clixsense

Jumaat, 12 Oktober 2018

Phnom Penh

Melawat Kemboja, dalam fikiran saya 3 benda yang mesti dilawati jika sampai ke sini iaitu Angkor Wat, Killing Fields dan penjara Tuong Sleng sementara melawat masyarakat Islam Champa adalah satu aktiviti sentimen bangsa dan agama yang rugi jika tidak diambil kesempatan. Tetapi di Phnom Penh kami tidak ke Angkor Wat kerana jarak yang jauh jika hendak ke sana dengan kereta makan masa 6 jam dan ia lebih dekat dengan Siem Riep.

Penerbangan selama 1 jam 50 minit dari KLIA ke Phnom Penh International Airport. Sampai di lapangan terbang ini kita disambut dengan kibaran bendera Kemboja dan ucapan "Welcome To Kingdom Of Cambodia". Sebuah lagi negara yang penuh dramatik dapat mengekalkan raja sebagai ketua negara. Lapangan terbang ini agak moden dan bersih berbanding dengan negara Vietnam walaupun saiz bangunannya lebih kecil, 
sebagai agama minoriti di kemboja orang Islam boleh berbangga kerana Kerajaan perdana Menteri Hun Sen memberi layanan yang baik kepada mereka dan di Lapangan Terbang ini turut menyediakan ruang solat untuk orang Islam, Alhamdulillah.

Satu perkara yang agak unik berada di sini adalah penggunaan matawang Dollar Amerika (USD) agak meluas dan lebih digemari berbanding matawang negaranya Cambodia Riel, bayaran hotel penginapan kami iaitu Asia Hotel menggunakan USD begitu juga restoran pertama yang kami kunjungi iaitu Malaya Cafe mengenakan bayaran dalam USD, kami makan secara buffet dengan USD5 sekepala. Antara restoran dan tempat makan lain selama 5hari 4malam di kemboja adalah The Gulai, Wau Restoran, Mamak Corner. Restoran KFC di sini juga adalah halal. Saya ada membuat bayaran dengan Ringgit Malaysia di sesetengan restoran tetapi dengan kadar tukaran yg tidak menguntungkan.



Hari ke 2 kami melawat killing Fields, killing Fields adalah panggilan yang dipopularkan oleh Filem barat tetapi dalam bahasa kemboja ia dipanggil Choeung Ek, yang bererti Juara. Ini adalah salah satu daripada lebih seribu tempat pembunuhan di seluruh kemboja. Melawat kawasan pembunuhan tragis dan tidak bertamadun ini sangat ngeri dan menggetarkan setiap langkah melewati kesan- kesan pembantaian manusia paling tak masuk akal ini. Kita terbayang betapa tidak terdaya dan hinanya setiap mangsa diperlakukan detik detik nyawanya dipisah dari badan. Bila mengingatkan kekejaman ini kita rasa bersyukur apabila Vietnam menceroboh dan menamatkan pemerintahan Khmer Rouge (1975 - 1979) dalam masa kurang sebulan sahaja dan menghalau Regim Pol Pot ke hutan.

Melawat penjara Tuol Sleng iaitu tempat tahanan utama disiksa sebelum di bawa ke killing Fields dan lain lain kawasan pembunuhan, penjara yang asalnya sebuah sekolah ini adalah tempat penyiksaan dan soal- siasat oleh regim Khmer Rouge. Pelbagai cara siksaan dilakukan disini hingga ada yang menemui ajal sebelum ajal yang sebenar dijatuhkan kepada tahanan.

Sebagai bandar yang berada di tepi sungai Mekong dan hampir dengan tasik Tonle Sap yang luas kami menaiki bot persiaran yang belayar di sekitar bandar dengan pemandangan yang jelas. Phnom Penh sedang pesat membangun, dikatakan pelaburan dari China yang paling besar selain Japan dan Korea turut menyumbang kepada pembangunan.

