clixsense

Jumaat, 12 Oktober 2018

Phnom Penh

Melawat Kemboja, dalam fikiran saya 3 benda yang mesti dilawati jika sampai ke sini iaitu Angkor Wat, Killing Fields dan penjara Tuong Sleng sementara melawat masyarakat Islam Champa adalah satu aktiviti sentimen bangsa dan agama yang rugi jika tidak diambil kesempatan. Tetapi di Phnom Penh kami tidak ke Angkor Wat kerana jarak yang jauh jika hendak ke sana dengan kereta makan masa 6 jam dan ia lebih dekat dengan Siem Riep.

Penerbangan selama 1 jam 50 minit dari KLIA ke Phnom Penh International Airport. Sampai di lapangan terbang ini kita disambut dengan kibaran bendera Kemboja dan ucapan "Welcome To Kingdom Of Cambodia". Sebuah lagi negara yang penuh dramatik dapat mengekalkan raja sebagai ketua negara. Lapangan terbang ini agak moden dan bersih berbanding dengan negara Vietnam walaupun saiz bangunannya lebih kecil, 
sebagai agama minoriti di kemboja orang Islam boleh berbangga kerana Kerajaan perdana Menteri Hun Sen memberi layanan yang baik kepada mereka dan di Lapangan Terbang ini turut menyediakan ruang solat untuk orang Islam, Alhamdulillah.

Satu perkara yang agak unik berada di sini adalah penggunaan matawang Dollar Amerika (USD) agak meluas dan lebih digemari berbanding matawang negaranya Cambodia Riel, bayaran hotel penginapan kami iaitu Asia Hotel menggunakan USD begitu juga restoran pertama yang kami kunjungi iaitu Malaya Cafe mengenakan bayaran dalam USD, kami makan secara buffet dengan USD5 sekepala. Antara restoran dan tempat makan lain selama 5hari 4malam di kemboja adalah The Gulai, Wau Restoran, Mamak Corner. Restoran KFC di sini juga adalah halal. Saya ada membuat bayaran dengan Ringgit Malaysia di sesetengan restoran tetapi dengan kadar tukaran yg tidak menguntungkan.



Hari ke 2 kami melawat killing Fields, killing Fields adalah panggilan yang dipopularkan oleh Filem barat tetapi dalam bahasa kemboja ia dipanggil Choeung Ek, yang bererti Juara. Ini adalah salah satu daripada lebih seribu tempat pembunuhan di seluruh kemboja. Melawat kawasan pembunuhan tragis dan tidak bertamadun ini sangat ngeri dan menggetarkan setiap langkah melewati kesan- kesan pembantaian manusia paling tak masuk akal ini. Kita terbayang betapa tidak terdaya dan hinanya setiap mangsa diperlakukan detik detik nyawanya dipisah dari badan. Bila mengingatkan kekejaman ini kita rasa bersyukur apabila Vietnam menceroboh dan menamatkan pemerintahan Khmer Rouge (1975 - 1979) dalam masa kurang sebulan sahaja dan menghalau Regim Pol Pot ke hutan.

Melawat penjara Tuol Sleng iaitu tempat tahanan utama disiksa sebelum di bawa ke killing Fields dan lain lain kawasan pembunuhan, penjara yang asalnya sebuah sekolah ini adalah tempat penyiksaan dan soal- siasat oleh regim Khmer Rouge. Pelbagai cara siksaan dilakukan disini hingga ada yang menemui ajal sebelum ajal yang sebenar dijatuhkan kepada tahanan.

Sebagai bandar yang berada di tepi sungai Mekong dan hampir dengan tasik Tonle Sap yang luas kami menaiki bot persiaran yang belayar di sekitar bandar dengan pemandangan yang jelas. Phnom Penh sedang pesat membangun, dikatakan pelaburan dari China yang paling besar selain Japan dan Korea turut menyumbang kepada pembangunan.

Kami juga mengunjungi pusat tahfiz yang diuruskan oleh orang tempatan yang perihatin kepada anak yatim, gelandangan serta anak terbiar yang semuanya sangat miskin. Ustaz kamaruddin adalah orang tempatan yang usahakan pusat tahfiz ini bersama keluarganya dan belanja pengurusanya adalah dari ehsan masyarakat Islam terutama orang islam dari Malaysia dan Indonesia, Ustaz kamaruddin juga pernah berkhidmat sebagai pengajar di sebuah tahfiz di Bachok, kelantan dan juga setiap tahun dalam bulan ramadhan akan menjadi Iman terawih di masjid di Gua Musang. Kami juga turut melawat beberapa perkampungan masyarakat Cham yang masih daif perlu dibantu.

Di KLIA2  dan Airport Phnom Penh
Air kelapa pandan di Central Market USD1
 Kedai lukisan di Russia Market
 Russia Market
Persembahan di Naga World
Masjid bandar Phnom Penh, sumbangan jutawan Arab Saudi kos USD3 juta
Ustaz Kamaruddin (tengah) Mudir dan pemilik Tahfiz Darul Furqan, di depan bangunan tahfiz yang baru beberapa bulan disiapkan atas sumbangan kewangan pelbagai pihak
Bot persiaran sungai Tonle Sap
Isteri bergambar.. di belakang adalah kediaman Perdana Menteri Hun Sen
Killing Fields : Kebanyakan kaum wanita dibunuh di sini
Killing Fields : kanak kanak dihumban ke batang pokok ini hingga mati
Waktu petang bandaraya Phnom Penh
Laksa kemboja
Makanan tradisi penuh sayuran

Di kemboja ini selain melihat Malaysia pada 40 tahun lalu, kita juga akan kalah jika dibandingkan kenderaan mewah mereka, disini semua kereta adalah besar besar dan jenama seperti Lexus adalah biasa malahan Rollys Royce juga dapat dilihat dijalanraya. Sebelum berangkat pulang kami dibawa ke Central Market, Russian Market, Norodun Statue, Royal Palace serta tempat tempat menarik di bandar Phnom Penh dan kami juga dibawa melihat Naga World iaitu pusat hiburan yang dibina oleh pengusaha dari Malaysia iaitu pemilik Genting (Goh Tong) Disini kawan saya sempat berseloroh. "Orang kemboja ini hidup masih susah tapi setelah senang dan kaya mereka berjudi pula..".