Pada mulanya agen yang akan membawa kami keberatan untuk turut memasukkan Pulau Bintan dan Penyengat untuk dikunjungi, mereka hanya mencadangkan Pulau Batam sahaja. Saya dan beberapa orang peserta sudah tidak berminat dan agen bersetuju untuk turut memasukkan Pulau Bintan tetapi saya berkata kalau tidak ke Penyengat maka tiada makna mengunjungi kepulauan Riau. Akhirnya semua bersetuju untuk turut memasukkan Pulau Penyengat ke dalam Intenari lawatan. Alhamdulillah.
Kami bertolak dari KB jam 2.00ptg dengan Air Asia ke Senai Johor, bermalam di Berjaya Hotel, sampai JB pukul 3.00pm, dari Senai ke JB dalam 30minit, hari dah petang masing- masing kena cari makan sendiri kerana pihak Morza Travel hanya sediakan penginapan sahaja pada hari pertama. Tempat makan yang saya mengalas perut adalah restoran berhadapan dengan Masjid Stulang Laut.
Kesesokannya sarapan di Hotel Berjaya dan kemudian ke jeti yang terletak di tingkat 2 hotel, Hotel ini bersambung dengan Jeti Feri. Dari Jeti Stulang Laut ke Tanjung Pinang mengambil masa 3 jam maka aktiviti utama dalam feri adalah tidur... zzz
Sampai di Tanjung Pinang kami terus ke tempat makan tengahari antara menu yang jadi tumpuan adalah siput gonggong.
Setelah selesai kami terus ke dermaga untuk ke Pulau Penyengat. Setelah naik bot selama 15 minit kami telah sampai ke Pulau Penyengat. Terus ke Masjid Raya Pulau Penyengat. Masjid ini ada kisah menarik kerana ianya dibangunkan oleh sultan bersama rakyat. Disebabkan banyaknya bantuan yang dihantar kepada raja termasuklah telor sebagai sumbangan rakyat kepulauan dan kerajaan berhampiran maka masjid itu menggunakan putih telor sebagai ganti simen (kuning telor dimakan).
Apa yang janggal dan rasa kelainan adalah kumpulan kanak kanak yang mengaji dan menghafal Al Quran di wakaf dalam kawasan masjid tidak turut bersolat asar dan suara suara mereka menghafal jadi gangguan ketika jemaah sedang solat. alangkah bagusnya jika kanak- kanak itu juga turut solat bersama. Bila saya bisikkan kepada pegawai masjid mereka hanya tersenyum dan saya minta maaf jika mereka tersinggung atau melanggar kebiasaan dan adat mereka. Apabila pegawai masjid tahu saya dari Malaysia mereka terus melayan dengan baik sekali dan dengan senang hati membawa saya melawat ke dalam masjid. Larangan tidak boleh bergambar juga tidak terpakai dan pegawai masjid turut jadi jurugambar saya.
Selepas itu kami ke makam Raja Hamidah setelah mendengar penerangan dari penjaga, kami dibawa pula ke Perigi Puteri yang airnya tetap tawar dan tidak kering walau terletak di tepi pantai, airnya dimaklumkan dengan nilai PH tinggi baik untuk kesihatan, ramailah yang ambil air buat minum. Selepas dibawa membeli belah kami melawat ke resort mewah di Lagoi, selepas itu melawat makam Hang Nadim iaitu anak angkat yang juga menantu Hang Tuah, Hang Nadim adalah anak Hang Jebat bersama Dang wangi.
Di Pulau Bintang satu tempat tarikan baru telah muncul iaitu Gurun Sahara dan Tasik Biru. Mulanya saya sangkakan biasa biasa saja tapi selepas masuk ke kawasan itu barulah saya faham kenapa ia kelihatan cantik dan jadi tempat wajib untuk berfoto jika ke pulau Bintan.
Selepas 2 hari di Pulau Bintan, kami menaiki bot laju ke Pulau Batam oleh kerana bot ini menyeberang ke Pulau Bintan dari jeti yang paling hampit ia mengambil masa selama 15 minit sahaja.
Pulau Batam adalah Pulau yang dibangunkan pada zaman moden kerana itu ia banyak bercirikan zaman moden dengan Mall, tempat beli belah dan bangunan serta jambatan baru.
Berada di sini aktiviti utama adalah membeli belah. Di sini saya agak hairan apa sebenarnya yang dikatakan murah, walaupun matawang Ringgi lebih tinggi berbanding Rupiah tapi bila dibuat kiraan harga barangan masih setara dengan di Malaysia dan tidak perlulah memikirkan untuk menghabiskan belanja di Batam.
Setelah 2 hari berada di Batam kami pulang menggunakan penerbangan Batik Air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hang Nadim







