Sudah banyak blog yang berkisahkan pelancongan di selatan Thailand. Beberapa hari lalu buat kesekian kalinya saya berkunjung lagi ke wilayah orang Melayu itu. tapi dalam tulisan ini saya ingin berkongsi beberapa perkara tentang Patani yang dekat dengan bangsa dan agama saya.
Umumnya asalnya adalah termasuk dalam negara Patani Darussalam sebelum menjadi semakin lemah, dipecahkan kemudian ia diserahkan kepada Siam dalam perjanjian sulit di dalam sebuah wat buddha di Patani pada 1909. Pada waktu itu Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke 4 sangat murka dengan apa yang dilakukan oleh Inggris.
Selepas sahaja melepasi pekan Sungai Golok kita akan bersedia untuk memasuki ke zaman saya kira dalam usia saya kini 50an saya kembali ke zaman kanak- kanak yang mana pada zaman itu persis begitulah suasana perkampungan, budaya dan pertuturan di Kelantan. Kita pejamkan mata lupakan waktu ini lihatlah kita masyarakat Melayu 70an dan 80an dulu. Patani berada dibelakang lebih 40 tahun. Patani secara umumnya adalah lebih dekat dengan Kelantan manakala di sebelah barat ia adalah suasana dan budaya Kedah.Kerajaan Patani di masa lalu adalah lebih moden daripada semua negeri di Tanah Melayu.
Semenanjung Tanah Melayu harus rasa bersyukur kerana adanya benteng yang menyekat Siam daripada mara ke seluruh semenanjung. Patani berjaya dalam waktu yang lama dengan memainkan peranan sebagai benteng hinggalah ia sendiri akhirnya terpaksa dikorbankan kedaulatan demi menyelamatkan negeri negeri tanah Melayu yang lain khasnya Kedah, Perlis dan Kelantan- Trengganu.
Patani juga antara negeri negeri Melayu yang menghantar bunga emas dan perak kepada Siam setiap 3 tahun seperti mana yang dilakukan oleh Kelantan, Terengganu dan Kedah ini diceritakan sekali lagi oleh keluarga Istana Sultan Patani di Jambu. Istana Jambu adalah Istana kerabat Tengku Anis iaitu Raja Perempuan Kelantan yang kini adalah bonda Sultan Kelantan. Sultan Muhammad 5. Istana Jambu dibina pada 1896 dengan elemen Itali, Melayu dan Jawa.. bayangkan waktu itu megah dan kuatnya ekonomi pembesar Patani.
Saya katakan kita kembali ke suasana Tanah Melayu khususnya Kelantan dengan dialek lama yang sudah jarang dan ada yang telah pupus di dalam masyarakat Kelantan namun ia masih dituturkan di Selatan Thai, perkataan Melayu yang dulu orang orang tua kita turut gunakan dalam percakapan harian.
Penggunaan kerbau dalam membajak sawah serta kerja- kerja gotong royong seperti menyemai, memotong dan memukul padi di sawah masih diamalkan. Dan jika kita lihat keadaan kebun kelapa, buah buahan ia pantas mengingatkan kita akan suasana itu yang hanya mungkin dapat dilihat di dalam foto foto lama famili dan rakan rakan sekampung. Begitu juga penggunaan perigi dan bilik air diluar rumah yang kini sudah sangat sukar di lihat di Malaysia.
Apabila melihat masjid Gresik saya akan terbayang pembunuhan orang Islam didalamnya oleh tentera Thai dan juga tragedi bergelimpangan anak muda Melayu di Sungai golok diikat tangan tanpa baju dicampak ke dalam trak dan selepas itu nasib mereka tidak tahu lagi. Masjid Wadi Hussin yang sezaman dengan masjid kampung laut Kelantan yang dibina tanpa paku pula seolah menanti masa untuk rosak satu demi satu binaannya tanpa pemuliharaan yang cermat dan teratur.
Kesimpulannya, melawat wilayah selatan Thailand adalah pengembaraan menyusur semula sejarah, kehidupan dan semangat kental bangsa Melayu yang masih boleh dilihat di Patani.