Kami juga mengunjungi pusat tahfiz yang diuruskan oleh orang tempatan yang perihatin kepada anak yatim, gelandangan serta anak terbiar yang semuanya sangat miskin. Ustaz kamaruddin adalah orang tempatan yang usahakan pusat tahfiz ini bersama keluarganya dan belanja pengurusanya adalah dari ehsan masyarakat Islam terutama orang islam dari Malaysia dan Indonesia, Ustaz kamaruddin juga pernah berkhidmat sebagai pengajar di sebuah tahfiz di Bachok, kelantan dan juga setiap tahun dalam bulan ramadhan akan menjadi Iman terawih di masjid di Gua Musang. Kami juga turut melawat beberapa perkampungan masyarakat Cham yang masih daif perlu dibantu.

Di KLIA2  dan Airport Phnom Penh
Air kelapa pandan di Central Market USD1
 Kedai lukisan di Russia Market
 Russia Market
Persembahan di Naga World
Masjid bandar Phnom Penh, sumbangan jutawan Arab Saudi kos USD3 juta
Ustaz Kamaruddin (tengah) Mudir dan pemilik Tahfiz Darul Furqan, di depan bangunan tahfiz yang baru beberapa bulan disiapkan atas sumbangan kewangan pelbagai pihak
Bot persiaran sungai Tonle Sap
Isteri bergambar.. di belakang adalah kediaman Perdana Menteri Hun Sen
Killing Fields : Kebanyakan kaum wanita dibunuh di sini
Killing Fields : kanak kanak dihumban ke batang pokok ini hingga mati
Waktu petang bandaraya Phnom Penh
Laksa kemboja
Makanan tradisi penuh sayuran

Di kemboja ini selain melihat Malaysia pada 40 tahun lalu, kita juga akan kalah jika dibandingkan kenderaan mewah mereka, disini semua kereta adalah besar besar dan jenama seperti Lexus adalah biasa malahan Rollys Royce juga dapat dilihat dijalanraya. Sebelum berangkat pulang kami dibawa ke Central Market, Russian Market, Norodun Statue, Royal Palace serta tempat tempat menarik di bandar Phnom Penh dan kami juga dibawa melihat Naga World iaitu pusat hiburan yang dibina oleh pengusaha dari Malaysia iaitu pemilik Genting (Goh Tong) Disini kawan saya sempat berseloroh. "Orang kemboja ini hidup masih susah tapi setelah senang dan kaya mereka berjudi pula..".

Isnin, 13 Ogos 2018

Ho Chi Minh City

Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, di Ho Chi Minh City atau Saigon, pemandangan pertama sampai di negara ini, sewaktu dalam pesawat adalah bunker- bunker atau kubu perang, apabila keluar dari pesawat kita akan melihat timbunan besi terpakai bersepah dan merata di kilang besi bersebelahan lapangan terbang.Di lorong lorong Imigresen begitu ramai orang berbaris walaupun ada hampir 20 lorong kaunter


Kami memilih menginap di Hotel Dragon Palace, selepas mandi bersiap- siap untuk keluar mencari restoran halal, sementara menunggu, duduk- duduk di lobi sambil melihat peta yang disediakan, ternampak penjual buah depan hotel, ada buah ceri segar.. mahal juga vd400k atau lebih kurang rm64 sekilo.. beli lah setengah kilo, nak cuba nampak sedap.


Kami berjalan kaki dalam 15 minit mencari kedai makan berhampiran dengan pasar Banh Tanh, lapar punya pasal nampak kedai halal terus masuk.. haa kedai ini mahal lah sikit.

Vietnam mempunyai nisbah motosikal bersamaan dengan 2 motosikal untuk seorang rakyatnya. 

Pasar Banh Tanh, pasar ini dibuka sehingga jam 6 petang, pada waktu malam, pasar malam pula beroperasi di sekeliling pasar ini.


