rakan- rakan lain. Saya tidak tertarik dengan kompleks sukan serba lengkapnya, saya tidak teruja dengan kemudahan pengangkutanya yang cekap, saya tidak nampak kelebihan Jambatan Ampera, Ikan belida, Pempek yang enak mahupun Pindang yang dikatakan mengecur air liur itu. 

Bukit Siguntang mahameru... inilah yang sering melambai saya agar satu masa harus berkunjung ke sini. Pernah saya suarakan hasrat kepada seorang rakan, cepat dikatakannya bahawa saya sebenarnya sedang mencari asal- usul. Tentunya ramai yang ingat terutama yang belajar tentang sejarah Melayu, kita tidak akan lupa dengan mitos Sang Sapurba, Nila Pahlawan dan krisna Pandita bersama Wan Empok dan Wan Malini di Bukit Seguntang disusuli perjalanan kisah Raja dan bangsa Melayu selepas Demang Lebar Daun turun takhta setelah berlakunya perjanjian yang dipanggil 'wa'dat' melalui kisah inilah Bukit Siguntang menjadi ikon penting raja dan kerajaan Melayu.

Hari pertama sampai, saya tidak keluar ke mana- mana hanya berehat di bilik penginapan selepas makan di restoran berhampiran. Saya sebetulnya sudah tidak sabar untuk ke tempat yang sudah dirancang, tapi isteri pula tak nak keluar.. 

Hari kedua kami ke Taman Purbakala Kerajaan Sriwijaya, suatu tempat yang dipercayai sebagai tapak kerajaan Sriwijaya, di sinilah ditemui rangka kapal kapal dagang di zaman itu, ditapak ini dikatakan dulunya adalah sebuah sungai yang sudah tertimbus dan dibuktikan dengan penemuan rangka kapal yang saiznya rangkanya diperkirakan kapal dagang untuk mengharungi lautan. Di sini juga terdapat muzium yang menempatkan pelbagai penemuan di sekitar tanah Palembang khasnya Bukit Siguntang. Saya menyangka tempat ini juga letaknya Bukit Siguntang dan bolehlah kami ke bukit lagenda tersebut selepas keluar dari muzium, rupanya saya silap, Bukit Siguntang berada di tempat lain menyebabkan kami terpaksa memanggil grab lagi.

Di Bukit Siguntang suasana sangat hening kelihatan para pekerja menyapu daun - daun kering yang banyak berjatuhan. Bukit ini tidaklah tinggi sangat, tapi perasaan tenang akan terasa kerana bunyi bunyian cengkerik dan riang riang menggantikan bunyi kenderaan. Di atas Bukit ini terdapat 7 makam iaitu Raja Sigentar Alam, Puteri Kembang Dadar, Panglima Bagus Kuning, panglima Bagus karang, Puteri Rambut Selako, Pangeran Raja Batu Api dan Panglima Tuan Junjungan.

Di atas bukit ini ada warung menjual minuman, kami juga beruntung kerana Pak Sulaiman tuan punya warung ini sangat mahir dan tahu tentang sejarah, dia boleh bercerita bukan sahaja tentang Sriwijaya malahan sejarah lain lain kerajaan di nusantara. Bila ditanyakan tentang makam makam tersebut dia menyatakan bahawa makam Si Gentar Alam bukan pusara yang sebenar ia hanya makam menandakan tokoh itu pernah berada di bukit ini, yang dikatakan makam mempunyai jasad adalah makam panglimanya iaitu Panglima Bagus Kuning dan Panglima Bagus Karang, tetapi kesemua nama yang dimakamkan beragama Islam, jika hari kebesaran Islam acara baca yasin dan Al Quran di adakan di bukit ini.. Selepas turun dari bukit ini saya rasa suatu kelegaan di hati.. Alhamdulillah.

Selepas itu kami ke Wisata Religi Al Quran Raksasa, melihat seni khat warisan Sriwijaya, Al Quran diukir oleh para hafiz di atas kayu tembesu, tempat membuat Al Quran - Al Akbar ini dirasmi oleh Presiden Indonesia dan pencetusnya mendapat perhatian pemimpin dunia Islam. Di sini saya turut bersolat zohor di masjid dalam kompleks ini.

Hari ke 3 Kami ke muzium Balaputra Dewa iaitu muzium negeri, satu yang menarik di sini apabila galeri Melaka turut disediakan, sebagaimana yang dapat saya lihat semasa ke musium di Pekan Baru, Riau. Apa yang saya tahu Ketua Menteri Melaka ketika itu Datuk Ali Rustam lah yang mencetuskan idea untuk mempromosi Melaka hingga ke peringkat Dunia selari dengan usahanya suatu masa dulu yang giat dengan kempen "Dunia Melayu Dunia Islam "  selepas melawat muzium ini kami ke muzium Sultan Mahmud Badruddin II berhampiran dengan Kutak Besar dan juga Ampera, tiga tempat lawatan ini berada di lokasi yang sama. Di sini juga adanya pasar 16 yang meriah, pelbagai barangan diniagakan di kawasan dan lot lot kedai yang sangat luas dan tidak mampu untuk dilewati semua. Dari perniagaan pabrik, pakaian, hasil pertanian, perikanan juga makanan tempatan semua boleh didapati di Pasar 16.

Hari ke 4 kami ke Benteng lagi. melihat Kutak Besar dari luar dinding lagipun kota bersejarah ini sudah dijadikan pos tentera, saya juga menghabiskan masa di sekitar dataran Bukit Assam yang ada arca ikan belida. Di sini anda akan jumpa dengan ramai pemuzik dan penyanyi jalanan termasuk pelajar sekolah yang menghampiri menyanyi dan mengharap anda hulurkan sedikit sumbangan.
Di sini juga anda didekati oleh pengusaha bot yang menawarkan khidmat ke Pulau Kamaroo di tengah sungai Musi, kami tidak berminat ke Pulau Kamaro kerana merasakan tiada apa di sana selain Pagoda yang baru dibina serta cerita dongeng tentang kewujudan pulau itu.. cukuplah kami menunggu hari malam di tepi sungai Musi ini melihat gemerlapan Ampera waktu malam.

Hari terakhir kami mengunjungi Mall berdekatan, makan soto dan menunggu waktu ke Bandara Sultan Mahmud Badruddin II




FOTO FOTO

Antara bahan bahan yang dipamerkan di musium Taman Purbakala, ada yang replika dan banyak juga yang asli


Mendaki ke puncak Bukit Seguntang

 
Al Quran besar di Pondok Pesanteran kacamatan Gandus

Monpera dan Pasar 16

Antara penghibur di tebing sungai Musi

Di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badruddin II