clixsense

Selasa, 26 April 2016

UTP- Tronoh


Dulu telah pergi ke Sri Iskandar, Tronoh Ipoh Perak untuk temuduga kemasukan ke UTP bagi kemasukan secara fast track mac 2016 di Universiti Teknologi Petronas melalui Bachok - Pasir Puteh - Machang - Gua Musang - Simpang Pulai - Tronoh memakan masa 6-7 jam. Kami singgah di Cameron Highlands untuk mengisi Petrol dan menikmati pemandangan di Tanah Rata sebelum bertolak semula dan bermalam di rumah kakak seorang rakan di pekan Batu Gajah. Terima kasih Roslina Mustapha dan Che Ta sekeluarga yang mesra dan senang hati menyambut kami.
Kali kedua pergi lagi setelah tawaran diterima, pendaftaran dibuat di dewan Canselor, dewan yang diingati kerana anugerah rekabentuk Shah Jehan. kami bertolak jam 3.30 pagi. Perjalanan dinihari yang sepi terutama jalan dari Gua Musang - Lojing, terlalu sunyi dan tidak sampai 5 buah kenderaan yang berselisih dengan kami, ladang kelapa sawit kiri kanan berselang dengan getah kemudian melalui jalan raya lebar namun kelihatan tidak diselenggara baik, anak lena tidur disebelah dan akhirnya kami berhenti solat subuh di Masjid Long Tan, Lojing. 
Solat subuh di masjid yang indah dan baru ini membuatkan saya terpegun bukan sahaja kerana kemudahan masjid tetapi kesejukan air juga kabus menyegarkan bulu roma, apa yang mendukacitakan hanya seorang Iman sahaja yang solat subuh mewakili orang tempatan itupun kerana masjid tersebut ada kuarters Iman di belakanya, para makmun adalah orang yang singgah bersolat seperti kami ada juga beberapa orang yang tidur disaf belakang mungkin mereka sudah solat terlebih dahulu daripada kami, saya kira waktu itu sudah hampir jam 6:30 pagi.
Perjalanan diteruskan bersama mentari yang mula menebarkan sinarnya mengiringi kami ke Simpang Pulai. Kami sampai awal iaitu jam 8:00 pagi, berhenti mandi dan bersiap di sebuah masjid di Batu Gajah, selepas itu bersarapan sebelum menunggu pendaftaran di buka jam 10:30 pagi.
Akhirnya anak yang membesar bersama saya ini, yang melihat dan merasai suka duka melangkah lagi ke alam pengajian yang lebih tinggi, bermakna saya terpaksa bersedia untuk berhabisan wang sebelum mendapat pembiayaan dari mana mana pihak. Sementara menunggu proses pendaftaran saya meninjau perpustakaan yang cangih dengan rak buku bertingkat tingkat hingga ke bawah tanah, siap dengan tangga / sigai dan lif juga kemudahan komputer disamping model model Petrolium sebenar, juga replika 2 buah kereta formula 1 yang dibiayai oleh Petronas iaitu Sauber dan Mc Laren, cukup teruja dan benarlah jika ia menjadi bualan warga pelajar. Selepas memindahkan barang- barang ke kediaman siswi, kami ke bandar Sri Iskandar membeli barang keperluan lain, menempatkan satu bilik dikongsi dua orang pelajar sangat selesa dan kondusif. Saya meneruskan perjalanan pulang jam 2:00 petang melalui lebuhraya Grik - KB memandu keseorangan dan berhenti rehat di rumah kawan di Grik, selepas asar memandu lagi, jam 9:00malam sampai ke rumah: Selamat belajar...