Hari kedua kami melawat tempat menarik di sekitar bandar, Di Remnant Muzium banyak alatan perang dan gambar- gambar tentang perang vietnam,

Salah satu gambar paling terkenal dalam episod perang Vietnam pembunuhan di May Lai oleh tentera AS

Zoo dalam bandar Ho Che Minh ini bersebelahan dengan muzium sejarah Vietnam, dalam bandar ini terdapat 7 buah muzium utama. Zoonya pula terletak sekali dengan taman, kawasan sangat luas dan kami tidak dapat melawat ke seluruh kawasan zoo, haiwan yang paling banyak adalah ular sawa, penat berjalan tak habis kawasan..

hadapan pintu masuk ke Zoo dan taman botani

 Muzium sejarah Vietnam bersebelahan dengan zoo 


Naik teksi separuh jalan, teksi yang kami naik adalah sekitar VD35k- VD40k duit ringgit tak sampai pun 10. Sambung jalan kaki pulang tak sangka pula kami sampai ke People Commitee Hall

Membelakangi patung Ho Chi Minh dan dewan orang ramai

 Pemandang seperti ini banyak terdapat di sini, lokasi adalah seperti yang ditulis di papan tanda.

Saya gelarkan kawasan ini adalah "Little Malaysia" Pasar ini sebagai tempat tumpuan utama, kerana di sini ada kawasan orang Malaysia, mudah makan dan rata rata peniaga boleh bercakap Melayu Ringgit Malaysia pun diterima di sini..

Hari ke 3 pula kami menempah agen pelancongan yang ada di merata bandar termasuk di bawah hotel penginapan kami, banyak pakej dan lokasi lawatan antaranya melawat terowong perang di chu- Chi atau menaiki bot sehingga ke kemboja, kami hanya tempah pengembaraan ke Lembah Mekong sahaja dengan bayaran lebih kurang rm50 seorang termasuk makan dan semua kemudahan tempat kami akan dibawa. Antaranya menyusur terusan dengan sampan, kampung budaya, tempat menghasil madu lebah dan kilang membuat gula- gula kelapa

 hidangan kepada pelawat di tempat menjual madu lebah



naik basikal, memancing buaya dan berehat di kampung budaya

Makan ringan sambil dihiburkan persembahan nyanyian penduduk tempatan

 Antara produk penduduk lembah Mekong

 Naik sampan berenjin pula

Yang mana takut dengan air bolehlah lupakan rasa takut.. semua kena naik.

Bersampan menuju muara

Makan tengah hari 

Kami pulang ke hotel jam 4 petang, selepas rehat sekejap kami keluar lagi menuju pasar banh Tahn tapi melalui jalan yang berbeza.

 Jalan ini ada deretan kedai barangan berjenama antaranya Adidas, Levis dan sebagainya tetapi harganya lebih mahal daripada di Malaysia

Warga Ho Chi Minh beraktiviti waktu malam seperti, aerobik, sepak raga dan juga menari

Selepas makan malam kami bersiar - siar di kawasan pasar malam, satu pesanan kepada semua. jual beli di pasar malam ini agak agresif seperti Petaling Street, kalau tak nak beli jangan tanya. kalau tidak kita akan dipaksa dan dimaki hamun oleh penjual, harganya pula bukanlah murah.. sangat mahal. Saya nasihatkan membelilah dikawasan sekitar "Little Malaysia" dan lebih baik memilih hotel berdekatan dengan kawasan ini teutama di jalan Nguyen An Ninh ini. Di sini penjualnya lebih bersopan dan murah penjual pula rata- ratanya boleh bercakap Melayu

Hari ke 4 kami menuju ke persiaran tepi sungai Mekong melihat bangunan yang bertukar warna dan kerdipan cahaya yang sangat indah





 Hari ke 5 adalah hari terakhir kami di Vietnam, sekali lagi muncul penjual ceri, hanya penjual di depan hotel kami ini yang menjual ceri, lain - lain penjaja yang ditemui tidak ada yang menjual ceri agaknya kami bernasib baik walaupun berjarak sedikit dari pasar Bant dan Little Malaysia tapi ceri ini satu satunya berada di tempat penginapan kami. Tapi kali ni kami beli buah Plum pula harganya lebih kurang RM8 sekilo.


Ceri dan buah plum

Bertolak dari Ho Chi Minh sekitar jam 2 petang dan sampai ke KLIA jam 4.30 petang