clixsense

Selasa, 17 Julai 2018

Kenyir

Sebelum ini hanya mendengar sahaja cerita kawan kawan dan orang yang pernah sampai ke sini. Kali ini bersama isteri menyertai kumpulan yang akan bercuti di tasik kenyir. Dari Kota Bharu kami memandu jalan melalui Jertih ke LPT 2. Sebelum masuk ke lebuhraya ada papan tanda ke Tasik Kenyir / Sekayu. Bertolak hampir pukul 5 petang melalui lebuhraya dan jalan menghala ke Kuala Berang dan akhirnya menurut papan tanda ke Pengkalan Gawi. sampai di sini hari sudah malam, yang kelihatan cuma lampu lampu cantik dan kerlipan cahaya lampu di tepian tasik kenyir. Sampai di depan Pejabat Pelancongan Ketengah, kami menghubungi pihak Houseboat yang kumpulan kami sudah tempah iaitu Houseboat "Cendana" ia sederaha dan terdapat 3 bilik dorm (bilik besar untuk 30 rang dan 2 bilik kecil memuatkan 8 orang sebilik, kami difahamkan ada pelbagai kategori houseboat yang boleh disewa mengikut kehendak masing- masing dan ada houseboat lebih mewah hingga mencapai Rm15k untuk penginapan selama 2 hari, Houseboat kami hanya dikenakan rm150 seorang termasuk tiket ke pusat pemuliharaan ikan kelah. Malam itu kami tidur di Houseboat sementara menunggu keesokannya untuk bergerak ke destinasi yang dijadualkan.

      Bergerak dari Pengkalan Gawi

Perlu diketahui bahawa pihak houseboat tidak menyediakan makan dan minum, mereka hanya sediakan peralatan memasak sahaja, bahan mentah kena bawak secukupnya untuk dimasak termasuklah beras.

Jeti Pulau Sah Besar

       
       Kacip Fatimah                                                 Tongkat Ali Hitam & Putih

Houseboat bergerak jam 8:30pagi ke destinasi pertama iaitu ke taman herba di Pulau Sah Kecil bersebelahan Pulau Sah Besar milik Jabatan Perdana Menteri, mungkin di pulau ini menjadi tempat mesyuarat atau percutian kerajaan. Pelbagai jenis herba yang ditanam di pulau kecil ini dan banyak papan tanda yang menerangkan kegunaan pokok pokok herba, papan tanda juga banyak diletakkan nama orang yang menanamnya seperti ketua ketua Jabatan, vip dan ahli politik.Di pulau herba ini ada disediakan minuman akar kayu percuma untuk pengunjung iaitu air mahkota dewa, tongkat ali dan kacip fatimah.


Selepas sejam berada di taman herba kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Lasir, sesampai di Pulau ini saya terus terjun dan mandi seorang diri, yang lain mungkin tak berani kerana air sangat dalam. Di pulau ini kami bergerak ke atas bukit untuk mandi di air terjun yang sejuk dikelilingi hutan hujan yang sangat menyegarkan.

 



Selepas aktiviti mandi di air terjun kami kembali ke Houseboat, yang perempuan menyediakan makanan sementara aktiviti rehat dan memancing bermula. Di sini isyarat telefon tidak ada dan tiada gangguan daripada dunia luar. Kami juga ramai- ramai menonton dan filem "Great Wall" jadi pilihan kami, seronok juga menonton ramai ramai.


Pada sebelah malam aktiviti BBQ diadakan, kami bakar daging kambing, ayam dan jagung.. ramai ramai makan di atas dek houseboat, dan suasana waktu malam ini kelihatan meriah dengan suara- suara houseboat lain yang turut berlabuh untuk bermalam di Pulau Lasir ini, ada kira- kira 10 buah houseboat lagi selain kami.

Pulau Lasir



Pagi hari kedua kira kira jam 8 pagi konvoi houseboat meninggalkan Pulau Lasir untuk ke Kelah Santuary, pelayaran selama 4 jam memperlihatkan panaurama tasik buatan yang sungguh memukau. Dan seandainya saya bukan orang Malaysia sudah tentu saya tak puas puas memuji akan kecantikan tasik Kenyir ini terutama hutan hujan yang tidak terusik di sepanjang laluan.




Sampai di jeti taman pemuliharaan ikan kelah kami diberi taklimat tentang peraturan dan ingatan terlebih dahulu. kami juga disarankan membeli makanan ikan kelah untuk dibawa, makanan itu ada dijual bersebelahan jeti, makanan luar tidak dibenarkan dibawa kecuali air mineral sahaja. Selepas memakai gelang / tag di lengan masing masing kami menaiki speedboat ke jeti Sungai Pertang, dai jeti ini kami kena berjalan kaki sejauh hampir 2 km yang melalui antaranya jambatan gantung, jalan bersimen serta denai melintasi sungai sebelum sampai ke tempat yang dituju, perjalanan memang memenatkan tetapi apabila kami diserbu oleh ikan ikan yang manja dan jinak segala penat lelah berjalan kaki akhirnya berbaloi. Untuk perjalanan ini saya dan isteri tidak berhasrat untuk ke sini lagi jika sampai lagi ke tasik Kenyir biarlah berada di Houseboat sahaja.. memang sangat jauh berulang alik jalan berbukit hampir 4 km pergi balik. Mungkin pihak pengurusan Kelah Sanctuary boleh memikirkan lokasi yang lebih dekat disebabkan pengunjung warga emas dan kanak kanak adalah mereka yang kurang berdaya untuk perjalanan yang jauh itu.

Jambatan gantung ke tempat ikan Kelah



Selepas aktiviti bersama Ikan Kelah kami belayar balik ke Pengkalan Gawi semula. Hampir jam 4 petang kami sampai ke Jeti, dalam perjalan pulang saya singgah di kedai bebas cukai yang berhampiran untuk melihat- lihat barang jualan dan cenderamata. Perlu diketahui bahawa di Kenyir ini juga kita akan melalui sekatan kastam sebagaimana kawasan bebas cukai yang lain di seluruh negara.

Perjalanan pulang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan